Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Assad pindah wang tunai AS$250j ke Russia

Dec 18, 2024 | 11:50 AM
Kakitangan dari Bank Pusat Syria di Damsyik sedang menjalankan tugas selepas Presiden Bashar al-Assad digulingkan.
Kakitangan dari Bank Pusat Syria di Damsyik sedang menjalankan tugas selepas Presiden Bashar al-Assad digulingkan. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Bank Pusat Syria dilaporkan telah menghantar wang tunai bernilai AS$250 juta ($338 juta) ke Russia pada 2018 dan 2019, ketika bekas Presiden Syria Bashar al-Assad sangat bergantung kepada sokongan ketenteraan Russia.

Demikian menurut laporan Financial Times.

Antara Mac 2018 dengan September 2019, lebih 20 penerbangan dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Vnukovo, Moscow, membawa wang tunai dengan jumlah keseluruhan melebihi AS$250 juta.

Penghantaran wang tersebut, terdiri daripada wang kertas AS$100 dan 500 Euro, dianggarkan seberat hampir dua tan metrik.

Wang itu dimasukkan ke dalam dua bank yang diberi kebenaran menerima deposit tersebut – Bank Perbadanan Kewangan Russia (RFK) dan Bank TsMR.

Bank Perbadanan Kewangan Russia yang merupakan sebahagian daripada pengeksport senjata, Rosoboronexport, telah mendapat persetujuan daripada Amerika Syarikat.

“Syria membayar Russia untuk campur tangan secara ketenteraan,” kata penganalisis Syria yang berpangkalan di London, Encik Malik al-Abdeh.

Campur tangan Russia pada 2015 dilihat sebagai titik perubahan dalam perang saudara Syria, mengukuhkan rejim Assad dalam memerangi pelbagai pasukan pemberontak.

Awal Disember, Encik Assad melarikan diri ke Russia ketika pemberontak yang diketuai oleh kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menyerbu Damsyik, sekali gus menamatkan pemerintahan kuku besi lebih lima dekad oleh rejim Assad.

“Pemindahan tunai oleh bank pusat Syria juga mungkin termasuk keuntungan yang diperoleh secara haram oleh keluarga Assad dan warisan Syria di luar negara,” kata mantan Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi Ehwal Timur, Encik David Schenker.

“Rejim perlu membawa wang ke luar negara ke tempat yang selamat supaya ia boleh menggunakannya bagi memastikan kehidupan yang baik untuk rejim dan rangkaian dalamannya,” tambah beliau.

Dalam kenyataan bertulis buat kali pertama selepas melarikan diri ke Russia, Encik Assad berkata beliau telah dipindahkan ke Russia dari pangkalan Hmeimim pada 8 Disember 2024, apabila pangkalan itu diserang oleh dron.

“Ketika peristiwa ini berlaku saya tidak terfikir untuk meletak jawatan atau mencari perlindungan dan tiada siapa yang membuat cadangan sedemikian,” kata Encik Assad dalam kenyataannya itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg