Mayat dikerat di Bali milik lelaki Ukraine diculik dan diseksa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mayat dikerat di Bali milik lelaki Ukraine diculik dan diseksa

Mar 6, 2026 | 4:58 PM

Mayat dikerat di Bali milik lelaki Ukraine diculik dan diseksa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ihor Komarov, 28 tahun, dikenal pasti melalui sampel DNA yang diambil daripada mayat yang dikerat dan dibandingkan dengan sampel DNA ibunya, kata jurucakap polis Bali Ariasandy kepada wartawan di Denpasar, ibu kota Bali.
Ihor Komarov, 28 tahun, dikenal pasti melalui sampel DNA yang diambil daripada mayat yang dikerat dan dibandingkan dengan sampel DNA ibunya, kata jurucakap polis Bali Ariasandy kepada wartawan di Denpasar, ibu kota Bali. - Foto Sosial Media

DENPASAR: Polis Indonesia mengesahkan bahawa mayat yang ditemui dalam keadaan reput dan dikerat di sebuah pantai di pulau peranginan Bali adalah milik seorang lelaki Ukraine yang dipercayai diculik dan diseksa ketika bercuti di pulau tersebut.

Mangsa dikenali sebagai Ihor Komarov, 28 tahun, selepas ujian DNA dijalankan ke atas bahagian tubuh yang ditemui dan dibandingkan dengan sampel DNA ibunya.

Jurucakap Polis Bali, Encik Ariasandy, berkata identiti mangsa berjaya disahkan melalui analisis forensik.
“Identiti mangsa disahkan melalui sampel DNA yang diambil daripada mayat yang dikerat dan dipadankan dengan DNA ibunya,” katanya kepada wartawan di Denpasar pada Jumaat, 6 Mac.

Walaupun beliau tidak menyebut nama mangsa secara rasmi, Encik Ariasandy menunjukkan sekeping kertas yang memaparkan nama serta tarikh lahir lelaki tersebut.

Menurut polis, Encik Komarov dilaporkan diculik pada 15 Februari lalu ketika menaiki motosikal bersama seorang rakannya di kawasan peranginan Jimbaran. Sekumpulan lelaki dipercayai memaksanya masuk ke dalam sebuah kereta sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Rakannya yang menyaksikan insiden itu kemudian membuat laporan kepada pihak polis. Beberapa hari selepas penculikan tersebut, penduduk tempatan menemui beberapa bahagian tubuh manusia di sebuah pantai berhampiran serta di tepi sungai.

Penemuan mengerikan itu mencetuskan siasatan besar oleh pihak polis Bali.

Dalam perkembangan siasatan, polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai menyewa kereta yang digunakan dalam penculikan tersebut. Hasil soal siasat membawa kepada pengenalpastian enam lagi individu yang kini dianggap sebagai suspek utama.

Kesemua suspek merupakan warga asing dan dipercayai terlibat dalam penculikan serta serangan ganas terhadap mangsa.Polis memaklumkan bahawa semua suspek telah melarikan diri dari Indonesia.

“Sebahagian daripada mereka terlibat secara langsung dalam penculikan, manakala yang lain mungkin terlibat dalam perbuatan menyeksa mangsa,” kata Encik Ariasandy. Menurut beliau, pihak berkuasa kini telah mengeluarkan notis merah antarabangsa bagi memburu semua suspek tersebut.

Polis juga mendedahkan bahawa suspek dipercayai menggunakan lebih daripada satu pasport bagi mengelakkan dikesan. “Kesemua suspek adalah warga asing dan kemungkinan mempunyai lebih daripada satu pasport. Ada yang mempunyai dua atau tiga pasport,” kata Encik Ariasandy.

Beliau menambah bahawa proses pengesahan identiti suspek kini sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa di beberapa negara.

Walaupun laporan media menyatakan bahawa Encik Komarov merupakan anak kepada seorang ahli perniagaan kaya dari Ukraine dan penculik menuntut wang tebusan bernilai jutaan dolar, polis berkata motif sebenar jenayah tersebut masih dalam siasatan.

Menurut laporan media, mangsa dipercayai telah diseksa dengan teruk oleh kumpulan penculik yang mahu memeras wang daripada keluarganya.

Namun pihak polis menegaskan bahawa siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti motif sebenar serta peranan setiap suspek dalam kes tersebut.

Kes itu kini menjadi antara kes jenayah paling mengejutkan yang berlaku di Bali, sebuah destinasi pelancongan terkenal dunia yang lazimnya dikaitkan dengan percutian dan keindahan pantai. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg