Perancang bunuh Trump di padang golf Florida dihukum penjara seumur hidup

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perancang bunuh Trump di padang golf Florida dihukum penjara seumur hidup

Feb 5, 2026 | 2:44 PM

Perancang bunuh Trump di padang golf Florida dihukum penjara seumur hidup

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
(FOTO FAIL) Gambar yang diperoleh pada 19 September 2024 daripada Pejabat Syerif Daerah Palm Beach, Florida, menunjukkan foto tahanan Ryan Wesley Routh, 58 tahun. Routh, yang merancang untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di padang golf miliknya di Florida pada September 2024, dua bulan sebelum pilihan raya Amerika, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 4 Februari 2026. Routh, kini berusia 59 tahun, didapati bersalah pada September atas lima pertuduhan, termasuk cubaan membunuh calon presiden.
(FOTO FAIL) Gambar yang diperoleh pada 19 September 2024 daripada Pejabat Syerif Daerah Palm Beach, Florida, menunjukkan foto tahanan Ryan Wesley Routh, 58 tahun. Routh, yang merancang untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di padang golf miliknya di Florida pada September 2024, dua bulan sebelum pilihan raya Amerika, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 4 Februari 2026. Routh, kini berusia 59 tahun, didapati bersalah pada September atas lima pertuduhan, termasuk cubaan membunuh calon presiden. - Foto AFP

FORT PIERCE, Florida: Seorang lelaki yang merancang untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di padang golf miliknya di Florida pada September 2024, dua bulan sebelum pilihan raya Amerika, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 4 Februari.

Ryan Routh, 59 tahun, disabitkan kesalahan pada September lalu kerana cuba membunuh Trump yang ketika itu masih calon presiden. Kes itu merupakan cubaan pembunuhan kedua terhadap tokoh Republikan berkenaan dalam tempoh menjelang pilihan raya yang akhirnya menyaksikan Encik Trump kembali ke Rumah Putih.

Hakim Aileen Cannon menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ditambah tujuh tahun, selepas prosiding selama kira-kira 90 minit. Beliau berkata hukuman berat itu perlu bagi “melindungi orang awam daripada jenayah pada masa hadapan” oleh tertuduh.
“Kejahatan itu ada dalam diri kamu, bukan dalam diri orang lain,” kata Hakim Cannon ketika menyampaikan penghakiman.

Peguam Negara Amerika Cik Pam Bondi menyambut baik keputusan mahkamah itu, menyifatkan percubaan pembunuhan berkenaan sebagai “serangan langsung terhadap keseluruhan sistem demokrasi Amerika”.

Routh, yang berasal dari Hawaii, ditahan pada 15 September 2024 selepas seorang ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika ternampak muncung senapang terjulur dari semak di perimeter padang golf West Palm Beach, ketika Encik Trump sedang bermain golf menjelang pilihan raya November.

Ejen tersebut melepaskan tembakan, menyebabkan Routh melarikan diri menaiki sebuah kenderaan sebelum ditahan tidak lama kemudian. Pihak berkuasa menemui sepucuk senapang jenis AK yang telah dimuatkan peluru, lengkap dengan teropong bidik serta magazin tambahan, di lokasi persembunyian tertuduh.

Hukuman pada 4 Februari menandakan penutup kepada satu perbicaraan yang luar biasa, apabila Routh mewakili dirinya sendiri walaupun tidak mempunyai sebarang latihan undang-undang.

Sepanjang tempoh tahanan, Routh dilaporkan membuat beberapa permintaan aneh, termasuk meminta penari bogel dan sebuah padang latihan golf, serta memohon agar juri dipilih berdasarkan pandangan mereka terhadap Gaza dan hasrat Trump untuk membeli Greenland. Semua permintaan tersebut ditolak oleh mahkamah.

Pada sesi hukuman, Routh mengambil tempat saksi untuk membaca kenyataan sepanjang 20 halaman yang berbaur tidak teratur, sehingga memaksa Hakim Cannon beberapa kali mencelah dan mengarahkannya menamatkan ucapan.

“Hukuman terhadap saya langsung tidak bermakna. Di hadapan anda kini, saya bukan siapa-siapa – saya hanyalah insan yang kosong,” kata Routh.

Routh, yang menggambarkan dirinya sebagai seorang yang baik, menutup kenyataannya dengan berkata: “Mencederakan orang lain adalah sesuatu yang salah sepenuhnya. Kita perlu bersikap baik dan berperikemanusiaan.”

Pendakwa raya Encik John Shipley sebelum ini memohon hukuman penjara seumur hidup, dengan berhujah bahawa Routh telah merancang selama berbulan-bulan untuk melakukan “pembunuhan yang dirancang tanpa belas kasihan” dengan matlamat “menggugat demokrasi Amerika”.

Routh disabitkan atas semua pertuduhan, termasuk cubaan membunuh calon presiden dan menyerang pegawai persekutuan. Selepas keputusan bersalah dibacakan pada September lalu, beliau cuba menikam lehernya sendiri menggunakan sebatang pen sebelum berjaya ditahan oleh pegawai keselamatan mahkamah.

Sepanjang perbicaraan, seorang saksi memberi keterangan bahawa Routh pernah meninggalkan sebuah kotak di kediamannya yang mengandungi sepucuk surat tulisan tangan. Surat itu berbunyi: “Kepada dunia. Ini adalah percubaan pembunuhan ke atas Donald Trump, dan saya sangat menyesal kerana gagal.”

Bagaimanapun, motif sebenar Routh untuk membunuh Trump kekal tidak jelas.

Percubaan serangan itu berlaku dua bulan selepas satu lagi cubaan pembunuhan terhadap Trump di Pennsylvania, apabila seorang lelaki berusia 20 tahun melepaskan beberapa das tembakan semasa satu perhimpunan, dengan satu daripadanya mencederakan telinga kanan Trump. Dalam insiden itu, seorang peserta perhimpunan terbunuh, manakala penyerang ditembak mati di tempat kejadian. Motifnya juga tidak pernah dipastikan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg