Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Australia tolak tindak balas selepas AS kenakan tarif keluli

Mar 12, 2025 | 12:39 PM
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, bercakap kepada media semasa sidang akhbar di Sydney, Australia, pada 12 Mac 2025.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, bercakap kepada media semasa sidang akhbar di Sydney, Australia, pada 12 Mac 2025. - Foto EPA-EFE

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, menegaskan negaranya tidak akan mengenakan tarif timbal balik terhadap Amerika Syarikat.

Keputusan itu dibuat meskipun Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium, tanpa sebarang pengecualian untuk mana-mana negara, termasuk Australia.

Langkah mengejutkan dari Rumah Putih itu diumumkan pada 11 Mac dan berkuat kuasa serta-merta pada 12 Mac, sekali gus membatalkan harapan untuk pengecualian yang sebelum ini dijanjikan oleh Encik Trump sendiri.

Pada Februari, Encik Trump menyatakan beliau akan memberikan “pertimbangan serius” untuk mengecualikan Australia susulan perbualan telefon bersama Encik Albanese, mengambil kira lebihan dagangan Amerika dengan Australia.

Namun kenyataan terkini Encik Trump dianggap sebagai satu tamparan oleh Encik Albanese, yang menyifatkan keputusan itu sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan semangat persahabatan antara kedua-dua negara.

“Keputusan ini langsung tidak berasas… dan bertentangan dengan semangat persahabatan jangka panjang antara Australia dengan Amerika, serta bercanggah dengan manfaat kerjasama ekonomi kita,” tegas Encik Albanese kepada media.

Walaupun kecewa, beliau menolak mengambil langkah membalas tindakan dengan mengenakan tarif timbal balik, sambil memberi amaran bahawa tindakan sebegitu hanya akan merugikan pengguna tempatan dan meningkatkan inflasi.

“Tarif dan ketegangan dagang yang meningkat adalah kerosakan ekonomi yang berpunca daripada diri sendiri.

“Ia hanya akan memperlahankan pertumbuhan dan meningkatkan inflasi. Kosnya ditanggung oleh pengguna,” jelas beliau.

Encik Albanese turut memaklumkan bahawa beliau akan terus melobi pentadbiran Amerika agar mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

Meskipun telah memohon untuk mengadakan perbualan telefon dengan Encik Trump, beliau menegaskan tidak akan berkunjung ke Amerika untuk bertemu secara bersemuka.

“Saya akan terus memperjuangkan kepentingan Australia dari sini,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti New South Wales, Dr Scott French, memberi amaran bahawa kesan tarif itu bukan sahaja akan dirasakan oleh pengeluar logam Australia, malah turut memberi kesan tidak langsung kepada syarikat perlombongan yang membekalkan bahan mentah untuk pembuatan logam.

“Struktur rantaian bekalan sejagat yang kompleks menyukarkan ramalan tentang sektor mana yang akan menerima kesan paling ketara.

“Namun begitu, kesan keseluruhan daripada tarif ini dijangka tetap bersifat negatif,” ujar beliau.

Australia bukanlah pengeksport utama keluli, namun ia merupakan pengeksport terbesar bijih besi – bahan mentah utama untuk pembuatan keluli.

Eksport keluli dan aluminium Australia ke Amerika hanya mewakili kurang 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport tahunan negara itu.

Encik Albanese turut memetik data bahawa lebihan dagangan Amerika dengan Australia mencecah AS$17.9 bilion ($23.8 bilion) pada 2024, meningkat 1.6 peratus berbanding 2023.

“Data ini jelas menunjukkan siapa sebenarnya yang meraih manfaat besar daripada hubungan dagangan ini,” kata Encik Albanese. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg