MOSCOW - Bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, dan keluarganya kini berada di Moscow selepas Russia memberikan suaka atas dasar kemanusiaan, menurut sumber Kremlin kepada agensi berita Russia pada 8 Disember. Dalam langkah terbaru ini, satu perjanjian telah dicapai untuk menjamin keselamatan pangkalan tentera Russia di Syria.
Kementerian Luar Russia turut mengesahkan bahawa Encik Assad telah meninggalkan Syria dan mengarahkan pemindahan kuasa secara aman, selepas pasukan pemberontak memasuki Damsyik tanpa halangan pada hari yang sama, sekaligus menamatkan hampir enam dekad pemerintahan keluarga Assad yang dikenali dengan cengkaman kuku besinya.
“Presiden Syria, Bashar al-Assad, dan keluarganya kini berada di Moscow. Russia telah memberikan mereka suaka atas dasar kemanusiaan,” menurut sumber Kremlin yang dipetik oleh agensi berita Interfax.
Sumber yang sama menyatakan bahawa Russia menyokong penyelesaian politik bagi krisis di Syria, yang mana Moscow sebelum ini memberi sokongan kepada Encik Assad sepanjang perang saudara yang berlarutan di negara itu. Rundingan damai di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut dicadangkan.
Encik Mikhail Ulyanov, Duta Rusia ke organisasi antarabangsa di Vienna, turut mengesahkan berita tersebut di saluran Telegram beliau. “Berita tergempar! Bashar al-Assad dan keluarganya kini di Moscow. Russia tidak akan mengkhianati rakan-rakan dalam situasi sukar,” katanya.
Pemimpin pembangkang Syria bersetuju untuk menjamin keselamatan pangkalan tentera dan institusi diplomatik Russia di Syria. Perjanjian ini menjadi usaha strategik bagi Russia, yang sejak 2015 telah menjadi penyokong utama Encik Assad melalui campur tangan ketenteraan mereka di Syria.
Pangkalan udara Hmeimim di wilayah Latakia dan fasiliti tentera laut Tartous di pantai Syria merupakan dua aset strategik yang penting bagi Russia. Kehilangan Tartous, yang menjadi satu-satunya pangkalan pembaikan dan pengisian semula kapal Russia di Mediterranean, akan menjadi tamparan hebat kepada kemampuan Russia untuk mempamerkan kuasa di Timur Tengah, Mediterranean, dan Afrika, menurut penganalisis tentera Barat.
Pada pagi 8 Disember, Kementerian Luar Russia mengeluarkan kenyataan bahawa kedua-dua fasiliti tentera tersebut kini berada dalam keadaan berjaga-jaga, namun menafikan terdapat ancaman serius kepada keselamatan mereka.
“Tiada ancaman serius terhadap keselamatan fasiliti tersebut buat masa ini,” menurut kenyataan kementerian itu.
Kementerian tersebut turut mengesahkan bahawa pemergian Encik Assad dari Syria adalah hasil rundingan antara beliau dan pihak-pihak bersenjata di negara itu. Rusia bagaimanapun tidak terlibat dalam rundingan tersebut.
Beberapa laporan media tidak rasmi menyebut bahawa Assad berada di Moscow pada penghujung bulan November ketika pemberontak mara ke Aleppo, sebelum kembali ke Syria. Bagaimanapun, Kremlin tidak memberikan komen.
Pada 8 Disember, bendera Syria dilihat diturunkan dari tiang di luar kedutaan Syria di Moscow, menurut laporan Reuters. Kakitangan kedutaan memaklumkan kepada TASS bahawa operasi kedutaan akan berjalan seperti biasa pada Isnin, 9 Disember.
Kementerian Luar Russia juga menyeru semua pihak yang terlibat untuk mengelak daripada menggunakan kekerasan dan menyelesaikan isu pemerintahan melalui cara politik.
“Russia kini sedang berhubung dengan semua kumpulan pembangkang Syria,” tambah kenyataan itu.
Kedutaan Russia di Damsyik mengesahkan bahawa semua kakitangannya berada dalam keadaan selamat, dan pada Jumaat, 6 Disember kedutaan itu menasihati rakyat Russia di Syria untuk meninggalkan negara tersebut. - REUTERS


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg