Topik diikuti
Pergi ke BHkuBali perketat keselamatan susulan jenayah kumpulan antarabangsa
Bali perketat keselamatan susulan jenayah kumpulan antarabangsa
Polis bagaimanapun nafi dakwaan bahawa pulau itu jadi sasaran kumpulan mafia antarabangsa
Bali perketat keselamatan susulan jenayah kumpulan antarabangsa
DENPASAR: Pihak berkuasa Bali memperketat langkah keselamatan susulan beberapa kes jenayah berprofil tinggi yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah antarabangsa, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan di destinasi pelancongan popular itu.
Ketua Polis Bali, Encik Daniel Adityajaya berkata rondaan telah dipertingkatkan di kawasan tumpuan pelancong seperti Seminyak, Canggu, Ubud, Sanur dan Nusa Dua.
“Polis juga telah mengaktifkan talian ‘hotline’ 24 jam di nombor 110 dengan perkhidmatan pelbagai bahasa bagi membolehkan penduduk dan pelancong melaporkan insiden atau aktiviti jenayah,” katanya.
Pada Mac lalu, pihak berkuasa turut melancarkan aplikasi Sistem Pemantauan Cakra untuk Warga Asing, satu sistem dalam talian bagi membantu memantau pergerakan warga asing di pulau itu.
Di bawah sistem tersebut, hotel, vila dan penyedia penginapan diwajibkan mengemukakan data tetamu asing serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
Menurut polis, pengawasan imigresen sahaja tidak mencukupi untuk mengekang penyalahgunaan permit tinggal dan aktiviti haram lain.
“Kami menggesa orang ramai, termasuk penduduk tempatan dan pelancong, supaya melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan. Keselamatan di Bali adalah tanggungjawab bersama,” kata Encik Daniel.
Langkah keselamatan dipertingkat selepas beberapa insiden jenayah serius dilaporkan.
Pada 23 Mac, seorang warga Belanda, Encik Rene Pouw, maut ditikam di kawasan pelancongan Kuta Utara ketika dalam perjalanan pulang ke vila bersama teman wanitanya.
Polis mengenal pasti dua suspek warga Brazil yang dipercayai telah melarikan diri dari Indonesia dan kini sedang diburu melalui notis merah Interpol.
Media Belanda melaporkan mangsa mempunyai kaitan dengan dunia dadah di negara asalnya, namun perkara itu belum disahkan secara rasmi.
Dalam satu lagi kes, seorang pelancong Ukraine berusia 28 tahun, Encik Igor Komarov, diculik dan diserang oleh sekumpulan warga asing di Jimbaran pada Februari lalu.
Tidak lama kemudian, satu video tular menunjukkan seorang lelaki dipercayai Encik Komarov dalam keadaan cedera merayu bantuan, sambil menyebut tuntutan wang tebusan sebanyak AS$10 juta ($12.7 juta).
Beberapa hari selepas itu, mayat yang telah dipotong dan mereput ditemui berhampiran Pantai Ketewel, kira-kira 30 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.
Polis mengesahkan identiti mayat tersebut sebagai Komarov.
Enam suspek warga asing telah dikenal pasti, namun kesemuanya masih bebas, dengan sebahagian dipercayai telah meninggalkan negara itu.
Susulan beberapa kes tersebut, Korea Selatan mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyatnya dan menasihatkan mereka supaya lebih berhati-hati serta mengutamakan keselamatan diri ketika berada di Bali.
Selain itu, pihak berkuasa juga berjaya menahan beberapa buruan antarabangsa, termasuk seorang lelaki dari Scotland, Steven Lyons, yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai pada 28 Mac.
Lyons didakwa merupakan dalang dalam rangkaian jenayah terancang yang terlibat dalam pembunuhan, pengedaran dadah dan pengubahan wang haram di beberapa negara.
Walaupun kes jenayah melibatkan warga asing mendapat perhatian meluas, jurucakap polis, Encik Ariasandy menolak dakwaan bahawa Bali menjadi sasaran kumpulan mafia antarabangsa.
“Kita tidak boleh mengatakan Bali sebagai tempat persembunyian mafia. Bali adalah destinasi pelancongan dunia yang terbuka kepada semua,” katanya.
Beliau menambah bahawa banyak kes jenayah tersebut berpunca daripada konflik yang bermula di negara asal suspek.
Sementara itu, Encik Daniel menegaskan bahawa statistik menunjukkan penurunan kes jenayah melibatkan warga asing.
“Kes melibatkan warga asing menurun sebanyak 23 peratus dari Januari hingga April 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.
“Bali kekal selamat dan kami akan terus memastikan setiap pelancong berasa dilindungi,” tambah beliau. – Agensi berita.
