Bantahan bukan sekadar menentang rejim teokratik yang menindas
Bantahan bukan sekadar menentang rejim teokratik yang menindas
Anak Shah Iran muncul sebagai simbol perubahan, ketika rejim teokratik berdepan cabaran terbesar
TEHERAN: Hampir lima dekad selepas Revolusi Iran 1979 menggulingkan monarki dan menamatkan pemerintahan keluarga Pahlavi, sejarah kini memperlihatkan satu ironi yang sukar diabaikan.
Encik Reza Pahlavi, anak kepada Shah terakhir Iran, muncul sebagai tokoh rujukan bagi sebahagian penunjuk perasaan yang menuntut perubahan politik, ketika Republik Islam itu berdepan gelombang bantahan paling serius sejak revolusi itu sendiri.
Ironinya menjadi lebih ketara apabila banyak rungutan yang mendorong kebangkitan rakyat hari ini sangat menyerupai punca kemarahan yang mencetuskan revolusi 1979.
Ketika itu, Shah Iran Mohammad Reza Shah Pahlavi, digulingkan selepas bantahan dan mogok besar-besaran, dengan Ruhollah Khomeini, muncul sebagai simbol penyatuan dan kepimpinan gerakan revolusi.
Revolusi 1979 dan pedagang kembali menentang
Revolusi 1979 sering digambarkan sebagai kebangkitan Islam semata-mata. Namun, realitinya jauh lebih kompleks.
Walaupun sifat teokratik rejim yang dibentuk selepas itu dan sentimen anti-Amerika menjadi ciri utama revolusi berkenaan, faktor ekonomi dan ketidakadilan sosial memainkan peranan yang sama besar.
Inflasi, kemelesetan, ketidaksamaan ekonomi dan rasuah berleluasa mencetuskan kemarahan rakyat, meskipun Iran ketika itu ia menikmati hasil minyak yang besar semasa ledakan harga minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec).
Serangan terhadap institusi agama oleh rejim Shah pula mempercepat penglibatan dalam gerakan penentangan.
Revolusi Iran turut mengubah landskap geopolitik sejagat.
Ia menandakan peralihan tumpuan dasar luar Amerika Syarikat daripada persaingan ideologi dengan komunisme kepada kebangkitan kuasa politik berteras agama di Asia Barat.
Selepas kematian Khomeini pada 1989, kuasa tertumpu di tangan penggantinya sebagai Pemimpin Tertinggi, Ali Khamenei.
Sepanjang lebih tiga dekad pemerintahannya, sistem politik Iran menjadi semakin berpusat dan tegas, dengan pergantungan yang semakin mendalam kepada Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Penganalisis Iran menyatakan hubungan rapat antara kepimpinan politik dan IRGC membentuk asas sebenar kuasa rejim hari ini, bukan semata-mata institusi agama.
Keadaan itu menjadikan struktur kuasa Iran lebih bertahan terhadap tekanan luaran, tetapi pada masa yang sama lebih tertutup kepada pembaharuan dalaman.
Satu perkembangan penting dalam gelombang bantahan terkini ialah peranan bazaaris, iaitu pedagang pasar tradisional Iran.
Mereka memainkan peranan kritikal dalam Revolusi 1979 dan pada awalnya meraih manfaat ekonomi daripada rejim baru.
Namun, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, bazaaris di beberapa bandar utama menutup kedai sebagai tanda bantahan terhadap kejatuhan nilai mata wang Iran yang menjejas perniagaan mereka.
Langkah itu signifikan kerana bazaaris secara tradisi dilihat sebagai konservatif sederhana dan penyokong presiden reformis.
Seperti pada 1979, kemarahan mereka berpunca daripada faktor ekonomi.
Kali ini, kejatuhan rial Iran, sekatan ekonomi dan inflasi yang melampau mengancam kelangsungan hidup perniagaan kecil dan sederhana.
Iran bukan asing kepada bantahan berkala.
Namun, bantahan selepas kematian Cik Mahsa Amini, dalam tahanan polis moral pada 2022 menandakan perubahan besar.
Buat kali pertama, tuntutan menggulingkan keseluruhan sistem teokratik dan penyingkiran Khamenei menjadi agenda utama, bukan sekadar reformasi terhad.
Gelombang bantahan terkini mengukuhkan lagi peralihan itu.
Walaupun ancaman hukuman mati diumumkan dan ratusan penunjuk perasaan dilaporkan terbunuh, bantahan terus merebak, menunjukkan ketidakpuasan hati yang lebih mendalam dan meluas.
Peralihan ekonomi dan dominasi Kor Pengawal Revolusi Islam
Menurut Penyelidik di Institut Sejarah Sosial Antarabangsa di Amsterdam, Dr Kayhan Valadbaygi, perubahan besar berlaku dalam ekonomi politik Iran sejak 2005.
Menulis di Al Jazeera, beliau menjelaskan dasar penswastaan telah menjadi saluran pemindahan aset negara kepada syarikat berkaitan IRGC dan yayasan revolusi besar atau bonyads.
“Apabila diklasifikasikan semula sebagai entiti awam bukan kerajaan, badan-badan ini menyerap sebahagian besar ekonomi,” tulis Dr Valadbaygi.
“Dengan sokongan pemimpin tertinggi serta Kabinet yang dikuasai tokoh ketenteraan, pengagihan semula kekayaan ini hampir tidak berdepan sebarang tentangan institusi.”
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai satu “peralihan mendalam” dalam ekonomi politik Iran, apabila IRGC dan yayasan seperti Yayasan Mostazafan dan Setad membina empayar korporat yang merentasi pelbagai sektor.
Persoalan utama kini ialah sejauh manakah struktur kuasa yang kukuh itu boleh retak.
Penunjuk perasaan dilihat semakin berani selepas beberapa jeneral kanan Iran terbunuh dalam serangan udara, manakala pertahanan udara negara itu dilapor semakin lemah.
Namun setakat ini, IRGC kekal setia kepada Khamenei.
Tidak jelas apakah kuasa dalaman atau tekanan luaran yang mampu mengubah keseimbangan itu dalam masa terdekat.
Reza Pahlavi dan peranan luar
Dalam kekosongan kepimpinan dalaman, Encik Reza Pahlavi, tampil dari luar negara sebagai suara lantang menyeru perubahan.
Seruannya supaya rakyat turun ke jalanan dilihat bertepatan dengan peningkatan saiz bantahan.
Beliau turut mengemukakan pelan peralihan 100 hari yang memberi tumpuan besar kepada pembaharuan ekonomi.
Namun, sokongan luar mempunyai had.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bercakap lantang mengenai sokongan kepada penunjuk perasaan, tetapi enggan menyokong perubahan rejim secara langsung atau menamakan pemimpin alternatif.
Encik Reza Pahlavi sendiri menekankan bantuan seperti pemulihan Internet, bukan campur tangan ketenteraan.
Ini mencerminkan realiti bahawa era campur tangan langsung Amerika seperti yang pernah membawa bapanya berkuasa sudah berlalu.
Sekitar 60 peratus rakyat Iran kini berusia bawah 39 tahun.
Bagi generasi itu, memori tentang bagaimana rejim teokratik bermula hampir pudar.
Dalam keadaan pergolakan nasional, sejarah sering diketepikan demi mencari simbol harapan.
Sama ada Encik Reza Pahlavi mampu menjadi simbol penyatuan atau sekadar bayangan masa lalu, masih menjadi persoalan.
Yang jelas, Iran kini berada di persimpangan sejarah, bergelut antara trauma silam, struktur kuasa yang tegar, dengan aspirasi masa depan yang semakin sukar dibendung. – Agensi berita.

