CANBERRA: Kerajaan Australia mengumumkan bahawa wadah video YouTube kini turut tersenarai dalam larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, menjadikannya sebahagian daripada dasar larangan pertama seumpamanya di dunia.
Keputusan itu merupakan perubahan pendirian daripada dasar asal yang sebelum ini mengecualikan YouTube daripada peraturan ketat tersebut.
Larangan yang dijangka berkuat kuasa Disember 2025 akan mengehadkan akses kepada TikTok, Instagram, Facebook, X (dahulu Twitter), Snapchat, dan kini YouTube.
Di bawah larangan itu, remaja masih boleh menonton video YouTube tanpa akaun, tetapi tidak dibenarkan memiliki akaun untuk memuat naik kandungan atau berinteraksi di wadah tersebut.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, menyifatkan langkah itu sebagai usaha serius untuk melindungi kanak-kanak daripada kesan negatif media sosial.
“Media sosial sedang membawa mudarat sosial kepada anak-anak kita.
“Saya mahu ibu bapa tahu bahawa kami menyebelahi mereka. Kita sedar ini bukan satu-satunya penyelesaian, tetapi ia akan membawa perbezaan ketara,” katanya dalam sidang media pada 30 Julai.
YouTube, yang dimiliki oleh Alphabet (syarikat induk Google), sebelum ini berpendapat ia tidak wajar diklasifikasikan sebagai media sosial.
“YouTube adalah wadah perkongsian video, bukan media sosial,” kata jurucakapnya dalam satu kenyataan.
Wadah itu turut mendakwa ia menawarkan nilai dan manfaat kepada kanak-kanak Australia dan tidak wajar dikenakan larangan sedemikian.
Namun begitu, Pesuruhjaya e-Keselamatan Australia, Cik Julie Inman Grant, mengesyorkan agar YouTube turut disenarai hitam selepas penyelidikan mendapati 37 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun melaporkan terdedah kepada kandungan berbahaya di wadah tersebut iaitu peratusan tertinggi antara semua wadah media sosial.
Menteri Komunikasi, Cik Anika Wells, menegaskan walaupun media sosial mempunyai tempat dalam masyarakat, ia tidak patut menjadi ruang untuk algoritma pemangsa yang menyasarkan kanak-kanak.
“Melindungi anak-anak daripada bahaya Internet seperti mengajar mereka berenang di lautan terbuka, kita tidak boleh kawal ombak, tetapi kita boleh kawal jerung.
“Kami tidak akan tunduk kepada ugutan undang-undang dalam perjuangan demi kesejahteraan anak-anak Australia,” katanya.
Bagi syarikat teknologi yang tidak mematuhi larangan itu, mereka boleh dikenakan denda sehingga A$50 juta ($41.9 juta).
Mereka juga dikehendaki memadam akaun sedia ada dan menghalang pembukaan akaun baru.
Jurucakap YouTube berkata pihaknya akan “menilai langkah seterusnya” dan akan terus berbincang dengan kerajaan.
Media Australia sebelum ini melaporkan bahawa Google berkemungkinan mencabar keputusan itu di mahkamah, walaupun ia belum disahkan secara rasmi oleh syarikat itu.
Larangan itu tidak akan meliputi aplikasi permainan dalam talian, pemesejan, serta aplikasi kesihatan dan pendidikan kerana ia dianggap mempunyai risiko lebih rendah terhadap golongan bawah umur.
Presiden Persatuan Pengetua Sekolah Rendah Australia, Cik Angela Falkenberg, menyokong larangan tersebut dan berkata guru sentiasa menjadi penjaga kepada kesesuaian bahan yang digunakan dalam kelas.
Manakala pakar keselamatan siber, Encik Adam Marre, menyatakan bahawa “langkah Australia untuk mengawal YouTube adalah penting dalam mengekang kuasa besar teknologi yang tidak terkawal dan melindungi kanak-kanak daripada penyebaran maklumat palsu”.
Langkah Australia itu kini menjadi perhatian sejagat, dengan Norway mengikuti jejak langkah dan Britain sedang mempertimbangkan pendekatan yang sama. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg