Topik diikuti
Pergi ke BHkuBanduan wanita AS kritikal selepas dua suntikan hukuman mati gagal
Banduan wanita AS kritikal selepas dua suntikan hukuman mati gagal
NASHVILLE: Seorang banduan wanita yang dijatuhi hukuman mati di Tennessee berada dalam keadaan kritikal selepas terselamat daripada dua suntikan maut dalam pelaksanaan hukuman mati yang gagal, menurut peguamnya.
Christa Pike, 50 tahun, dikejarkan dari bilik hukuman mati di Institusi Keselamatan Maksimum Riverbend di Nashville ke hospital pada malam 30 September, selepas masih hidup walaupun menerima dua dos pentobarbital yang sepatutnya membawa maut.
“Apa yang dimaklumkan kepada kami ialah beliau berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan untuk menyelamatkan nyawanya,” kata peguamnya, Encik Randy Spivey, dalam sidang media secara maya pada 1 Oktober.
Beliau enggan memberikan butiran lanjut mengenai keadaan Pike.
Encik Spivey menggesa Gabenor Tennessee, Encik Bill Lee, yang sebelum ini menolak permohonan pengampunan Pike, supaya menukar hukuman matinya kepada hukuman lain.
Beliau berkata Pike sudah menjalani lebih 20 tahun dalam kurungan bersendirian dan kini turut melalui satu percubaan penuh untuk melaksanakan hukuman mati menerusi suntikan.
Kes itu disifatkan pakar hukuman mati Amerika Syarikat sebagai kejadian luar biasa yang tidak pernah berlaku dalam era moden pelaksanaan hukuman mati di negara tersebut.
Pengarah Eksekutif Pusat Maklumat Hukuman Mati (DPIC), Cik Robin Maher, berkata terdapat tujuh kes sebelum ini apabila hukuman mati tidak dapat diteruskan kerana petugas perubatan gagal memasukkan saluran intravena (IV).
Namun, katanya, Pike dipercayai individu pertama yang terselamat selepas ubat hukuman mati dalam dos yang sepatutnya membawa maut sudah disuntik ke tubuhnya.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, turut mempersoalkan bagaimana pelaksanaan hukuman mati itu boleh gagal, sambil berkata proses sedemikian “sepatutnya tidak begitu sukar”.
Kes Pike sudah mendapat perhatian sebelum hukuman itu dilaksanakan kerana beliau sepatutnya menjadi wanita pertama dihukum mati di Tennessee dalam tempoh lebih 200 tahun.
Seorang saksi media, Cik Kim Chandler daripada Associated Press, berkata Pike masih kelihatan sedar ketika proses hukuman bermula.
Menurutnya, Pike beberapa kali memandang sekeliling bilik dan pada satu ketika bertanya kepada pegawai penjara sama ada keadaan yang dirasainya ketika itu adalah sesuatu yang sepatutnya berlaku.
Pike kemudian mula berdengkur.
Wartawan yang menyaksikan proses itu menunggu kira-kira sejam sebelum diarahkan meninggalkan kawasan pemerhatian, dengan Pike ketika itu masih hidup.
Pasukan peguam Pike sebelum ini membantah kaedah pemasangan saluran IV yang digunakan dalam pelaksanaan hukuman itu kerana bimbang ia boleh menyebabkan penderitaan yang tidak perlu berikutan keadaan salur darahnya yang kecil serta masalah darah yang dihidapinya.
Encik Spivey berkata beliau mengira sekurang-kurangnya tujuh jarum digunakan pada lengan kiri Pike sahaja dalam usaha memasukkan saluran IV.
Seorang lagi peguamnya, Encik Stephen Ferrell, berkata pakar perubatan sebelum ini memberi amaran bahawa jarum boleh terkeluar daripada salur darah atau menembusi dinding salur darah.
Jika itu berlaku, ubat maut boleh mengalir ke dalam tisu lengan dan bukannya terus memasuki aliran darah.
Menurut saksi media, Pike memberitahu petugas bahawa lengannya terasa seolah-olah akan “pecah”, manakala Encik Spivey berkata beliau melihat lengan kanan Pike bertukar menjadi ungu, terutama selepas suntikan kedua diberikan.
Encik Ferrell berkata kebimbangan Pike sebelum hukuman bukan mengenai kematian itu sendiri, tetapi kemungkinan mengalami proses kematian yang panjang, menyakitkan dan traumatik.
Jabatan Pemulihan Tennessee mempertahankan tindakannya dengan berkata setiap langkah dalam protokol pelaksanaan hukuman mati yang sah dan ditetapkan negeri itu sudah dipatuhi.
Pike kemudian dibawa ke sebuah kemudahan perubatan di luar penjara.
Susulan kejadian itu, Encik Lee mengarahkan satu siasatan menyeluruh oleh pihak ketiga terhadap pelaksanaan hukuman yang gagal tersebut.
Beliau turut mengumumkan pelaksanaan hukuman mati terhadap seorang lagi banduan, Gary Wayne Sutton, yang dijadualkan pada 3 Disember, tidak akan diteruskan tahun ini.
Pike dijatuhi hukuman mati atas pembunuhan Colleen Slemmer, 19 tahun, ketika kedua-duanya masih remaja.
Pike berusia 18 tahun ketika beliau dan teman lelakinya menyerang dan membunuh Slemmer di sebuah pusat latihan pekerjaan.
Kes itu mendapat perhatian seluruh negara selepas mayat Slemmer ditemukan dengan simbol pentagram diukir pada dadanya.
Ibu mangsa, Cik May Martinez, menyifatkan pelaksanaan hukuman mati yang gagal itu sebagai satu keadaan yang “kucar-kacir”.
Sebelum hukuman dilaksanakan, peguam Pike memohon pengampunan dengan antara lain merujuk kepada usianya yang masih muda ketika jenayah dilakukan, masalah kesihatan mental ketika itu serta sejarah penderaan seksual semasa kecil dan gangguan tekanan pascatrauma.
Selepas beberapa tindakan undang-undang menyebabkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan beberapa jam, Mahkamah Agung Amerika akhirnya membenarkannya diteruskan pada malam 30 September.
Menurut DPIC, hanya 18 wanita dihukum mati di AS sejak 1976.
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia, Encik Volker Türk, pula menggesa Tennessee supaya tidak melakukan percubaan kedua untuk melaksanakan hukuman mati terhadap Pike.
Pejabatnya berkata kes Pike memperlihatkan beberapa isu yang menjadi asas kepada gesaan supaya hukuman mati dimansuhkan. – AFP