Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Assad cari suaka di Moscow; Syria masuki era baru dengan ketidakpastian

Dec 9, 2024 | 4:48 PM
Kumpulan pemberontak Syria meraikan kejayaan menawan ibu kota Damsyik selepas menjatuhkan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad (foto sisipan).
Kumpulan pemberontak Syria meraikan kejayaan menawan ibu kota Damsyik selepas menjatuhkan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad (foto sisipan). - Foto AFP

DAMSYIK: Mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, kini berada di Moscow bersama keluarganya selepas Russia memberikan suaka atas dasar kemanusiaan.

Perkembangan itu berlaku susulan pemberontak yang berjaya menguasai Damsyik tanpa tentangan, menamatkan hampir enam dekad pemerintahan kuku besi keluarga Assad.

Menurut sumber Kremlin, keputusan ini disertai perjanjian untuk menjamin keselamatan pangkalan tentera Russia di Syria.

Kementerian Luar Russia memaklumkan bahawa Encik Assad telah menyerahkan kuasa secara aman sebelum meninggalkan Syria.

“Rundingan di bawah naungan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) harus diteruskan untuk mencari penyelesaian politik,” tambah sumber tersebut.

Keputusan Encik Assad untuk berundur mengejutkan banyak pihak, termasuk pemerhati serantau.

“Keadaan yang bergerak pantas ini menimbulkan cabaran besar kepada proses peralihan kuasa yang lancar,” ujar Encik Sanam Vakil, pengarah program Timur Tengah dan Afrika Utara di Chatham House.

Encik Lahib Higel, penganalisis kanan di International Crisis Group, menyatakan kebimbangan terhadap masa depan Syria.

“Ini adalah detik untuk diraikan, tetapi persoalan tentang apa yang akan berlaku esok masih menghantui,” katanya.

Di Syria, rakyat berpesta meraikan kejatuhan rejim Encik Assad.

Patung-patung mantan presiden dan keluarganya dirobohkan di beberapa bandar utama seperti Damsyik, Latakia dan Qamishli.

Di pusat kebudayaan Dar al-Assad di Damsyik, patung Hafez al-Assad, bapa Encik Assad, dihina dengan tong sampah diletakkan di kepalanya.

Imej yang tular menunjukkan rakyat membakar poster Qassem Soleimani, komander Iran yang membantu Encik Assad semasa perang.

Kedutaan Iran turut diserbu, menandakan penolakan rakyat terhadap pengaruh Iran di Syria.

Sementara itu, pelarian Syria di Turkey, Lebanon dan negara lain menyatakan keinginan untuk pulang ke tanah air.

Di Istanbul, rakyat Syria berhimpun di luar Masjid Fatih sambil mengibarkan bendera tiga bintang pemberontak.

“Ini satu keajaiban,” kata Encik Muhammad al-Shammary, pelarian Syria yang telah lebih sedekad terpisah daripada keluarganya.

Negara Arab lain seperti Arab Saudi turut menyambut baik perubahan itu dan menyeru langkah untuk memastikan kestabilan.

“Kami memantau perkembangan di Syria dan berharap rakyatnya dilindungi,” menurut kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi.

Namun, Syria kini berhadapan dengan cabaran besar.

Struktur pemerintahan yang lemah, ekonomi yang lumpuh serta persoalan keselamatan masih memerlukan penyelesaian segera.

“Apa yang datang selepas ini sangat penting untuk memastikan pentadbiran yang baik demi rakyat Syria,” ujar Encik Vakil.

Keputusan Encik Assad untuk berundur juga mengubah dinamik geopolitik Timur Tengah. Kejatuhannya menamatkan pengaruh Russia dan Iran yang sebelum ini menggunakan Syria sebagai kubu strategik mereka.

Pegawai Russia sedang berhubung dengan wakil pembangkang bersenjata Syria, dengan pemimpinnya memberi jaminan keselamatan kepada pangkalan tentera serta misi diplomatik Russia di wilayah Syria.

Keadaan ini turut membuka ruang untuk penglibatan antarabangsa. Iran, misalnya, telah membuka saluran komunikasi dengan pemimpin baru Syria dalam usaha mengelakkan ketegangan serantau bertambah buruk.

“Ini penting untuk menstabilkan hubungan,” kata seorang pegawai kanan Iran kepada agensi berita Reuters.

Pergolakan tercetus pada 27 November lalu di kawasan luar bandar barat Aleppo, sebuah bandar utama di utara Syria.

Dalam tempoh 10 hari, pasukan pemberontak melancarkan serangan dengan menawan beberapa bandar strategik sebelum berjaya menguasai ibu kota, Damsyik, pada 8 Disember dan menyebabkan kejatuhan rejim Encik Assad selepas 13 tahun perang saudara

Bagi rakyat Syria, kejatuhan Encik Assad membawa sinar harapan.

“Semoga apa yang bakal datang adalah lebih baik,” ujar Cik Walaa Salameh, seorang ibu kepada dua anak di Damsyik, menggambarkan perasaan bercampur antara kegembiraan dan kebimbangan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg