WELLINGTON: Parti pemerintah New Zealand, Parti Kebangsaan, kini mengusulkan undang-undang baharu bagi mengehadkan akses media sosial kepada remaja berumur bawah 16 tahun.
Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Catherine Wedd melalui satu Rang Undang-Undang anggota persendirian pada 6 Mei, dengan sokongan rasmi daripada Perdana Menteri Christopher Luxon.
Jika dipilih melalui undian dan dibentangkan secara rasmi di Parlimen, rang undang-undang ini memerlukan sokongan rakan gabungan atau pembangkang untuk diluluskan menjadi undang-undang.
Sekiranya diwartakan, syarikat media sosial akan diwajibkan mengesahkan umur pengguna berusia sekurang-kurangnya 16 tahun sebelum membenarkan akses ke platform mereka — atau berdepan denda hingga NZ$2 juta ($1.55 juta).
“Saya memperkenalkan Rang Undang-Undang Pengguna Media Sosial Mengikut Umur kerana saya mahu melindungi kanak-kanak dan remaja daripada buli siber, kandungan tidak sesuai, serta ketagihan media sosial,” kata Cik Catherine Wedd dalam satu kenyataan.
“Undang-undang ini meletakkan tanggungjawab secara langsung ke atas syarikat media sosial untuk mengesahkan umur pengguna mereka sebelum diberikan akses,” tambahnya.
Cadangan itu mengikuti langkah ketat Australia yang meluluskan undang-undang pada penghujung 2024 yang mengharamkan kanak-kanak bawah 16 tahun daripada membuka akaun di platform seperti Facebook, Instagram, Snapchat dan TikTok. Langkah tersebut mencetuskan bantahan daripada syarikat teknologi besar seperti Meta dan Google, yang mengkritik dasar itu sebagai tergesa-gesa dan samar.
Perdana Menteri Luxon berkata langkah ini merupakan kesinambungan daripada dasar terdahulu yang telah melarang penggunaan telefon bimbit di sekolah sebagai sebahagian daripada usaha membendung ketagihan skrin dan meningkatkan pencapaian akademik pelajar.
“Kita harus akui bahawa walaupun media sosial ada manfaatnya, ia bukan sentiasa ruang yang selamat untuk anak-anak kita,” kata Encik Luxon kepada wartawan. “Sudah tiba masanya kita letakkan tanggungjawab ini pada platform-platform itu sendiri untuk melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya, buli siber dan eksploitasi.”
Cik Wedd turut menegaskan bahawa kebimbangan masyarakat terhadap isu ini semakin ketara. “Sebagai seorang ibu kepada empat orang anak, saya faham tekanan yang dirasai ibu bapa dalam mengawasi pendedahan anak-anak terhadap dunia digital,” ujarnya.
Menurut beliau, ramai ibu bapa dan pengetua sekolah telah menyuarakan kebimbangan terhadap kesan negatif media sosial dan kesukaran mereka dalam mengawal akses anak-anak.
Undang-undang yang dicadangkan juga memperuntukkan hukuman denda terhadap platform yang gagal mematuhi sekatan umur tersebut.
Bagaimanapun, platform masih boleh bergantung pada langkah pengesahan umur yang munasabah untuk menunjukkan pematuhan.
Setakat ini, rang undang-undang tersebut belum mempunyai tarikh rasmi untuk dibentangkan di Parlimen, namun Encik Luxon menyatakan beliau optimis untuk mendapatkan sokongan lintas parti bagi menjayakan inisiatif ini.
Perincian mengenai platform mana yang akan termasuk dalam skop undang-undang itu masih belum diumumkan secara rasmi, namun ia dijangka menyasarkan platform popular yang digunakan oleh golongan remaja.
Dalam kes Australia, YouTube dikecualikan bagi tujuan penggunaan pendidikan satu pengecualian yang mungkin turut dipertimbangkan oleh New Zealand.
“Kami dengar keluhan ibu bapa setiap hari — mereka risau dan semakin hilang kawalan terhadap akses anak-anak mereka kepada media sosial,” kata Encik Luxon. “Inilah masanya kita ambil tindakan.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg