AMMAN/BEIRUT: Pemberontak Syria mengumumkan di televisyen negara pada 8 Disember bahawa mereka telah menggulingkan Presiden Bashar al-Assad, serta menamatkan pemerintahan kuku besi 50 tahun keluarga Assad, melalui kemaraan pantas mereka yang mengejutkan dunia, serta menimbulkan kebimbangan akan memarakkan ketidakstabilan politik di Timur Tengah.
Komando tentera Syria telah memaklumkan kepada para pegawai mereka bahawa pemerintahan Encik Assad selama 24 tahun telah berakhir dan perkara itu diberitahu oleh seorang pegawai Syria kepada Reuters.
Namun, tentera Syria kemudian berkata ia masih meneruskan operasi menentang “kumpulan pengganas” di bandar utama Hama dan Homs serta di luar bandar Deraa.
Pada 8 Disember, Encik Assad dilaporkan telah meninggalkan Damsyik ke destinasi rahsia, menurut dua pegawai kanan tentera kepada Reuters.
Ketika pemberontak yang diketuai kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) memberitahu bahawa mereka telah berjaya memasuki kawasan Damsyik tanpa kehadiran tentera, ribuan orang awam dilihat berkumpul di sebuah dataran utama di ibu negara itu sambil melambaikan tangan dan melaungkan “kebebasan” daripada pemerintahan panjang keluarga Assad.
“Kami meraikan berita pembebasan tahanan kami bersama rakyat Syria dan terlerainya belenggu mereka serta mengumumkan berakhirnya era kezaliman di penjara Sednaya,” kata pihak pemberontak.
Sednaya ialah penjara tentera besar di pinggir Damsyik yang digunakan pemerintah Syria untuk menahan dan menganiaya ribuan penduduk.
Penggulingan pemerintahan ini merupakan detik besar bagi Timur Tengah.
Ia menandakan pengakhiran pemerintahan diktator keluarga Assad ke atas Syria.
Namun, ia turut memberi tamparan besar kepada negara sekutu Russia dan Iran, yang kehilangan sekutu utama di tengah-tengah rantau tersebut.
Garis masa yang terlalu pantas itu mengejutkan wilayah Arab dan menimbulkan kebimbangan akan berlakunya gelombang ketidakstabilan serantau yang baru.
Kejatuhan Encik Assad menandakan titik perubahan bagi Syria, di mana perang selama 13 tahun itu telah memusnahkan banyak bandar, meragut ratusan ribu nyawa dan memaksa jutaan penduduk menjadi pelarian di luar negara.
Dalam pada itu, sebuah pesawat dilaporkan telah berlepas dari lapangan terbang Damsyik sekitar waktu pemberontak dilaporkan telah menguasai ibu negara, menurut data dari Flightradar.
Pesawat itu pada mulanya menuju ke kawasan pesisir Syria, tetapi membuat pusingan ‘U-turn’ secara tiba-tiba sebelum hilang dari radar – dua sumber Syria membuat spekulasi bahawa Presiden Assad telah terbunuh dalam kemalangan pesawat, sumber lain meramalkan pesawat itu mungkin telah ditembak jatuh, tanpa memperincikan dalangnya.
Reuters tidak dapat mengesahkan siapa yang berada di dalam pesawat tersebut.
Semasa rakyat Syria melahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas kebebasan mereka, Perdana Menteri Mohammad Ghazi al-Jalali, berkata negara itu harus mengadakan pilihan raya bebas agar rakyat dapat memilih pemimpin mereka.
Encik Jalali turut berkata bahawa beliau telah berhubung dengan komander pemberontak, Encik Abu Mohammed al-Golani untuk membincangkan pentadbiran negara ketika tempoh peralihan itu.
Langkah ini menandakan perkembangan penting dalam usaha membentuk masa depan politik Syria.
Perang saudara Syria, yang meletus pada 2011 sebagai pemberontakan terhadap pemerintahan Encik Assad, telah melibatkan kuasa besar luar dan menjejaskan kehidupan orang awam.
Pemerintahan diktator Encik Assad telah lama bergantung kepada negara sekutu seperti Russia dan Iran untuk menumpaskan pemberontak.
Namun, sekutunya kini dibelenggu dengan krisis lain, justeru meninggalkan Encik Assad terkontang-kanting dalam menghadapi kemaraan pemberontak dan menjadi salah satu punca utama kejatuhannya. – Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg