WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sekali lagi mencetuskan ketegangan dalam perang perdagangan antara Washington dan Ottawa apabila beliau mengugut untuk menggandakan tarif import keluli dan aluminium dari canada daripada 25 peratus kepada 50 peratus.
Namun tindakan tegas itu memaksa pemerintah wilayah Ontario menarik balik caj tambahan elektrik yang dijual ke Amerika Syarikat, sekali gus meredakan ketegangan buat sementara waktu.
Langkah Ontario menarik balik caj tambahan elektrik disambut oleh Penasihat Perdagangan Rumah Putih, Peter Navarro, yang mengesahkan bahawa Presiden Trump menarik semula cadangannya untuk menggandakan tarif kepada 50 peratus. Namun begitu, tarif sedia ada sebanyak 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium tetap akan berkuat kuasa mulai 12 Mac.
Kenyataan Encik Trump yang dibuat menerusi Truth Social pagi 11 Mac mengejutkan pasaran saham. Beliau menulis: “Saya telah arahkan Setiausaha Perdagangan untuk menambah tarif tambahan sebanyak 25 peratus, menjadi 50 peratus, ke atas semua keluli dan aluminium yang diimport dari Canada, salah satu negara yang mengenakan tarif tertinggi di dunia.”
Perdana Menteri Ontario, Doug Ford, mengesahkan bahawa beliau dihubungi oleh Setiausaha Perdagangan Amerika, Howard Lutnick, dan bersetuju untuk membatalkan caj tambahan elektrik.
“Saya yakin Presiden Trump akan menarik balik rancangannya selepas ini. Kita tidak akan menyerah begitu sahaja. Kita mahu berbincang secara konstruktif,” katanya.
Walaupun Encik Trump menganggap tarif sebagai alat rundingan berkesan, pasaran saham memberikan reaksi negatif. Indeks S&P 500 jatuh 2.7 peratus pada 10 Mac dan susut lagi 0.8 peratus pada 11 Mac. Indeks Dow Jones pula merosot sebanyak 478 mata, manakala Nasdaq susut 0.2 peratus.
Encik Trump mempertahankan dasar tarifnya dalam sesi soal jawab bersama kumpulan CEO Business Roundtable.“Tarif memberi kesan yang sangat positif — mereka akan berikan hasil, dan kini sedang memberi hasil,” kata Encik Trump, sambil menyatakan tarif akan memaksa kilang berpindah semula ke Amerika.
Namun, kebimbangan terhadap kemelesetan semakin meningkat. Ahli ekonomi Harvard dan bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Larry Summers, menganggarkan kemungkinan kemelesetan kini 50-50, manakala Goldman Sachs menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2025 kepada 1.7 peratus daripada 2.2 peratus.
Encik Trump turut mengaitkan tarif terhadap Canada dengan isu penyeludupan fentanyl serta dakwaan bahawa Canada mengenakan cukai tinggi terhadap import tenusu Amerika yang merugikan petani Amerika. Malah, beliau sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menyuarakan keinginannya agar Canada menjadi negeri ke-51 Amerika.
“Satu-satunya langkah masuk akal ialah Canada menjadi negeri ke-51 kita. Ini akan selesaikan semua isu tarif,” tulisnya.
Perdana Menteri Canada yang baharu, Encik Mark Carney, mengecam kenyataan dan tindakan Encik Trump. Beliau menegaskan bahawa tarif balas terhadap Amerika akan dikekalkan sehingga Washington menunjukkan komitmen terhadap perdagangan bebas dan adil.
“Pemerintah saya akan kekalkan tarif ini sehingga kami mendapat penghormatan dan janji yang kukuh daripada pihak Amerika. Tarif Trump adalah serangan terhadap pekerja, keluarga dan perniagaan Canada,” ujar Encik Carney dalam satu kenyataan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg