PROVO, Utah: Suspek dalam pembunuhan Charlie Kirk diheret ke mahkamah pada 16 September atas dakwaan membunuh aktivis konservatif itu dengan pihak pendakwa raya menuntut hukuman mati bagi jenayah yang telah menggegarkan Amerika Syarikat itu.
Encik Kirk, sekutu rapat Presiden Donald Trump dan pengasas kumpulan aktivis pelajar Turning Point USA, ditembak mati minggu lalu semasa satu acara di kampus universiti Utah.
Suspek, Tyler Robinson, 22 tahun, dituduh melepaskan satu das tembakan dari atas bumbung yang terkena leher Encik Kirk yang maut di hadapan ribuan orang, dalam satu episod yang telah memburukkan perpecahan di negara yang sudah berpolarisasi.
Pemburuan besar-besaran mencari suspek berakhir 33 jam kemudian apabila ibu bapa Robinson memujuknya supaya menyerah diri selepas melihat gambar lelaki dikehendaki polis itu.
Robinson memakai baju pelindung bunuh diri -- amalan biasa dalam kes berprofil tinggi -- apabila dia hadir di mahkamah Utah pada 16 September untuk mendengar pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Dia hanya bercakap ketika mengesahkan namanya dan duduk secara pasif ketika Hakim Daerah Tony Graf membacakan tujuh pertuduhan.
Pertuduhan paling berat ialah pembunuhan kejam, manakala yang lain termasuk menghalang keadilan dan mengganggu saksi dengan menyuruh rakan sebiliknya menutup mulut.
“Saya memfailkan notis dengan niat untuk menjatuhkan hukuman mati terhadapnya,” kata Hakim Daerah Utah Encik Jeff Gray dalam sidang akhbar.
“Saya tidak mengambil mudah keputusan ini, dan ia adalah keputusan yang saya buat secara bebas sebagai peguam daerah berdasarkan bukti dan keadaan serta sifat jenayah yang ada,” tegasnya.
Sidang akhbar itu, yang disiarkan secara langsung di saluran berita kabel di seluruh negara, memberikan gambaran pertama tentang kemungkinan motif pembunuh tersebut.
Encik Gray berkata pada hari pembunuhan itu, Robinson telah menghantar mesej teks kepada rakan sebiliknya dengan menyatakan terdapat mesej di bawah papan kekuncinya yang berbunyi dia mempunyai peluang untuk membunuh Charlie Kirk dan akan menggunakan kesempatan tersebut.
Rakan sebilik, yang tidak dinamakan, bertanya kepada Robinson mengapa dia mahu membunuh Encik Kirk.
“’Saya sudah cukup dengan kebenciannya.’” kata Encik Gray ketika memetik mesej Robinson itu.
Dia kemudian memberitahu rakan sebilik supaya memadam mesej tersebut.
Encik Kirk, 31 tahun dan bapa kepada dua orang anak, menggunakan khalayaknya di TikTok, Instagram dan YouTube untuk mengkritik hak golongan yang menukar jantina. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg