IDLIB (Syria): Kejatuhan rejim Bashar al-Assad telah membuka lembaran baru dalam politik dan pentadbiran Syria.
Di tengah perubahan itu, kumpulan pemberontak Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang diketuai oleh Encik Ahmed Hussein al-Sharaa, atau lebih dikenali sebagai Abu Mohammed al-Jolani, muncul sebagai pemain utama dalam usaha menyusun semula landskap politik negara.
HTS kini mengukuhkan kedudukannya di Idlib, tetapi persoalan utama adalah sama ada kejayaan mereka di wilayah itu boleh diperluaskan ke seluruh Syria.
Pengaruh dan strategi kumpulan itu akan menjadi penentu utama hala tuju politik Syria pasca-Assad.
Sejak 2017, HTS menguasai wilayah Idlib dan berjaya mewujudkan kestabilan relatif di kawasan itu.
Melalui Pemerintah Penyelamat Syria yang ditubuhkan, HTS mentadbir wilayah itu dengan pendekatan pragmatik, walaupun masih mengekalkan identiti mereka.
“HTS menunjukkan kebolehan luar biasa dalam mengurus ekonomi konflik,” ujar Ketua Pegawai Penyelidikan di firma analitik Kharon, Encik Mark Nakhla.
Menurutnya, HTS berjaya mengubah strategi daripada bergantung kepada penderma asing kepada menguruskan kewangan melalui percukaian tempatan dan kawalan ekonomi.
Salah satu contoh ketara ialah cukai minyak zaitun yang diperkenalkan pada 2019, apabila petani diwajibkan menyerahkan 5 peratus hasil minyak zaitun mereka kepada pemerintah tempatan.
Langkah itu mendapat kritikan hebat daripada penduduknya.
“Cukai ini membebankan kami, terutama pada musim tuaian yang kurang baik,” luah seorang petani dari Idlib.
Namun, HTS tetap bertahan dengan dasar itu demi memastikan aliran pendapatan berterusan.
Selain itu, HTS turut mengawal sempadan utama seperti Bab al-Hawa, yang menjadi laluan penting untuk perdagangan dan bantuan kemanusiaan dari Turkey.
Anggaran menunjukkan HTS menjana sehingga AS15 juta ($20.3 juta) sebulan hanya daripada kutipan cukai sempadan.
HTS mempunyai akar dalam kumpulan jihad seperti Al-Qaeda, namun sejak 2016, kumpulan itu mula melonggarkan pendekatan mereka.
Strategi itu melibatkan penstrukturan semula ketenteraan dan pentadbiran yang lebih sistematik.
Menurut penyelidik di Universiti Malmo, Encik Orwa Ajjoub, perubahan itu menjadikan HTS lebih pragmatik.
“Mereka masih kumpulan keislaman, tetapi mereka kini lebih bersedia berinteraksi dengan masyarakat tempatan dan meninggalkan pendekatan keras seperti kumpulan pelampau lain,” katanya.
Contohnya, HTS tidak memaksa peraturan moral yang ketat seperti kumpulan IS.
Malah, pusat beli-belah dan kegiatan sosial yang membenarkan percampuran lelaki dan wanita dibuka walau ada tentangan daripada unsur tegar kumpulan itu.
“Mereka lebih fleksibel dalam pentadbiran. Ini adalah kunci kepada kestabilan yang mereka wujudkan di Idlib,” tambah Encik Orwa.
Di medan perang, HTS berjaya membina sebuah angkatan tentera yang lebih tersusun.
Pada 2021, mereka menubuhkan Kolej Ketenteraan, yang menyaksikan bekas pegawai tentera Syria yang berpaling tadah melatih pejuang HTS mengikut doktrin ketenteraan moden.
“Mereka bukan lagi sekadar kumpulan militia. Mereka kini lebih menyerupai sebuah tentera profesional dengan rantaian komando yang jelas,” kata penganalisis konflik dari Kumpulan Krisis Antarabangsa, Encik Jerome Drevon.
Salah satu kejayaan terbesar HTS ialah dalam serangan ke atas Damsyik, apabila kerjasama antara unit pemberontak membolehkan mereka menawan bandar itu dalam masa singkat.
“Kejayaan ini bukan secara kebetulan.
“Serangan itu dirancang dengan rapi dan dibantu oleh sokongan daripada kumpulan-kumpulan lain yang bersekutu,” ujar pakar dari Institut Timur Tengah, Encik Charles Lister.
Tambahan pula, kekuatan HTS bukan sahaja bergantung pada senjata rampasan perang malah juga keupayaan mereka untuk menghasilkan kenderaan berperisai dan membina unit dron yang memberi kelebihan taktikal di medan tempur.
Walaupun HTS berjaya mentadbir Idlib dengan berkesan, persoalan timbul sama ada mereka mampu mengekalkan pendekatan itu di peringkat nasional.
Syria merupakan negara kompleks dengan kepelbagaian etnik dan agama, termasuk ahli sunah wal-jamaah, Syiah, Kristian, Druze dan Alawite.
Bagi sebahagian rakyat, HTS masih dilihat dengan curiga kerana sejarah mereka sebagai pergerakan militan.
Selain itu, pengiktirafan antarabangsa menjadi cabaran utama kerana HTS masih disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat, Turkey dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, sebilangan pakar percaya bahawa pendekatan pragmatik HTS boleh menjadi kunci kejayaan mereka.
“Mereka telah menunjukkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan realiti politik dan ekonomi,” kata Encik Aaron Y. Zelin dari Institut Washington.
Bagi penduduk Syria, kejayaan HTS membuka harapan baharu selepas lebih sedekad hidup dalam konflik.
“Kami mahu pemerintah yang adil dan boleh dipercayai, bukan hanya sebuah lagi rejim yang menindas,” kata seorang penduduk Idlib yang enggan dikenali.
Seorang usahawan tempatan, Encik Hussam Twilo, yang mengendalikan syarikat telekomunikasi, Syriana LTE, berkata HTS menyokong pembangunan sektor swasta.
“Mereka memberi lesen kepada kami untuk beroperasi dan bersaing secara sihat,” katanya.
Namun, Encik Hussam menjangkakan akan ada peningkatan dalam percukaian selepas HTS mula mentadbir di peringkat nasional.
“Mereka mungkin lebih ketat selepas ini,” tambahnya.
Dalam konteks itu, kebangkitan HTS di Syria mencerminkan peralihan penting dalam politik negara tersebut.
Walaupun masih banyak cabaran menanti, kejayaan mereka di Idlib menunjukkan kumpulan itu bukan sahaja mampu bertahan malah juga membina semula kestabilan dalam keadaan konflik.
Sebagaimana kata pemimpin HTS, Encik Sharaa:
“Perjuangan ini bukan sekadar untuk menggulingkan rejim Assad, bahkan untuk membina Syria baru yang lebih stabil dan adil.”
Bagi rakyat Syria yang lelah dengan perang berpanjangan, harapan kini tertumpu kepada kepimpinan baru itu.
Namun, masa akan menentukan sama ada HTS benar-benar mampu mengubah Syria atau hanya mengulangi sejarah yang sama. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg