Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Bandar New York haramkan TikTok pada peranti pemerintah atas sebab keselamatan

Aug 17, 2023 | 02:44 PM



NEW YORK: Bandar New York mengharamkan TikTok pada peranti milik pemerintah atas alasan kebimbangan keselamatan – sama seperti langkah sekatan yang telah diambil oleh beberapa bandar dan negeri lain di Amerika Syarikat.


TikTok, aplikasi perkongsian video pendek yang digunakan oleh lebih 150 juta rakyat Amerika dan dimiliki oleh gergasi teknologi China, ByteDance, berdepan dengan meningkatnya desakan daripada penggubal undang-undang seluruh Amerika supaya mengharamkan media sosial itu atas kebimbangan mengenai kemungkinan pengaruh pemerintah China.

TikTok “menimbulkan ancaman keselamatan kepada rangkaian teknikal bandar ini”, kata Mayor New York, Encik Eric Adams, dalam satu kenyataan pada Selasa.

Agensi-agensi di New York dikehendaki mengeluarkan aplikasi itu dalam masa 30 hari dan ini bermakna para pekerja tidak lagi mempunyai akses pada laman web kesemua peranti dan rangkaian milik majlis perbandaran tersebut. Negeri New York telah pun mengharamkan TikTok pada peranti mudah alih di bawah kendaliannya.

TikTok sebelum ini berkata ia “tidak berkongsi dan tidak akan berkongsi data pengguna Amerika dengan pemerintah China dan telah mengambil langkah besar untuk melindungi privasi dan keselamatan pengguna TikTok”.

Pegawai keselamatan tertinggi Amerika termasuk Pengarah Biro Siasatan Federal (FBI), Encik Christopher Wray, dan Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik William Burns, berkata TikTok menimbulkan ancaman.

Encik Wray pernah berkata pada Mac bahawa pemerintah China boleh menggunakan TikTok untuk mengawal perisian berjuta-juta peranti dan memacu naratif untuk memecahbelahkan rakyat Amerika.

Mantan Presiden Donald Trump pada 2020 cuba menghalang muat turun kandungan baru TikTok tetapi beberapa siri keputusan mahkamah menghalang larangan itu daripada dikuatkuasakan.

Banyak negeri dan bandar Amerika telah mengehadkan TikTok pada peranti pemerintah. Bandar Montana baru-baru ini meluluskan rang undang-undang yang melarang aplikasi itu di seluruh negeri mulai 1 Januari tetapi sedang dicabar secara perundangan.

Hampir separuh daripada orang dewasa Amerika menyokong larangan TikTok, menurut tinjauan Reuters/Ipsos yang dikeluarkan pada Rabu.

Jun lalu, sekumpulan enam senator dan dua anggota Dewan Perwakilan mengusulkan rang bagi melindungi maklumat peribadi rakyat Amerika daripada digunakan oleh musuh-musuh negara itu.

Rang tersebut adalah yang terkini dalam beberapa usul yang bertujuan menangani kekhuatiran tentang maklumat rakyat Amerika digunakan oleh aplikasi media sosial asing seperti TikTok.

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Senat, Encik Ron Wyden, dari parti Demokrat, berkata Rang itu “akan menutup saluran maklumat daripada diakses oleh negara-negara musuh”.

Di samping itu, ia turut menyekat TikTok daripada mengirim maklumat peribadi rakyat Amerika kepada China, dan “membolehkan negara-negara yang mempunyai perlindungan privasi yang kukuh bagi pererat hubungan mereka”.

Ramai penggubal dasar Amerika berkata TikTok menimbulkan risiko keselamatan yang serius terhadap rakyat Amerika dan telah menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan China menyebarkan pengaruh melalui wadah yang digunakan oleh lebih 150 juta rakyat Amerika itu. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >