Pilihan raya Thailand 8 Feb: Pertembungan progresif, populis dan konservatif tentukan arah kuasa
Pilihan raya Thailand 8 Feb: Pertembungan progresif, populis dan konservatif tentukan arah kuasa
BANGKOK: Thailand akan mengadakan pilihan raya umum pada 8 Februari, dalam satu persaingan tiga penjuru yang mencerminkan episod terbaharu dalam pertarungan kuasa yang berpanjangan antara blok progresif, populis dan konservatif di negara itu.
Keputusan pilihan raya kali ini bukan sahaja menentukan kerajaan baharu, malah berpotensi membentuk semula landskap politik Thailand yang telah lama bergolak dengan krisis institusi, campur tangan kehakiman dan pengaruh elit tradisional.
Tinjauan pendapat secara konsisten menunjukkan Parti Rakyat (People’s Party) muncul sebagai parti paling popular dalam kalangan pengundi. Dengan agenda reformasi menyeluruh dan penguasaan media sosial yang berkesan, parti progresif itu mendapat sokongan besar daripada pengundi muda dan bandar, sekali gus dilihat sebagai pencabar utama dalam pilihan raya kali ini.
Pendahulunya, Parti Move Forward, memenangi pilihan raya 2023 dengan cemerlang, meraih hampir semua 33 kerusi di Bangkok dan menembusi kawasan yang sebelum ini dianggap kubu konservatif. Namun, meskipun membentuk pakatan dengan parti tempat kedua, Parti Pheu Thai dan Move Forward gagal membentuk kerajaan kerana kekurangan sokongan parlimen.
Momentum sokongan terhadap gerakan ini dilihat tidak surut. Tinjauan Universiti Suan Dusit antara 16 hingga 28 Januari melibatkan 26,661 responden menunjukkan Parti Rakyat disokong 36 peratus pengundi, diikuti Pheu Thai dengan 22.1 peratus, manakala Parti Bhumjaithai di tempat ketiga dengan 18.9 peratus.
Satu lagi tinjauan oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Nasional (NIDA) pada 23 hingga 27 Januari mendapati Parti Rakyat memperoleh sokongan 34.2 peratus; Bhumjaithai 22.6 peratus, dan Pheu Thai 16.2 peratus.
Dalam pilihan raya 2023, pendahulu Parti Rakyat memenangi 151 daripada 500 kerusi, manakala Pheu Thai memperoleh 141 kerusi dan Bhumjaithai 71 kerusi.
Penganalisis menjangkakan tiada satu pun daripada tiga parti utama akan memperoleh majoriti mutlak, menjadikan kerajaan gabungan hampir pasti. Namun, pembentukan gabungan dijangka rumit kerana hubungan antara parti-parti utama dibayangi sejarah pengkhianatan politik, perpecahan dan perbezaan ideologi yang mendalam, terutama sejak enam bulan lalu.
Dalam senario ini, sokongan parti-parti kecil daripada puluhan yang bertanding boleh menjadi penentu. Justeru, parti yang memenangi kerusi terbanyak mungkin tidak semestinya berjaya membentuk kerajaan.
Parti Rakyat memiliki kelebihan di peti undi, tetapi kekurangan rakan gabungan yang selesa dengan agenda reformasinya boleh menjadi halangan besar.
Sebaliknya, Bhumjaithai dilihat lebih fleksibel. Pemimpinnya, Encik Anutin Charnvirakul, dikenali sebagai perunding politik yang berpengalaman dan sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak.
Pheu Thai pula, meskipun popularitinya menurun dan terjejas akibat pembelotan ahli kepada Bhumjaithai, masih memiliki sumber kewangan besar hasil pengaruh keluarga Shinawatra. Sesetengah penganalisis berpendapat Pheu Thai berkemungkinan besar kembali bekerjasama dengan Bhumjaithai bagi membentuk kerajaan, seperti yang berlaku sebelum ini.
“Dalam politik Thailand, keupayaan berunding selepas pilihan raya sama penting dengan kemenangan di peti undi,” kata seorang penganalisis politik di Bangkok. “Gabungan pragmatik sering mengatasi mandat moral.”
Walaupun berada di hadapan, Parti Rakyat berdepan cabaran besar. Agenda liberal dan anti-penubuhan yang dibawanya, termasuk usaha membanteras monopoli serta reformasi tentera dan kehakiman, dilihat mengancam status quo yang telah lama memihak kepada elit politik, keluarga berpengaruh dan jeneral berhaluan diraja.
Gerakan ini mempunyai sejarah konflik dengan institusi negara. Penjelmaan pertamanya, Future Forward, dibubarkan mahkamah pada 2020 atas kesalahan pembiayaan kempen, mencetuskan protes jalanan. Ia kembali sebagai Move Forward dan memenangi undi terbanyak pada 2023, tetapi dihalang oleh Senat yang dilantik tentera daripada membentuk kerajaan, sebelum sekali lagi dibubarkan kerana berkempen untuk meminda undang-undang berkaitan perlindungan institusi raja.
Kini Parti Rakyat beroperasi sebagai People’s Party, gerakan ini mengambil nama Inggeris yang sering digunakan bagi Khana Ratsadon, kumpulan yang mengetuai revolusi 1932 yang menamatkan sistem monarki mutlak di Thailand.
Namun, ancaman undang-undang masih menghantui. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan kini menyiasat 44 bekas ahli parlimen Move Forward atas dakwaan pelanggaran etika berkaitan usaha meminda undang-undang penghinaan raja pada 2021 - cadangan yang telah digugurkan.
Antara yang disiasat termasuk 15 ahli Parti Rakyat termasuk dua daripada tiga calon perdana menteri mereka, iaitu pemimpin parti Encik Natthaphong Ruengpanyawut dan timbalannya Encik Sirikanya Tansakun. Jika kes ini dirujuk ke Mahkamah Agung, mereka berisiko dikenakan larangan politik.
Pada usia 59 tahun, Encik Anutin muncul sebagai tokoh pragmatik yang berjaya memanfaatkan kekosongan kuasa. Kenaikannya ke jawatan perdana menteri pada September 2025 membuktikan keupayaannya membaca situasi politik, apabila beliau bertindak pantas selepas mahkamah menyingkirkan Cik Paetongtarn Shinawatra dan memujuk parti-parti gabungan menarik sokongan daripada Pheu Thai.
Seorang tokoh konservatif yang setia kepada institusi diraja, Encik Anutin kini perlu memperluas sokongan Bhumjaithai melepasi 71 kerusi yang dimenangi sebelum ini, sambil menggunakan hubungannya dalam penubuhan negara bagi membentuk gabungan yang mampu menyekat kemaraan Parti Rakyat.
Setiap parti boleh mengemukakan sehingga tiga calon perdana menteri. Mana-mana parti yang memenangi sekurang-kurangnya 25 kerusi layak mencalonkan nama untuk undian Parlimen.
Untuk dilantik sebagai perdana menteri, seseorang calon mesti memperoleh sokongan lebih separuh daripada 500 ahli Dewan Rendah.
Jika gagal, Parlimen akan bersidang semula dan proses undian diulangi sehingga seorang perdana menteri dipilih, tanpa had masa ditetapkan.
Dalam keadaan politik yang berpecah dan sarat kepentingan, pilihan raya 8 Februari bukan sekadar persaingan parti, tetapi ujian terhadap sama ada sistem politik Thailand mampu menyerap perubahan atau sekali lagi terjerumus ke dalam kebuntuan kuasa. - Agensi berita

