SYDNEY: Australia telah menaikkan secara mendadak yuran visa pelajar antarabangsa sebanyak 25 peratus tetapi mengecualikan pelajar daripada Asia Tenggara dalam usaha untuk meningkatkan hubungan dengan negara-negara jiran serantaunya.

Pemerintah persekutuan pada 3 Julai telah menaikkan yuran yang tidak boleh dikembalikan untuk pelajar yang memohon visa di Australia daripada A$2,000 (S$1,810) kepada A$2,500.

Namun, buat pertama kalinya, pelajar daripada negara-negara Asean dikecualikan daripada kenaikan tersebut dan hanya tertakluk kepada kenaikan yang diselaraskan oleh inflasi sebanyak A$50, menjadikan yuran tersebut kepada A$2,050.

Yuran visa pelajar antarabangsa Australia adalah yang tertinggi di dunia.

Sebagai perbandingan, yuran di Amerika Syarikat dan Britain, masing-masing sebanyak AS$535 (S$690) dan £558 (S$959).

Kenaikan yuran tersebut dilakukan ketika pemerintah cuba menangani lonjakan migrasi sejak pandemik Covid-19.

Ia meningkat daripada A$710 kepada A$1,600 pada Julai 2024 dan kepada A$2,000 pada Julai 2025.

Penolong menteri pendidikan antarabangsa Australia, Encik Julian Hill, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa pemerintahnya telah mengecualikan pelajar Asean sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperdalam penglibatan Australia dengan Asia Tenggara.

Australia mengenakan yuran yang lebih rendah – hanya A$745 – untuk negara-negara Pasifik, termasuk Timor-Leste, yang menjadi anggota Asean pada Oktober 2025, sebagai sebahagian daripada jangkauan diplomatiknya.

“Kadar yuran visa yang dikurangkan untuk pelajar dari negara-negara Asean mencerminkan kepentingan Australia dalam mengalu-alukan pelajar berkualiti tinggi daripada Asia Tenggara,” kata Encik Hill.

“Australia dan negara-negara Asean berkongsi ikatan yang mendalam dan berkekalan. Justeru adalah penting bagi golongan muda kita meluangkan masa dalam tahun-tahun pembentukan mereka untuk mengenali antara satu sama lain dan membina ikatan sepanjang hayat,” tambahnya.

Walaupun terdapat peningkatan dan permohonan kekal tinggi, namun ramai pelajar di seluruh rantau ini menyatakan yuran tidak akan menghalang mereka daripada memohon.

Agensi Perkhidmatan Pelajar AUG, yang mempunyai lebih daripada 30 tahun pengalaman dalam memberi kaunseling kepada pelajar Malaysia tentang pembelajaran di Australia, berkata kenaikan yuran tidak mungkin menghalang pemohon untuk melanjutkan pelajaran di negara itu.

Sejak 2022, Australia, yang kini menempatkan kira-kira 15,000 pelajar Malaysia, telah menjadi destinasi pengajian luar negara utama bagi rakyat Malaysia.

“Kenaikan itu hanya 2.5 peratus, atau A$50, daripada A$2,000 sebelumnya,” kata pengarah perkongsian AUG (Australia), Cik Nicole Chong, kepada ST.

“Ini menunjukkan keazaman pemerintah Australia untuk mengekalkan hubungan pendidikan yang kukuh dengan Asean,” tambahnya.

Sektor pendidikan antarabangsa Australia merupakan eksport kelima terbesar negara itu, dengan pendapatan A$55 bilion pada 2025.

Ia kini mempunyai kira-kira 681,000 pelajar asing di universiti, kolej vokasional, sekolah dan institusi lain, termasuk 160,000 daripada China, 111,000 (India), 61,000 ( Nepal), 31,000 (Vietnam) dan Singapura (6,165).