Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemberontak Syria tiba di Homs, perluas serangan terhadap rejim Assad

Ribuan penduduk larikan diri ke arah kawasan pesisir barat Syria
Dec 7, 2024 | 3:32 PM
Seorang individu mengibarkan bendera pembangkang selepas pemberontak yang dipimpin oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS) berjaya menawan bandar utama Aleppo dan Hama, Syria, pada 6 Disember.
Seorang individu mengibarkan bendera pembangkang selepas pemberontak yang dipimpin oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS) berjaya menawan bandar utama Aleppo dan Hama, Syria, pada 6 Disember. - Foto REUTERS

BEIRUT: Perikatan pemberontak Syria menyatakan pada 6 Disember bahawa pasukan mereka telah sampai ke bandar Homs, sebuah bandar strategik lagi penting buat Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, di mana penaklukannya berpotensi menggoyahkan kekuasaan rejimnya.

“Pasukan kami telah membebaskan perkampungan terakhir di pinggir bandar Homs dan kini berada dekat dengan pintu gerbang bandar tersebut,” kata kumpulan itu menerusi saluran Telegram mereka.

Agensi berita Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan kumpulan pemberontak tersebut yang sebelum ini bersekutu dengan Al-Qaeda, dan kini dikenali sebagai Hayat Tahrir al-Sham (HTS). 

Mereka telah membuat seruan terakhir kepada pasukan tentera yang setia kepada pemerintahan Encik Assad di Homs untuk berpaling tadah.

Jika pihak pemberontak berjaya menawan Homs, mereka akan memutuskan hubungan antara ibu negara Syria, Damsyik dengan kawasan pesisir.

Lokasi itu telah lama menjadi kubu bagi golongan Alawi minoriti pimpinan Encik Assad dan pangkalan tentera laut dan udara Russia yang merupakan sekutu Syria.

Media pemerintah Syria melaporkan bahawa tentera mereka sedang menjalankan operasi di luar bandar Homs dengan sokongan dari tentera udara Syria dan Russia, lengkap dengan artileri, peluru berpandu dan kenderaan perisai.

Menurut laporan pihak tentera, puluhan pemberontak didakwa terbunuh.

Menyusuli kemaraan pihak pemberontak ke bandar Homs, ribuan penduduk dilaporkan telah melarikan diri dari bandar itu dari malam hingga pagi 6 Disember.

Balai Cerap Syria bagi Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain, berkata ribuan orang mula melarikan diri pada petang 5 Disember ke arah kawasan pesisir barat Syria, yang merupakan kubu kuat pemerintah.

Seorang penduduk di kawasan pesisir itu berkata ribuan orang mula tiba dari Homs kerana bimbang dengan kemaraan pantas kumpulan pemberontak.

Pada pagi 6 Disember, serangan udara Israel telah membedil dua lintasan sempadan antara Lebanon dengan Syria, kata Menteri Pengangkutan Lebanon, Encik Ali Hamieh.

Pengeboman Russia pada malam sebelumnya juga telah mengakibatkan kemusnahan jambatan Rustan di sepanjang jalan utama M5, bagi menghalang pemberontak daripada menggunakan laluan utama ini menuju ke bandar Homs, kata seorang pegawai tentera Syria.

“Terdapat sekurang-kurangnya lapan serangan (yang berlaku) ke atas jambatan itu,” tambahnya.

Rejim tentera pemerintah sedang berusaha memperkukuh kedudukan mereka di sekitar bandar Homs dengan bantuan baru dari pihak sekutu, katanya.

“Masa kamu (rejim Encik Assad) telah tiba,” kata pihak operasi HTS dalam sebuah hantaran dalam talian sebagai seruan kepada penduduk Homs untuk bangkit sama dalam perjuangan revolusi mereka. 

Kekalahan Encik Assad bertambah-tambah apabila sebuah perikatan yang disokong Amerika Syarikat, dipimpin oleh kumpulan Kurdi Syria pada 6 Disember berjaya mengambil alih Deir el-Zor – kubu utama pemerintah Encik Assad di timur negara itu, menurut tiga sumber Syria.

Deir el-Zor merupakan bandar utama ketiga – yang berjaya dirampas daripada kawalan rejim Encik Assad dalam tempoh seminggu – selepas Aleppo dan Hama, masing-masing di kawasan utara dan tengah Syria yang ditawan perikatan pemberontak dengan pimpinan HTS.

Selepas hampir 14 tahun sejak protes besar-besaran terhadap kepimpinan Encik Assad tercetus di seluruh Syria, kemaraan perikatan pemberontak dan kumpulan sekutu dari negara luar ini jelas telah memberi satu tamparan hebat terhadap rejimnya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg