Dua warga Britain dipenjara 9-11 tahun seludup kokain ke Bali

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua warga Britain dipenjara 9-11 tahun seludup kokain ke Bali

Feb 26, 2026 | 6:44 PM

Dua warga Britain dipenjara 9-11 tahun seludup kokain ke Bali

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Warga Britain Kial Garth Robinson (kiri) dan Piran Ezra Wilkinson (kanan) berjalan menuju ke bilik mahkamah semasa perbicaraan mereka di Denpasar, pulau peranginan Bali, Indonesia pada 26 Februari 2026. Dua lelaki Britain itu dijatuhi hukuman penjara panjang oleh mahkamah Indonesia selepas didapati bersalah menyeludup kokain ke pulau pelancongan popular tersebut.
Warga Britain Kial Garth Robinson (kiri) dan Piran Ezra Wilkinson (kanan) berjalan menuju ke bilik mahkamah semasa perbicaraan mereka di Denpasar, pulau peranginan Bali, Indonesia pada 26 Februari 2026. Dua lelaki Britain itu dijatuhi hukuman penjara panjang oleh mahkamah Indonesia selepas didapati bersalah menyeludup kokain ke pulau pelancongan popular tersebut. - Foto AFP

DENPASAR: Dua lelaki warga Britain dijatuhi hukuman penjara panjang oleh mahkamah Indonesia pada 26 Februari selepas didapati bersalah menyeludup kokain ke pulau peranginan popular Bali.

Kial Garth Robinson dijatuhi hukuman penjara 11 tahun manakala Piran Ezra Wilkinson dihukum sembilan tahun penjara.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-duanya membayar denda kira-kira AS$60,000 (S$75,826) atau menjalani tambahan 190 hari penjara jika gagal melunaskannya.

Menurut pendakwa raya, Robinson, 29 tahun, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai pada September 2025 selepas pegawai menemui dua bungkusan mengandungi 1.3 kilogram kokain di dalam beg galasnya.

Dalam siasatan polis, Robinson mengaku diarahkan seorang individu dikenali sebagai Santos untuk membawa dadah dari Barcelona ke Bali sebelum menyerahkannya kepada Wilkinson, yang tiba beberapa hari lebih awal.

Wilkinson, 48 tahun, kemudian ditahan di kawasan Canggu pada keesokan hari.

Pendakwa berkata kedua-dua lelaki itu berkawan dan menetap di Thailand sebelum bertemu di Barcelona seminggu sebelum penahanan mereka.

Mahkamah memutuskan kedua-duanya bersalah melakukan penyeludupan dadah merentasi sempadan, satu kesalahan serius di bawah undang-undang narkotik Indonesia.

“Hukuman ini setimpal dengan kesalahan tertuduh yang cuba membawa masuk bahan terlarang dalam jumlah besar ke wilayah Indonesia,” menurut panel hakim dalam penghakiman.

Indonesia terkenal dengan undang-undang antidadah yang sangat tegas, termasuk hukuman mati terhadap pengedar. Walaupun begitu, negara itu mengekalkan moratorium pelaksanaan hukuman mati sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Puluhan banduan kes dadah masih berada di hukuman mati, sementara kali terakhir hukuman tersebut dilaksanakan pada 2016 apabila seorang rakyat Indonesia dan tiga warga Nigeria ditembak mati oleh skuad penembak.

Pihak berkuasa menegaskan kes ini menjadi peringatan keras kepada warga asing bahawa Bali bukan tempat selamat untuk aktiviti penyeludupan dadah. “Tiada toleransi terhadap jenayah narkotik, sama ada dilakukan warga tempatan atau asing,” kata seorang pegawai penguat kuasa selepas keputusan dibacakan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg