Badan pilihan raya Thailand sahkan kemenangan parti PM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badan pilihan raya Thailand sahkan kemenangan parti PM

Feb 26, 2026 | 8:49 AM

Badan pilihan raya Thailand sahkan kemenangan parti PM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Tanpa mana-mana parti memperoleh majoriti mutlak, Parti Bhumjaithai dan Pheu Thai bersetuju membentuk kerajaan gabungan.
Tanpa mana-mana parti memperoleh majoriti mutlak, Parti Bhumjaithai dan Pheu Thai bersetuju membentuk kerajaan gabungan. - Foto AFP

BANGKOK: Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand pada 25 Februari mengesahkan kemenangan parti konservatif pimpinan Perdana Menteri sementara Encik Anutin Charnvirakul selepas meratifikasi sebahagian besar keputusan pilihan raya umum yang berlangsung bulan ini.

Dalam kenyataan rasmi, suruhanjaya itu mengesahkan keputusan bagi 396 ahli Parlimen baharu daripada keseluruhan 500 kerusi Dewan Perwakilan. Parti Bhumjaithai yang dipimpin Encik Anutin memenangi 170 kawasan pilihan raya, jumlah tertinggi berbanding parti lain.

Keputusan itu membuka laluan kepada rundingan pembentukan kerajaan baharu selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah.

Parti reformis Parti Rakyat yang sebelum ini mendahului tinjauan menjelang pilihan raya 8 Februari berada di tempat kedua dengan 88 kerusi kawasan.

Sementara itu, parti populis Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas pemimpin dipenjara Thaksin Shinawatra hanya memperoleh 58 kerusi, keputusan terburuk dalam sejarah moden parti tersebut.
Walaupun tewas teruk, Pheu Thai bersetuju menyertai gabungan dengan Bhumjaithai bagi membentuk kerajaan campuran.

Seorang pegawai parti Bhumjaithai berkata beberapa parti kecil juga akan menyertai pakatan tersebut.
“Kami sedang berbincang dengan rakan gabungan untuk memastikan kerajaan stabil dapat dibentuk secepat mungkin,” katanya.

Prestasi cemerlang Bhumjaithai dilihat berkait rapat dengan sentimen nasionalisme yang meningkat selepas dua pusingan pertempuran sempadan berdarah dengan Kemboja pada 2025.

Parti yang cenderung pro tentera dan pro monarki itu mencatat keputusan pilihan raya terbaik sepanjang sejarahnya.

Sebaliknya, Pheu Thai yang merupakan parti paling berjaya di Thailand sepanjang abad ke 21 mengalami kemerosotan mendadak sokongan pengundi.

Penganalisis politik tempatan berkata isu keselamatan negara memberi kelebihan besar kepada parti konservatif. “Ketegangan sempadan mengubah mood pengundi. Dalam situasi krisis, ramai memilih kestabilan berbanding reformasi,” kata seorang pemerhati politik di Bangkok.

Kedua-dua parti sebenarnya pernah bekerjasama sebelum ini, namun gabungan mereka berpecah pada Jun lalu selepas kebocoran rakaman telefon melibatkan pemimpin Pheu Thai, Cik Paetongtarn Shinawatra.

Dalam perbualan itu, beliau merujuk bekas pemimpin Kemboja Hun Sen sebagai “pakcik” dan menyifatkan seorang komander tentera Thailand sebagai “pihak lawan”.

Rakaman tersebut mencetuskan kemarahan awam ketika ketegangan sempadan memuncak dan akhirnya menyebabkan Bhumjaithai menarik diri daripada kerajaan ketika itu. Seorang pegawai tentera ketika itu menyifatkan kenyataan tersebut sebagai “tidak sensitif terhadap keselamatan negara”.

Walaupun majoriti keputusan telah disahkan, pengiraan semula sedang dijalankan di tiga kawasan pilihan raya selepas timbul persoalan mengenai ketelusan proses kiraan undi.

Di sebuah pusat mengundi di utara Thailand, pengundi akan mengundi semula pada 1 Mac kerana jumlah pengundi berdaftar tidak sepadan dengan jumlah kertas undi yang diterima.

Suruhanjaya Pilihan Raya turut belum mengesahkan 100 kerusi senarai parti. Namun keputusan awal menunjukkan Bhumjaithai jauh mendahului dengan lebih 190 kerusi keseluruhan.

Parti Rakyat dianggarkan memperoleh hampir 120 kerusi manakala Pheu Thai kurang daripada 80 kerusi.

Mengikut undang undang Thailand, sekurang kurangnya 95 peratus ahli Parlimen perlu disahkan sebelum Parlimen baharu boleh bersidang bagi memilih Yang Dipertua Dewan serta perdana menteri.

Seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya berkata proses pengesahan sedang dipercepatkan.
“Kami berusaha memastikan keputusan lengkap dapat disahkan secepat mungkin supaya Parlimen boleh bersidang dan kerajaan baharu dibentuk,” katanya.

Dengan kemenangan ini, Encik Anutin dilihat berada di landasan kukuh untuk terus memimpin kerajaan Thailand, namun kestabilan pentadbiran akan banyak bergantung kepada kekuatan gabungan dan rundingan politik selepas pilihan raya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg