SYDNEY: Rokok elektrik atau vape di Australia kini boleh dibeli hanya di farmasi, sebagai sebahagian daripada tindakan keras pertama dunia yang berkuat kuasa pada 1 Julai dan merangkumi larangan ke atas kebanyakan perisa.
Sebagai sebahagian daripada undang-undang baru yang dialu-alukan secara meluas oleh pakar kesihatan, vape hanya boleh dijual dalam warna dan pembungkusan biasa dan tidak boleh diiklankan atau dihasilkan di kilang setempat.
Menurut laporan The Straits Times (ST), perisa akan dihadkan kepada tembakau, mentol dan pudina dalam usaha mengharamkan perisa gula-gula getah atau bubble gum yang sangat popular dalam kalangan pengguna lebih muda.
Langkah itu, yang merupakan tindakan lanjut Australia dalam usaha sedunia membanteras rokok, akan menyukarkan lagi pembelian vape, terutamanya kerana banyak farmasi mengatakan mereka tidak mahu menjadi penjual vape di kaunter.
Banyak farmasi pada masa ini menjual vape kepada individu yang telah ditentukan oleh doktor sebagai sebahagian daripada percubaan untuk berhenti merokok.
Menteri Kesihatan Australia, Encik Mark Butler, berkata pada 1 Julai bahawa vape adalah “musuh kesihatan awam”.
Beliau turut memberi amaran bahawa mana-mana kedai serbaneka atau tembakau yang terus menjual vape, akan dikenakan denda sehingga A$2 juta ($1.8 juta) dan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
Beliau juga mengumumkan penubuhan jawatan baru dalam pemerintah – iaitu Pesuruhjaya Tembakau dan E-Rokok Haram – yang akan menyelia usaha menyasarkan jualan pasaran gelap dan pembekalan produk nikotin seperti vape dan rokok.
Lebih 20 negara telah mengharamkan vape dan lebih 50 negara telah mengharamkan penjualannya kepada kanak-kanak bawah umur, seperti mereka yang berusia di bawah 18 tahun.
Di Singapura, walaupun vape adalah haram, penggunaannya didapati semakin meningkat.
Pembelian, pemilikan atau penggunaan vape boleh dikenakan denda sehingga $2,000 bagi setiap kesalahan.
Pakar Kesihatan Awam Australia, Profesor Simon Chapman, yang meluangkan masa bertahun-tahun dalam membantu mendedahkan peranan firma tembakau sejagat dalam menyembunyikan kesan tembakau dan menyasarkan pemasaran kepada golongan muda, menyifatkan langkah baru Australia itu sebagai “agak radikal”.
Ia harus dapat membantu mengelakkan golongan muda daripada mengambil vape, tambahnya kepada ST.
Undang-undang baru itu juga mengenakan had kepekatan nikotin.
Kerajaan Australia akan mengkaji semula undang-undang vape baru dalam tempoh tiga tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg