Balu Shah Iran terakhir tegaskan “tiada jalan berpatah balik” selepas gelombang protes

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Balu Shah Iran terakhir tegaskan “tiada jalan berpatah balik” selepas gelombang protes

Jan 21, 2026 | 8:06 PM

Balu Shah Iran terakhir tegaskan “tiada jalan berpatah balik” selepas gelombang protes

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Bekas Permaisuri Iran, Farah Diba Pahlavi, bergambar ketika sesi fotografi di kediamannya di Paris pada 20 Januari 2026. Isteri kepada Shah terakhir Iran itu berkata beliau percaya “tiada jalan untuk berpatah balik” selepas gelombang protes menentang Republik Islam, dan yakin rakyat Iran akan muncul “sebagai pemenang dalam perjuangan yang tidak seimbang ini,” dalam temu bual bersama AFP pada 20 Januari 2026.
Bekas Permaisuri Iran, Farah Diba Pahlavi, bergambar ketika sesi fotografi di kediamannya di Paris pada 20 Januari 2026. Isteri kepada Shah terakhir Iran itu berkata beliau percaya “tiada jalan untuk berpatah balik” selepas gelombang protes menentang Republik Islam, dan yakin rakyat Iran akan muncul “sebagai pemenang dalam perjuangan yang tidak seimbang ini,” dalam temu bual bersama AFP pada 20 Januari 2026. - Foto AFP

PARIS: Isteri kepada Shah terakhir Iran, Farah Diba Pahlavi, menegaskan bahawa “tiada jalan untuk berpatah balik” selepas gelombang protes besar-besaran tercetus menentang kepimpinan ulama di Iran, sambil menyatakan keyakinannya bahawa rakyat Iran akhirnya akan mencapai kemenangan.

Dalam temu bual eksklusif bersama Agence France-Presse di Paris, bekas permaisuri berusia 87 tahun itu berkata hasrat dan keperluan terbesarnya kini adalah untuk pulang ke Iran, hampir lima dekad selepas beliau dan suaminya dihalau dalam buangan berikutan revolusi 1979 yang membawa kepada penubuhan Republik Islam.

Cik Farah Pahlavi, yang ditemui di apartmennya di Paris dengan latar belakang bendera lama Iran yang memaparkan simbol singa dan matahari, menggambarkan kebangkitan rakyat Iran sebagai satu detik bersejarah yang tidak boleh dipadamkan, meskipun dibayar dengan harga nyawa yang tinggi.

Gelombang protes terbaru bermula pada 28 Disember, pada awalnya dicetuskan oleh bantahan kecil terhadap kesukaran ekonomi. Namun pada 8 Januari, demonstrasi itu berkembang menjadi perhimpunan nasional yang mencabar pemerintahan Republik Islam yang telah berkuasa lebih empat dekad. Tindakan keras pihak berkuasa terhadap protes tersebut, menurut kumpulan hak asasi manusia, telah mengorbankan ribuan nyawa.

“Kepada anak-anak muda Iran, hari ini kamu sedang menulis, dengan keberanian yang luar biasa, satu bab baharu dalam sejarah bukan sahaja untuk Iran, tetapi juga untuk dunia,” kata Cik Farah dalam kenyataan bertulisnya.

“Teruskan harapan dan keteguhan hati. Kamu akan menjadi pemenang dalam pertembungan yang tidak seimbang ini dengan Republik Islam.”

Beliau turut menyampaikan penghormatan kepada seluruh rakyat Iran, khususnya golongan ibu bapa. “Kepada anak-anak lelaki dan perempuan Iran, kepada para ibu dan bapa yang melahirkan generasi muda yang mulia, saya menyampaikan rasa kagum yang mendalam,” katanya.

Ditanya sama ada beliau masih menaruh harapan walaupun protes ditekan dengan ganas, Cik Farah menjawab bahawa pengorbanan ribuan anak muda Iran tidak akan sia-sia.
“Sehingga kini, ribuan anak muda yang bermaruah dan berani telah mengorbankan nyawa mereka demi kebebasan tanah air. Dan hanya Tuhan yang mengetahui berapa ramai lagi yang akan gugur di tangan rejim jenayah ini sebelum Iran kembali menjadi sebuah negara yang bebas,” katanya.

Namun, menurut Cik Farah, satu hakikat kini tidak dapat disangkal. “Tiada jalan untuk berpatah balik. Laluan ini sehala, menuju kebebasan. Setiap hari, laluan ini dibasahi darah anak-anak lelaki dan perempuan bumi Iran. Pengorbanan sebesar ini menuntut kemenangan.”

Beliau menegaskan bahawa kemenangan tersebut bukan hanya milik Iran semata-mata. “Ia juga akan menjadi kemenangan untuk keamanan, keselamatan dan kestabilan dunia,” katanya.

Mengulas peranan pembangkang Iran di luar negara, Cik Farah berkata mereka memikul dua tanggungjawab utama. Pertama, memastikan hubungan yang kukuh antara rakyat Iran di dalam negara dengan masyarakat serta kerajaan dunia bebas. Kedua, menggerakkan demonstrasi yang lebih besar bagi menyatakan solidariti dan mengingatkan masyarakat antarabangsa tentang realiti sebenar yang berlaku di sebuah negara yang menjadi tapak kelahiran tamadun.

Ketika ditanya sama ada beliau menyokong campur tangan ketenteraan asing, khususnya oleh Amerika Syarikat, Cik Farah tidak menyeru tindakan ketenteraan secara langsung, sebaliknya menggesa sokongan moral dan politik antarabangsa.

“Saya merayu kepada nurani seluruh dunia agar terus berdiri bersama rakyat Iran. Ribuan nyawa tidak seharusnya terkorban dalam suasana ketidakpedulian global,” katanya.
“Memperkukuh peluang kemenangan mereka dalam perjuangan yang tidak seimbang ini bermakna memahami bahawa kejayaan mereka dan kelahiran Iran yang demokratik akan membawa Asia Barat ke arah keamanan yang lebih berkekalan.”

Mengenai peranan anaknya, Encik Reza Pahlavi, sekiranya kepimpinan ulama tumbang, Cik Farah menegaskan bahawa segala-galanya bergantung kepada kehendak rakyat Iran.
“Peranan beliau adalah apa sahaja yang diputuskan oleh rakyat Iran untuk diamanahkan kepadanya. Nama anak saya dilaungkan dalam setiap demonstrasi, namun beliau sentiasa menegaskan bahawa rakyat Iran sendiri yang akan menentukan masa depan negara mereka,” katanya.

“Beliau melihat dirinya hanya sebagai suara kepada anak muda Iran, sehingga tibanya hari kebebasan.”
Apabila ditanya sama ada beliau sendiri akan pulang ke Iran sekiranya perubahan berlaku, Farah menjawab dengan nada penuh emosi.

“Selama 47 tahun saya menunggu dan mengimpikan kebebasan Iran. Rakyat memanggil saya ibu Iran. Dalam waktu getir, seorang ibu dan anak-anaknya perlu bersama,” katanya.
“Keinginan dan keperluan saya hari ini adalah untuk kembali ke Iran dan memeluk anak-anak luar biasa ini.”

Beliau mengakhiri temu bual dengan keyakinan seorang ibu yang lama terpisah. “Seperti mana-mana ibu yang dipisahkan daripada anak-anaknya, saya merasakan jauh di dalam hati bahawa perjalanan ini dan pertemuan semula itu akan berlaku tidak lama lagi.”

Permaisuri Iran ini merupakan isteri ketiga Mohammad Reza Pahlavi yang sebelum itu pernah berkahwin dua kali namun jodoh setiap perkahwinan tersebut tidak panjang. Hasil perkahwinannya dengan bekas Raja Iran itu dikurniakan empat orang cahaya mata.

Digulingkan pada 19 Januari 1979, secara rasminya keluarga Diraja ini menjadi orang buangan yang terpaksa mencari suaka politik di negara lain. Mohammed Reza Pahlavi menerbangkan sendiri jetnya. Cik Farah Diba yang ketika itu berusia 41 tahun bersama empat anaknya yang masih meniti usia remaja dan kanak-kanak umpama ‘pelarian’. Kewarganegaraan dan pangkat semuanya hilang sekelip mata.

Paling menyayat hati, pemerintahan Republik Islamik Iran yang baru ditubuhkan mengkehendaki bekas keluarga Diraja ini ditangkap dan kemudiannya ditukar kepada bunuh. Apabila melarikan diri dari Iran, keluarga Diraja ini berlindung di Mesir atas hubungan baik mereka dengan presiden Mesir ketika itu, Encik Anwar Sadat.

Bagaimanapun, tekanan daripada pemerintah baru Iran supaya mereka diekstradisi memberi kesan kepada negara yang memberi mereka perlindungan terutamanya dari segi kestabilan hubungan luar.

Selepas keberadaan mereka memberi kesan buruk kepada Mesir, keluarga Diraja ini kemudiannya memulakan perjalanan panjang mereka dalam mencari tempat tinggal. Antara negara yang pernah mereka duduki seperti Maghribi, Bahamas, Mexico dan Amerika Syarikat.

Ketika menetap di Amerika Syarikat, hubungan di antara negara kuasa besar dunia itu dengan Iran menjadi lebih buruk. Pemerintah Iran menawan kedutaan Amerika Syarikat di Teheran. Disebabkan perkara ini, kerajaan Amerika Syarikat tidak memperbaharui kebenaran untuk mereka terus tinggal di sana.

Mereka kemudiannya berpindah ke Panama, di sana mereka menerima ancaman tangkapan untuk diekstradisi. Kemudiannya atas hubungan baik Cik Farah bersama Jehan Sadat yang merupakan isteri presiden Mesir, mereka sekeluarga dialukan kembali untuk tinggal di Mesir. Mohammed Reza Pahlavi meninggal dunia pada 27 Julai 1980 di negara itu disebabkan penyakit kanser Hodgkin lymphoma.

Selepas menetap di Mesir lebih setahun, namun nasib keluarga Diraja ini tidak begitu baik. Selepas Encik Anwar Sadat dibunuh, mereka berpindah ke Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Ronald Reagan. Mula membina hidup di Massachusetts, mereka kemudian membeli sebuah rumah di Connecticut. Cik Farah menetap di Maryland berdekatan dengan Washington D.C. untuk berada dekat dengan anak sulung dan cucu-cucunya. Selain itu dia juga memiliki hartanah di Paris dan turut menetap di sana.

Kehidupan bekas Permaisuri Iran ini tidak habis dengan cabaran, beliau diduga dengan kematian dua orang anaknya yang membunuh diri akibat tekanan mental dan tidak boleh menerima kesan daripada apa yang terjadi kepada keluarga ekoran penggulingan monarki. Cik Leila Pahlavi membunuh diri pada tahun 2001 dan kemudiannya Encik Ali Reza Pahlavi membunuh diri pada 2011.

Walaupun tidak lagi memiliki negara, keluarga Dinasti Pahlavi ini masih dihormati oleh kebanyakan keluarga Diraja negara lain dan sebahagian rakyat Iran yang pro-monarki. Mereka kerap dijemput ke majlis perkahwinan Diraja ataupun majlis keramaian yang mengumpulkan kerabat Diraja seluruh dunia.

Cik Fara turut aktif dalam hal kemanusiaan sebagai contoh menyokong Gala Tahunan Alzheimer IFRAD (Pengumpulan Dana Antarabangsa untuk Penyakit Alzheimer) yang di adakan di Paris.

Mungkin ada yang tertanya, tanya mengapa keluarga Diraja ini sangat dibenci oleh rakyat Iran ketika itu sehinggakan membawa kepada revolusi. Menurut laporan Washington Post, budaya rasuah sangat buruk ketika Iran dibawah Dinasti Pahlavi sehinggakan membawa kepada ketidakstabilan ekonomi. Perkara ini menyebabkan sentimen anti-monarki menebal sehingga jatuhnya sebuah keluarga Diraja. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg