Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bagaimana agensi PBB tangani krisis kemanusiaan terbesar di Gaza

Ditubuhkan untuk memberi bantuan sementara bagi rakyat Palestin yang melarikan diri atau diusir dari rumah mereka, semasa perang Arab-Israel 1948. Agensi itu sehingga kini sediakan khidmat dan pembiayaan bagi mereka yang berdaftar sebagai pelarian Palestin, di seluruh Timur Tengah.
Nov 6, 2023 | 5:30 AM
KEM PELARIAN: Kawasan penampungan pelarian Palestin yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat (UNRWA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Khan Younis Jaluran Gaza.
KEM PELARIAN: Kawasan penampungan pelarian Palestin yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat (UNRWA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Khan Younis Jaluran Gaza. - Foto REUTERS

Agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) ini telah membantu pelarian Palestin sejak 74 tahun lalu.

Namun pada Khamis, ia mengatakan telah mula mengurangkan dengan banyaknya operasi mereka di Jaluran Gaza selepas hampir kehabisan rizab bahan apinya.

Keadaan itu memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang disifatkan oleh pegawai tertinggi agensi itu bak “neraka di muka bumi ini”.

Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), dalam satu kenyataan berkata, ia terpaksa mengurangkan bekalan air dan bahan api yang disediakan untuk penjana kuasa, pusat perubatan dan kedai roti.

“Kita boleh berjimat atau catu sedikit dan kita telah mengambil masa beberapa jam lagi untuk melakukan ini,” kata Encik Hector Sharp, ketua pejabat undang-undang lapangan UNRWA, dari Gaza.

Tetapi Gaza akan kehabisan minyak pada satu ketika dan dunia akan, “saya harap, duduk dan berkata kami akan menghantar bahan api, Tetapi ia sudah terlambat”.

Di sini kita lihat lebih dekat organisasi ini dan kerjanya:

Penubuhan UNRWA

Pada asalnya ia bertujuan untuk memberikan bantuan sementara, UNRWA ditubuhkan pada 1949 untuk membantu rakyat Palestin yang melarikan diri atau diusir dari rumah mereka semasa perang Arab-Israel 1948.

Rakyat Palestin adalah satu-satunya kumpulan pelarian yang bantuan terhadap mereka tidak dikendalikan di bawah mandat lebih luas Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian.

Agensi itu telah beroperasi di Jordan, Lebanon, Syria, Tebing Barat dan Jaluran Gaza, menyediakan penjagaan kesihatan, makanan, pekerjaan, pinjaman kecemasan, bantuan perumahan dan pendidikan, kepada jutaan rakyat Palestin.

Ia dibiayai hampir keseluruhannya melalui derma sukarela oleh negara anggota PBB, dengan Amerika Syarikat dan negara Kesatuan Eropah (EU) menyediakan sebahagian besar pembiayaan.

Hubungan UNRWA dengan Israel

Israel telah membantah takrif UNRWA tentang orang Palestin sebagai pelarian, dan lantang menentang meluaskan kategori itu kepada mereka yang dilahirkan di Jaluran Gaza.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyeru agar UNRWA dibubarkan, menuduhnya mengekalkan dan bukannya menyelesaikan “masalah pelarian” Palestin.

“Orang Israel percaya bahawa negara-negara Arab, terutamanya, mahu masalah pelarian Palestin kekal tidak dapat diselesaikan, supaya ada peringatan berterusan tentang tragedi Palestin,” kata Encik Ahron Bregman, seorang zamil kanan di King’s College London, yang pakar dalam ehwal konflik Arab-Israel.

“UNRWA seperti yang dilihat oleh Israel, adalah alat untuk memastikan masalah pelarian Palestin tidak dapat diselesaikan.”

Tetapi beberapa pakar berkata, walaupun banyak pihak yang menentangnya, Israel sebenarnya memerlukan UNRWA di Jaluran Gaza, demi kestabilan rantau itu.

“Di sebalik tabir, Israel sering lebih cenderung dengan kerja UNRWA,” kata Dr Anne Irfan, pakar hak pelarian Palestin di University College London.

“Agensi itu telah menyediakan perkhidmatan yang jika tidak, Israel perlu menyediakannya sebagai kuasa yang menduduki wilayah itu.”

Kebanyakan kakitangan UNRWA di lapangan adalah warga Palestin.

Sejak 7 Oktober, 39 daripada mereka telah terbunuh, kebanyakannya berada di rumah mereka atau semasa menjalankan tugas, kata agensi itu.

Lagi 22 kakitangan dilaporkan cedera, dan ribuan lagi masih dalam bahaya kerana mereka terus memberikan bantuan kepada orang awam di tengah-tengah serangan udara Israel.

Tugas UNRWA

UNRWA terutamanya menyediakan perkhidmatan dan pembiayaan untuk mereka yang berdaftar sebagai pelarian Palestin di Semenanjung Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lebanon dan Syria.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian bertanggungjawab terhadap pelarian Palestin di luar kawasan operasi UNRWA.

Ia merupakan majikan utama di rantau yang hampir separuh orang dewasa kekal menganggur.

Ia juga mengendalikan sekolah untuk hampir 300,000 kanak-kanak dan menyediakan pinjaman kecemasan dan bantuan perumahan.

“Pada asasnya, sejak beberapa dekad kebelakangan ini, kami telah mengendalikan sebuah pemerintahan di Gaza,” kata Encik Sharp.

“Kami mempunyai jabatan pendidikan, jabatan penjagaan kesihatan. Kami membina lebih banyak sekolah, klinik penjagaan kesihatan. Kami mempunyai projek untuk membina jalan raya dan taman permainan.”

Sejak Israel mula membalas serangan Hamas pada 7 Oktober, agensi itu – yang telah membantu pelarian Palestin selama 74 tahun lalu – telah menjadi talian hayat bagi lebih sejuta rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Hampir 630,000 daripada mereka mendapat perlindungan di 150 bangunan yang sebelum ini menempatkan sekolah kendalian UNRWA dan beribu-ribu mendapatkan bantuan perubatan setiap hari di klinik kendalian UNRWA. – Agensi berita.

KENDALI PEMERINTAHAN DI GAZA

“Pada asasnya, sejak beberapa dekad kebelakangan ini, kami telah mengendalikan sebuah pemerintahan di Gaza. Kami mempunyai jabatan pendidikan, jabatan penjagaan kesihatan. Kami membina lebih banyak sekolah, klinik penjagaan kesihatan. Kami mempunyai projek untuk membina jalan raya dan taman permainan.”
Encik Hector Sharp, ketua pejabat undang-undang lapangan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat (UNRWA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Gaza.
KEADAAN KIAN MEMBIMBANGKAN

“Ini adalah petanda yang membimbangkan bahawa ketenteraman awam mula rosak selepas tiga minggu perang dan pengepungan ketat ke atas Gaza...”
Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) dalam satu kenyataan.
RAMAI DIBELENGGU RASA TAKUT

“Orang ramai takut, kecewa dan terdesak... Ketegangan dan ketakutan bertambah buruk dengan pemotongan telefon dan talian komunikasi Internet.”
Kenyataan Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg