Pilihan raya Thai: Anutin peroleh mandat kukuh, rundingan gabungan bermula

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan raya Thai: Anutin peroleh mandat kukuh, rundingan gabungan bermula

Parti Bhumjaithai dijangka runding dengan parti kecil, termasuk Parti Kla Tham pimpinan Timbalan Perdana Menteri
Feb 9, 2026 | 2:31 PM

Pilihan raya Thai: Anutin peroleh mandat kukuh, rundingan gabungan bermula

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Encik Anutin Charnvirakul, Thailand, election, pilihan raya, Bangkok, perdana menteri, prime minister, Parti Bhumjaithai
Perdana Menteri Thailand dan calon perdana menteri Parti Bhumjaithai (BJT), Encik Anutin Charnvirakul (tengah), berjalan melepasi kumpulan wartawan selepas sidang media sejurus pusat pengundian ditutup bagi pilihan raya umum di ibu pejabat parti itu di Bangkok, pada 8 Februari. - Foto EPA

BANGKOK: Perdana Menteri sementara Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, bersiap sedia memulakan rundingan pembentukan kerajaan gabungan pada 9 Februari selepas Parti Bhumjaithai pimpinan beliau mencatat kemenangan mengejut dan lebih besar daripada jangkaan dalam pilihan raya umum pada 8 Februari.

Menurut laporan media tempatan Thailand, dengan kira-kira 93 peratus undi dikira, Parti Bhumjaithai yang berhaluan konservatif dijangka memenangi sekurang-kurangnya 194 kerusi daripada keseluruhan 500 kerusi Dewan Perwakilan, sekali gus muncul sebagai parti terbesar dalam Parlimen, namun masih belum mencapai majoriti mutlak.

Parti progresif Parti Rakyat berada di tempat kedua dengan anggaran 116 kerusi, manakala Parti Pheu Thai, yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra, berada di tempat ketiga dengan sekitar 76 kerusi.

Thaksin kini menjalani hukuman penjara satu tahun atas kesalahan rasuah, walaupun ramai pemerhati menjangkakan dia mungkin dibebaskan lebih awal menerusi penyelesaian politik.

Encik Anutin, yang hanya memegang jawatan perdana menteri sejak September lalu berkata beliau belum mahu mengulas secara terperinci mengenai rakan gabungan kerana keputusan rasmi pilihan raya masih belum dimuktamadkan.

“Kami akan menunggu sehingga kedudukannya lebih jelas, dan setiap parti perlu bermesyuarat dengan jawatankuasa eksekutif masing-masing sebelum membuat keputusan,” katanya kepada wartawan pada lewat 8 Februari.

Penganalisis politik Encik Napon Jatusripitak menjangkakan Bhumjaithai akan bergerak pantas membentuk kerajaan baru.

“Dengan pembahagian kerusi ini, Bhumjaithai berkemungkinan besar mengetuai kerajaan di mana pengaruhnya dominan dan memainkan peranan paling menentukan dalam membentuk hala tuju serta pelaksanaan dasar,” katanya.

Kerajaan baru Thailand berdepan cabaran besar, termasuk pertumbuhan ekonomi yang lembap, pemulihan sektor pelancongan yang masih belum kembali ke paras sebelum pandemik Covid-19, serta isu rangkaian penipuan siber bernilai berbilion dolar yang beroperasi dari rantau itu.

Namun, isu paling mendesak ialah pertikaian sempadan dengan Kemboja, yang mencetuskan pertempuran terbuka pada Julai dan Disember lalu, mengorbankan puluhan nyawa di kedua-dua pihak serta menyebabkan kira-kira sejuta penduduk dipindahkan.

Pemerhati berkata gelombang nasionalisme yang meningkat susulan konflik itu menjadi antara faktor utama yang melonjakkan sokongan terhadap Encik Anutin dan Parti Bhumjaithai.

“Thailand akan bergerak seperti dalam tiga bulan kebelakangan ini. Kita akan melihat nasionalisme, pendirian tegas terhadap Kemboja dan dasar ekonomi yang serupa. Tiada banyak yang berubah,” kata Encik Virot Ali, pensyarah politik di Universiti Thammasat.

Sejurus mengambil alih jawatan perdana menteri, selepas dua pendahulunya dari Parti Pheu Thai disingkirkan mahkamah, Encik Anutin memberi kuasa luas kepada angkatan tentera untuk bertindak di sempadan.

Tentera Thailand kemudian menguasai beberapa kawasan pertikaian dalam pertempuran Disember lalu, dengan satu gencatan senjata rapuh kini berkuat kuasa.

“Sejak saya mengambil alih jawatan perdana menteri, wilayah dan kepentingan yang sebelum ini kita rasakan terlepas kini kembali berada di bawah kawalan kita,” kata Encik Anutin dalam satu perhimpunan di wilayah sempadan Sisaket sebelum ini.

Bagaimanapun, penganalisis serantau memberi amaran tentang implikasi kemenangan itu terhadap hubungan sivil-tentera.

Encik Paul Chambers, zamil kanan bersekutu di Iseas-Institut Yusof Ishak berkata kemenangan Encik Anutin “berpotensi membolehkan tentera menjadi lebih berautonomi daripada kawalan awam”.

Sejarah politik Thailand sarat dengan rampasan kuasa tentera, bantahan jalanan berdarah dan campur tangan kehakiman.

Namun Encik Napon berpandangan keputusan kali ini luar biasa.

“Ini adalah kali pertama dalam tempoh yang sangat lama sebuah parti konservatif muncul sebagai pemenang terbesar dalam pilihan raya,” katanya.

“Dalam erti kata lain, keputusan ini mungkin menyelesaikan dilema berulang politik Thailand, di mana kepentingan konservatif sering campur tangan untuk menyekat proses demokrasi selepas kalah dalam pilihan raya.”

Perlembagaan Thailand yang digubal di bawah pemerintahan tentera selepas rampasan kuasa 2014 memberikan kuasa besar kepada institusi yang dilantik Senat, yang tidak dipilih secara langsung.

Dalam satu referendum pada 8 Februari, kira-kira 60 peratus pengundi menyatakan sokongan terhadap pembaharuan perlembagaan secara prinsip, walaupun tanpa perincian langkah khusus.

“Pengundi telah memberi kami lebih daripada yang kami jangkakan,” kata Encik Anutin kepada pemberita.

“Kami berhutang besar kepada rakyat. Satu-satunya cara membalasnya ialah dengan bekerja sepenuh tenaga demi membawa kebaikan kepada negara,” tambah beliau.

Parti Rakyat telah menolak kemungkinan menyertai kerajaan gabungan pimpinan Encik Anutin.

Ketuanya, Encik Natthaphong Ruengpanyawut, berkata parti itu tidak akan membentuk gabungan alternatif.

Sebaliknya, Parti Bhumjaithai dijangka berunding dengan parti-parti kecil, termasuk Parti Kla Tham pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Encik Thammanat Prompao, yang dijangka memenangi sekitar 58 kerusi.

Gabungan kedua-dua parti itu sudah mencukupi untuk melepasi ambang 251 kerusi bagi membentuk kerajaan.

“Bhumjaithai akan memulakan rundingan dari kedudukan yang sangat kuat,” kata seorang penganalisis.

“Mereka tidak perlu menyerahkan kementerian penting dan akan berada di kerusi pemandu.”

Bagi ramai pengundi, keputusan ini mencerminkan keinginan terhadap kestabilan dan pertumbuhan ekonomi.

“Mereka mengundi untuk kestabilan dan pertumbuhan ekonomi,” kata pengamat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg