BEIRUT: Presiden Syria Bashar al-Assad berusaha mendapatkan sokongan daripada sekutunya pada 1 Disember, selepas serangan mengejutkan pemberontak menyaksikan tentera pemerintah hilang kawalan ke atas Aleppo buat kali pertama sejak bermulanya perang saudara di negara itu.
Perikatan pemberontak telah menyerang tentera pemerintah yang disokong Iran dan Russia pada 27 November – selari dengan gencatan senjata yang dilaksanakan di negara jiran Lebanon antara Israel dengan Hezbollah.
Kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan puak bersekutu kini “mengawal bandar Aleppo, kecuali kawasan kejiranan yang dikawal oleh tentera Kurdi”, kata Encik Rami Abdel Rahman, ketua Balai Cerap Syria bagi Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain.
Buat pertama kali sejak perang saudara bermula lebih sedekad lalu, bandar kedua di negara itu “tidak dikawal oleh tentera rejim Syria”, katanya.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, yang telah menemui Encik Assad pada 1 Disember di Damsyik, berkata bahawa Teheran akan “tegas menyokong pemerintah dan tentera Syria”, lapor media Iran.
Selepas rundingan, Encik Assad menekankan “pentingnya sokongan sekutu dalam menghadapi serangan pengganas yang disokong kuasa asing”.
Terdahulu pada 1 Disember, pesawat Syria dan Russia telah melancarkan serangan menyokong tentera pemerintah, menurut badan pemantau Observatory.
Tentera Russia mengesahkan ia membantu tentera Syria “menentang pencerobohan pengganas di wilayah Idlib, Hama dan Aleppo”.
Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh di barat laut Syria dalam serangan udara yang dilakukan oleh Syria dan Russia, menurut pasukan penyelamat yang dikendalikan pembangkang Syria, dikenali sebagai ‘White Helmets’.
Jet Russia dan Syria melancarkan serangan ke atas bandar Idlib yang dikuasai pemberontak di utara Syria pada 1 Disember, kata sumber tentera.
Serangan itu dilakukan ketika Presiden Assad berikrar untuk menghancurkan pemberontak yang telah menguasai bandar Aleppo.
Tentera Syria turut melaporkan bahawa mereka telah berjaya menawan semula beberapa bandar yang ditawan pemberontak dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Pada 2016 tentera Syria – disokong oleh tentera udara Russia – menawan semula kawasan yang dikuasai pemberontak di Aleppo.
Sebelum serangan tersebut, HTS, yang diketuai oleh bekas cawangan Al-Qaeda di Syria, telah mengawal kawasan Idlib, kubu pemberontak utama terakhir di barat laut.
HTS juga mengusai sebahagian daripada wilayah jiran Aleppo, Hama dan Latakia.
Pertempuran terbaru telah membunuh lebih 412 orang, kebanyakannya pejuang tetapi juga termasuk sekurang-kurangnya 61 orang awam, menurut Observatory, yang mempunyai rangkaian sumber di dalam Syria. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg