Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bali haramkan tarian Joged Bumbung berunsur lucah

Nov 19, 2024 | 12:35 PM
Larangan terhadap tarian, Joged Bumbung, telah dikeluarkan pada masa lalu, tetapi pelanggaran berterusan tetap berlaku. Akibatnya, pemerintah wilayah memutuskan untuk memperkenalkan ‘ilikita’ rasmi – set garis panduan budaya – yang jelas mentakrifkan apa yang dibenarkan dan apa yang tidak.
Larangan terhadap tarian, Joged Bumbung, telah dikeluarkan pada masa lalu, tetapi pelanggaran berterusan tetap berlaku. Akibatnya, pemerintah wilayah memutuskan untuk memperkenalkan ‘ilikita’ rasmi – set garis panduan budaya – yang jelas mentakrifkan apa yang dibenarkan dan apa yang tidak. - Foto INSTAGRAM DISBUDBULELENG

DENPASAR: Pemerintah Provinsi Bali secara rasmi mengharamkan persembahan tarian yang dinamakan, Joged Bumbung, yang sering menjadi tular di media sosial, kerana unsur berahi yang ada dalam tarian tradisional tersebut.

Menurut Ketua Jabatan Kebudayaan Bali, Encik I Gede Arya Sugiartha, larangan serupa telah dikeluarkan pada masa lalu, tetapi pelanggaran berterusan tetap berlaku.

Akibatnya, pemerintah wilayah memutuskan untuk memperkenalkan ‘ilikita’ rasmi – set garis panduan budaya – yang jelas mentakrifkan apa yang dibenarkan dan apa yang tidak.

“Sebelum ini tiada rangka kerja yang jelas mengenai larangan tarian itu, tetapi kini Majlis Kebudayaan Bali telah mengeluarkan ‘ilikita’ rasmi yang menggariskan apa yang boleh diterima, menyediakan peraturan yang jelas,” kata Encik Arya Sugiartha.

Joged Bumbung ialah tarian tradisional dan popular Bali, yang bermula pada 1940-an di Buleleng.

Pada mulanya, ia ditarikan oleh petani sebagai satu bentuk hiburan selepas seharian di ladang.

Ciri tarian termasuk interaksi antara penari wanita dengan penonton lelaki, yang dijemput untuk menyertai bersama.

Bagaimanapun, Joged Bumbung mendapat perhatian kerana tingkah laku yang tidak senonoh daripada penonton seperti mencium penari atau memberi panduan menggunakan mulut.

Sebagai tindak balas, penari sering memperhebatkan pergerakan pinggul mereka untuk menarik perhatian ramai.

Dalam sesetengah persembahan, penari mungkin menyentuh paha atau seluar dalam mereka.

Garis panduan yang disediakan mengenai pergerakan tarian adalah untuk menghapuskan sebarang unsur lucah yang melanggar kesucian, etika, dan estetika tarian tradisional Bali, serta pakaian yang tidak sesuai atau menonjolkan bahagian badan tertentu.

Ia perlu dipatuhi kumpulan tarian, penghibur, penonton, penganjur acara dan pengguna media sosial.

Namun Encik Arya Sugiartha menekankan bahawa pelanggar tidak akan menghadapi pendakwaan jenayah, kerana ini melibatkan amalan budaya yang memerlukan pertimbangan yang teliti. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg