DENPASAR (Bali): Bali kian menjadi destinasi yang semakin popular dan ia dijangka mencapai sasaran jumlah pelancong yang diinginkannya pada 2024.
Pada 2023, pulau itu menjadi hos kepada sekitar 11.4 juta pelancong dan menyusuli kejayaan tersebut, ia sedang bergerak ke arah menarik 14 juta pelancong pada 2024.
Daripada keindahan alam semula jadinya, warisan budaya yang menarik, kos yang dimampui serta hospitaliti penduduknya menjadikan tempat itu pilihan ramai pelancong pada masa kini.
Difahamkan warga Australia membentuk sekitar suku pelancong ke pulau tersebut setiap tahun.
Memandangkan popularitinya yang kian meningkat, timbul gesaan agar wilayah itu diberi status zon autonomi khas bagi pelancongan agar para pemimpin di situ boleh menguruskan pulau tersebut mengikut kemampanan persekitaran, kemakmuran ekonominya serta manfaat kepada penduduk.
Menjadikan Bali sebuah wilayah dengan autonomi khas bagi pelancongan bermakna semua pembangunan pelancongannya hanya diuruskan sebuah agensi.
Gesaan tersebut timbul di sebalik perkembangan pesat di pulau itu.
Menurut laporan The Bali Sun, para pegawai pelancongan telah mengesahkan bahawa sebahagian sebab mengapa pembangunan pelancongan di Bali dibenar berkembang pesat adalah kerana permit perancangan dan pembangunan tidak mendapat kelulusan yang sejajar dengan satu visi yang diharapkan.
Setiausaha bagi Prajaniti Dewan Pengurus Daerah Prajaniti Hindu Indonesia Provinsi Bali (DPD Prajaniti Bali), Encik I Made Dwija Suastana, telah meminta agar sebuah jawatankuasa kecemasan ditubuhkan dalam pemerintah wilayah Bali agar sebuah moratorium boleh diperkenalkan secepat mungkin.
“Sekiranya Bali menjadi sebuah wilayah autonomi khas bagi pelancongan kebudayaan, maka peluang untuk Bali bertakat menerusi pelancongan, selain mendapat hak keuntungan daripada pendapatan yang diraih daripada Lapangan Terbang Ngurah Rai, boleh diuruskan Bali demi pelancongan budaya yang mampan,” kata Encik Suastana.
Belum dapat dipastikan sekiranya langkah tersebut akan diperkenalkan dalam dasar pemerintah.
Yang pasti, gesaan agar siasatan terhadap perancangan yang tidak menyeluruh di Bali kian lantang.
Perbincangan itu telah lama dibentangkan bagi para pemimpin politik dan pihak berkepentingan pelancongan, tapi kini isu-isu tersebut begitu jelas di peringkat setempat selain pelancong sendiri, menurut laporan The Bali Sun.
Pada 16 Mei, satu kejadian tanah runtuh di sebuah tapak binaan menghakis tebing batu putih popular di pantai Pemutih Pecatu, di Uluwatu.
Syarikat yang terlibat dengan projek binaan bagi sebuah kediaman mewah yang baru di tebing itu berkata bahawa mereka akan memperbaiki kerosakan pada pantai itu dalam tempoh 28 hari.
Namun realitinya ialah tiada yang boleh dilakukan bagi membina semula tebing batu putih lama itu. – Agensi berita.
“
“Sekiranya Bali menjadi sebuah wilayah autonomi khas bagi pelancongan kebudayaan, maka peluang untuk Bali bertakat menerusi pelancongan, selain mendapat hak keuntungan daripada pendapatan yang diraih daripada Lapangan Terbang Ngurah Rai, boleh diuruskan Bali demi pelancongan budaya yang mampan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg