Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bagaimana penembak Trump dapat susup masuk jadi tanda tanya

Jul 16, 2024 | 2:47 PM
Seorang pegawai Biro Siasatan Federal (FBI) menjalankan pemeriksaan dekat bangunan – tempat suspek ditembak mati oleh pegawai penguat kuasa berhampiran pentas calon Presiden Encik Donald Trump berkempen di Butler, Pennsylvania.
Seorang pegawai Biro Siasatan Federal (FBI) menjalankan pemeriksaan dekat bangunan – tempat suspek ditembak mati oleh pegawai penguat kuasa berhampiran pentas calon Presiden Encik Donald Trump berkempen di Butler, Pennsylvania. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Persoalan kini berkisar tentang bagaimana pegawai polis dan ejen yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan kempen pilihan raya Encik Donald Trump, membenarkan suspek bersenjata mendekatinya.

Thomas Matthew Crooks, 20 tahun, dapat mengakses bumbung bangunan berhampiran acara di tapak pesta Butler County, Pennsylvania, dan kemudian menembak Encik Trump dari jarak hanya 130 meter atau 430 kaki.

Sejak itu Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat berkata bahawa mereka telah menugaskan polis tempatan untuk menyediakan perlindungan bagi bangunan itu.

Dalam kejadian pada 13 Julai, seorang penonton terbunuh dan dua yang lain cedera parah.

Encik Trump cedera di telinga.

Jurucakap Perkhidmatan Rahsia, Encik Anthony Guglielmi, berkata bahawa agensinya bergantung kepada polis tempatan untuk membantu.

Beliau berkata ejennya bertanggungjawab mengawal di dalam kawasan tapak pesta itu, manakala polis tempatan mengawal kawasan di luar, termasuk bangunan persendirian yang digunakan lelaki bersenjata itu.

Jabatan syerif tempatan menyatakan ia tidak bertanggungjawab ke atas kawasan terletaknya bangunan berkenaan.

Seorang jurucakap jabatan itu menyatakan bahawa ia menyediakan “semua sumber” yang diminta oleh Perkhidmatan Rahsia, termasuk antara 30 dengan 40 pegawai di dalam perimeter acara tersebut.

Ramai pemerhati telah mempersoalkan bagaimana rapuhnya kawalan keselamatan sehingga lelaki bersenjata itu boleh mendekati Encik Trump.

Orang ramai berkata mereka telah melihat suspek di atas bumbung beberapa minit sebelum tembakan bermula, manakala Syerif Daerah Butler, Encik Michael Slupe, berkata seorang pegawai keselamatan tempatan juga telah melihatnya tetapi tidak dapat menghalangnya.

Syerif itu mengakui terdapat “kegagalan” dalam mengawal premis itu, tetapi berkata beliau percaya bahawa tidak ada pihak yang perlu dipersalahkan.

Ia adalah perkara biasa bagi Perkhidmatan Rahsia Amerika untuk bergantung kepada polis tempatan bagi mendapatkan bantuan semasa mengamankan perhimpunan, kata Encik Jason Russell, pengasas Perunding Persekitaran Selamat yang pernah bekerja sebagai ejen dari 2002 hingga 2010, termasuk semasa kempen pilihan raya.

Perkhidmatan Rahsia tidak mempunyai sumber yang mencukupi dari segi bilangan ejen yang boleh mereka hantar di mana-mana, tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg