Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Auckland isytihar darurat, kesan banjir terus belenggu pihak berkuasa

Feb 04, 2023 | 05:30 AM



BANYAK jalan raya dan laluan kereta api terjejas di bandar terbesar New Zealand, Auckland, sedang rumah pula ditenggelami air dengan pokok-pokok tumbang ditiup angin kencang - ekoran hujan lebat yang turun hampir tidak henti di bahagian utara negara itu sejak 27 Januari lalu.



Kemalangan jiwa turut berlaku. Sehingga 1 Februari, empat orang dilaporkan terkorban disebabkan banjir besar dan tanah runtuh yang menyusul.



Keadaan darurat telah berkuat kuasa di kawasan Auckland dan Northland - kawasan paling utara di negara itu.



Selain itu, panggilan meminta bantuan meningkat sedang banjir mula menaiki rumah, walaupun tidak seburuk yang dikhuatiri pihak berkuasa, memandangkan Metservice meramalkan hujan lebat yang berterusan boleh menjadikan keadaan lebih buruk di Auckland.



"Kami sedikit gembira kerana kami melalui malam yang kurang sibuk, walaupun angin sangat kencang," kata pengurus serantau Kebakaran dan Kecemasan New Zealand, Encik Ron Devlin.



"Cuaca tidak mencapai tahap seburuk yang diramalkan, yang merupakan perkara yang menggembirakan."



Prasarana Awam Ditutup



Namun, beberapa jalan raya utama di Auckland ditenggelami air dengan beberapa rangkaian kereta api tidak beroperasi. Sementara itu, rumah ditenggelami air dan tanah runtuh menimbulkan risiko kepada rumah di kawasan berdekatan.



Sekolah di kawasan bandar itu, yang sepatutnya disambung semula selepas cuti musim panas, ditutup sehingga 7 Februari berikutan arahan daripada kementerian pendidikan. Namun, pusat jagaan awal kanak-kanak dibenarkan untuk dibuka semula.



Walaupun pihak berkuasa meramalkan keadaan boleh bertambah baik, namun risiko hujan lebat masih ada. Bahkan, ada risiko berkaitan pokok tumbang, ekoran tanah yang basah dan menjadi lembik susulan banjir.



Perubahan Iklim



Menteri Perubahan Iklim, Encik James Shaw, pula berkata perubahan iklim adalah penyebab berlakunya hujan lebat menjadi lebih kerap di New Zealand, walaupun kesannya berlainan mengikut wilayah.



Beliau menyatakan kaitan tersebut dalam ciapannya di Twitter baru-baru ini, sambil melahirkan sokongannya kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.



Turut terjejas adalah lapangan terbang antarabangsa Auckland yang terpaksa ditutup buat sementara, walaupun kemudiannya dibuka semula operasinya.



Selain itu, beberapa kawasan pantai di sekitar Auckland juga ditutup sedang keadaan darurat dilaksanakan.



Rekod Hujan



Pada 27-28 Januari lalu, New Zealand telah ditimpa hujan dengan mencatat rekod 24 jam paling basah dalam sejarah negara itu.



Keadaan hujan berterusan itu berlaku lagi beberapa hari kemudian dengan amaran banjir dan tanah runtuh berlaku.



Malah, pihak berkuasa mengeluarkan amaran hujan lebat kategori merah, bersamaan guruh, ribut dan hujan lebat setempat sebanyak 40 milimeter sejam.



"Kebimbangan kami ialah Auckland kerana bandar benar-benar terdedah kepada hujan," kata peramal kanan Cik Georgina Griffiths pada taklimat media di Auckland.



"Kami benar-benar bimbang. Air sungai negara ini naik, air bawah tanah naik. Hujan boleh memburukkan lagi keadaan banjir dengan cepat."



Bandar dengan 1.6 juta penduduk itu menghabiskan beberapa hari membersihkan rumah mereka dan kawasan sekitarnya selepas hujan lebat dan banjir yang mengganggu perjalanan, memusnahkan rumah dan mengorbankan nyawa.



Tiga syarikat insurans terbesar di negara itu menyatakan mereka telah menerima hampir 10,000 tuntutan sejauh ini, sambil menambah bahawa masih terlalu awal untuk menilai jumlah kos tuntutan kerosakan.



Penduduk yang kembali bekerja di Auckland digesa untuk melakukan perjalanan hanya apabila perlu, dan menimbangkan untuk bekerja dari rumah sebolehnya.



Ini sedang jalan raya dan prasarana am lain sedang diperbaiki, dengan pegawai kerajaan menggesa penduduk agak selalu berhati-hati.



"Hujan lebat dijangka menyebabkan keadaan paras sungai yang bahaya dengan banjir kilat boleh berlaku dengan cepat. Kemungkinan juga ini boleh mengganggu perjalanan, menjadikan beberapa jalan tidak dapat dilalui dan boleh mengasingkan masyarakat," kata pengawal Pengurusan Kecemasan Auckland, Cik Rachel Kelleher.



Auckland telah menyaksikan 38 peratus daripada hujan tahunannya jatuh pada bulan Januari ini sahaja, dengan Januari dicatatkan sebagai bulan paling basah dalam rekod, kata Institut Penyelidikan Air dan Atmosfera Negara.



"Perkara paling menyedihkan ialah kami telah kehilangan nyawa," kata Timbalan Perdana Menteri, Cik Carmel Sepuloni.



Ribuan hartanah terjejas dengan gangguan bekalan elektrik dan air.



Perdana Menteri baru New Zealand, Encik Chris Hipkins, telah meninjau keadaan banjir dari udara dengan menaiki helikopter di Auckland dan melawat rumah yang dilanda banjir.



Beliau menyifatkan kesan banjir di bandar itu sebagai satu bencana yang "belum pernah berlaku sebelum ini".




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >