Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Audio Netanyahu kritik Qatar tersebar, usaha damai terjejas

Jan 25, 2024 | 11:38 AM
BIDAS ISRAEL: Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed Al Ansari  menegaskan Encik Benjamin Netanyahu menjadi penghalang usaha perdamaian di Gaza menyusuli rakaman audio Perdana Menteri Israel itu menggelar Qatar sebagai ‘bermasalah’ bocor.
BIDAS ISRAEL: Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed Al Ansari  menegaskan Encik Benjamin Netanyahu menjadi penghalang usaha perdamaian di Gaza menyusuli rakaman audio Perdana Menteri Israel itu menggelar Qatar sebagai ‘bermasalah’ bocor. - Foto REUTERS

DOHA: Kerajaan Qatar menegaskan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menjadi penghalang usaha damai di Gaza.

Dakwaan itu dibuat susulan rakaman audio Encik Netanyahu yang menggelar Qatar sebagai “bermasalah” bocor dan disebarkan.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed Al Ansari, berkata pihaknya terkejut dengan kenyataan yang disebut oleh Encik Netanyahu dalam pelbagai laporan media mengenai peranan Qatar sebagai orang tengah.

“Sekiranya kenyataan yang dilaporkan itu didapati benar, PM Israel hanya akan menghalang dan menjejas proses pengantaraan di atas sebab-sebab yang nampaknya memberi manfaat kepada kerjaya politiknya dan bukannya untuk selamatkan nyawa yang tidak bersalah, termasuk tebusan Israel,” kata Encik Majed dalam laman sosial X pada 24 Januari.

Dalam rakaman audio yang bocor daripada pertemuan dengan keluarga tebusan yang disiarkan di berita Channel 12 Israel pada 23 Januari, Encik Netanyahu menggelar Qatar sebagai “bermasalah”.

“Anda tidak melihat saya mengucapkan terima kasih kepada Qatar, adakah anda perasan? Saya tidak mengucapkan terima kasih kepada Qatar. Kenapa? Kerana Qatar, pada saya, tiada bezanya dengan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), Palang Merah dan ia lebih bermasalah.

“Namun, saya bersedia menggunakan mana-mana orang tengah sekarang yang boleh membantu saya membawa mereka (tebusan) pulang,” kata Encik Netanyahu.

Diminta mengulas mengenai kenyataan itu dan sama ada rakaman yang bocor itu adalah sahih, jurucakap pemerintah Israel berkata pihaknya tidak boleh menjelaskan secara terperinci mengenai usaha dan langkah yang diambil untuk membebaskan tebusan.

Sebagai tindak balas kepada kenyataan Encik Majed, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, menuduh Doha “menyokong dan membiayai keganasan”.

Encik Smotrich berkata Qatar “sebahagian besarnya bertanggungjawab” dalam serangan 7 Oktober yang diketuai Hamas ke atas masyarakat di selatan Israel dan menggesa negara-negara Barat untuk mengenakan lebih banyak tekanan ke atasnya untuk membawa pembebasan segera tebusan.

Qatar, di mana beberapa pemimpin politik Hamas berpangkalan, telah berkhidmat sebagai pengantara utama antara pergerakan yang mentadbir Gaza itu dengan pegawai Israel dalam konflik itu.

Pada November, Qatar membantu mendapatkan gencatan senjata selama tujuh hari – dengan 110 tebusan Israel dan asing dibebaskan oleh Hamas sebagai balasan kepada 240 rakyat Palestin yang dibebaskan dari tawanan Israel.

Dalam rakaman itu, Encik Netanyahu seterusnya berkata Qatar mempunyai pengaruh terhadap Hamas kerana ia membiayai pergerakan itu.

Encik Netanyahu memberitahu keluarga tebusan bahawa beliau baru-baru ini “sangat marah dengan Amerika” kerana memperbaharui perjanjian untuk melanjutkan kehadiran tentera Amerika di sebuah pangkalan di Qatar. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg