Topik diikuti
Pergi ke BHkuBangkai kapal ditemu 30 meter di dasar Laut Jawa, 129 masih hilang
Bangkai kapal ditemu 30 meter di dasar Laut Jawa, 129 masih hilang
JAKARTA: Bangkai kapal Virgo Transport 8 yang karam di Laut Jawa pada 13 September ditemukan pada kedalaman kira-kira 30 meter, sedang pasukan penyelamat Indonesia meneruskan pencarian 129 orang yang masih hilang.
Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Encik Mohammad Syafii, berkata kedudukan kapal itu yang tidak terlalu dalam membolehkan pihak berkuasa mempertimbangkan beberapa pilihan, termasuk menarik bangkai kapal ke kawasan perairan lebih cetek.
Bagaimanapun, beliau berkata Tentera Laut Indonesia berpandangan bangkai kapal itu sebaik-baiknya tidak dialihkan jika ia sudah berada dalam keadaan stabil di dasar laut.
“Rakan-rakan kami daripada Tentera Laut Indonesia memaklumkan bahawa jika kapal itu sudah tenggelam hingga ke dasar, sebenarnya lebih baik ia kekal di situ,” katanya dalam sidang media mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pelabuhan Trisakti, Banjarmasin, Kalimantan Selatan, pada malam 14 September.
Menurut Encik Syafii, Basarnas masih mempertimbangkan kemungkinan menarik kapal itu ke perairan lebih cetek sebagai sebahagian daripada operasi susulan.
Buat masa ini, keutamaan pasukan penyelamat adalah mencari mangsa di permukaan laut dengan harapan mereka masih dapat ditemukan dalam keadaan selamat.
“Kami tentunya masih sangat berharap mangsa dapat segera ditemukan dalam keadaan hidup,” katanya.
Operasi pada hari kedua pencarian dibahagikan kepada enam sektor, tetapi kawasan pencarian boleh diubah berdasarkan maklumat dan pemetaan terbaru oleh Pusat Komand Basarnas.
Sehingga 10 malam pada 14 September, seramai 114 daripada 243 orang di atas kapal itu sudah ditemukan.
Daripada jumlah tersebut, 108 terselamat manakala enam disahkan meninggal dunia. Seramai 129 lagi masih hilang.
Sebanyak 86 mangsa sudah dibawa ke Pelabuhan Trisakti di Banjarmasin, terdiri daripada 85 mangsa yang terselamat dan seorang yang meninggal dunia. Jenazah mangsa itu sudah diserahkan kepada keluarganya.
Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Pangkalan Udara Syamsudin Noor di Banjarbaru sebelum diserahkan kepada pasukan Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI) Polis Nasional Indonesia untuk pemeriksaan lanjut.
Seorang mangsa yang terselamat pula diterbangkan menggunakan helikopter Basarnas dari lokasi kejadian ke Pangkalan Udara Syamsudin Noor.
Dalam pada itu, usaha membawa pulang 22 lagi mangsa yang terselamat berdepan kesukaran selepas ombak tinggi berulang kali mengganggu proses pemindahan mereka ke Banjarmasin.
Menurut Encik Syafii, mangsa berkenaan berada di atas kapal kayu Cahaya Bahari, yang terpaksa kekal di laut kerana ombak lebih tinggi daripada biasa menyukarkan kapal itu menghampiri kapal lain untuk memindahkan mangsa.
Keadaan laut yang bergelora turut menyebabkan dua kapal terbabit dalam proses pemindahan berlanggar sehingga memerlukan kerja pembaikan.
“Disebabkan ombak yang lebih tinggi daripada biasa pagi tadi, kedua-dua kapal sempat berlanggar ketika proses pemindahan dan perlu dibaiki,” katanya.
Keadaan itu memaksa pasukan penyelamat menggunakan kapal lebih kecil untuk memindahkan mangsa dari Cahaya Bahari ke kapal perang Tentera Laut Indonesia, KRI Nala.
Proses tersebut mengambil masa lebih lama kerana KRI Nala yang bersaiz besar tidak dapat berlabuh terus di Pelabuhan Trisakti.
Mangsa kemudian dipindahkan sekali lagi dari KRI Nala ke kapal Tentera Laut Indonesia, Kumai, pada lewat 14 September untuk meneruskan perjalanan ke Banjarmasin.
Mereka dijangka tiba pada awal 15 September.
Seramai 26 mangsa, terdiri daripada 22 yang terselamat dan empat yang meninggal dunia, masih dalam proses dibawa dari kawasan kejadian ke Pelabuhan Trisakti pada malam 14 September.
Virgo Transport 8 dilaporkan membawa 243 orang ketika ia hilang hubungan di perairan Masalembo di Laut Jawa pada kira-kira 2 pagi, 13 September.
Kapal itu memulakan perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur, menuju Banjarmasin pada 12 September sebelum dilaporkan mengalami kemalangan dan karam pada awal pagi berikutnya.
Penemuan bangkai kapal pada kedalaman kira-kira 30 meter kini menjadi perkembangan penting dalam operasi SAR, tetapi pihak berkuasa masih memberi tumpuan kepada pencarian di permukaan laut ketika usaha mengesan 129 orang yang belum ditemukan diteruskan.
Basarnas berkata kawasan pencarian akan disesuaikan berdasarkan hasil operasi dan pemetaan terkini, sedang keadaan laut kekal antara cabaran utama kepada pasukan penyelamat. - Agensi berita
