Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyelamat cari 130 orang dari kapal penumpang Indonesia; enam maut
Kapal mula berlayar pada 12 Sep dari Surabaya ke Banjarmasin sebelum putus hubungan
Penyelamat cari 130 orang dari kapal penumpang Indonesia; enam maut
JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia pada 13 September sedang mencari 130 orang daripada sebuah kapal penumpang yang dilaporkan hilang di Laut Jawa.
Kapal Indonesia itu yang membawa 243 orang, termasuk 30 kru, dilaporkan hilang selepas hubungan dengan pihak berkuasa terputus, pada awal 13 September semasa cuaca buruk, kata agensi mencari dan menyelamat.
Kapal Virgo Transport 8 itu memulakan pelayaran pada 12 September dari Surabaya, Jawa Timur, menuju ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan, sebelum terputus hubungan, kata agensi itu.
Tidak lama kemudian pada 13 September, agensi itu berkata seramai enam orang meninggal dunia selepas pihak penyelamat menemui 107 orang selamat, sementara lagi 130 orang masih hilang.
Dalam satu sidang media pada 13 September, Menteri Pengangkutan Indonesia, Encik Dudy Purwagandhi, menyatakan bahawa kapal itu terbalik dan tidak tenggelam – berdasarkan pemerhatian kru helikopter –sambil menambah bahawa punca kejadian itu masih menunggu siasatan lanjut.
Sebelum ini agensi mencari dan menyelamat melaporkan bahawa kapal itu tenggelam.
Ketua pejabat agensi di Banjarmasin itu, Encik I Putu Sudayana, berkata dalam satu kenyataan video bahawa ramai telah dipindahkan menggunakan pelbagai kapal dan sebahagian daripada mereka akan dibawa ke sebuah pelabuhan di Jawa Timur.
Pasukan penyelamat melancarkan operasi pencarian dengan mengerahkan satu pasukan, beberapa buah kapal dan sebuah helikopter ke lokasi terakhir kapal penumpang itu dikesan, kata Encik Sudayana, tanpa menyatakan apa yang telah berlaku kepada kapal tersebut.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada 17,000 pulau, sangat bergantung pada perkhidmatan feri sebagai mod pengangkutan utama, memandangkan laluan laut lebih murah dan mudah didapati berbanding perjalanan udara.
Walau bagaimanapun, piawaian keselamatan tidak sentiasa dikuatkuasakan dengan ketat, yang mengakibatkan kadar kemalangan yang agak tinggi.
Pada Ogos, satu kebakaran di atas feri yang dalam perjalanan antara Bali dengan Lombok telah mengorbankan seorang individu dan menyebabkan lima orang hilang.
Pada Julai pula, sebuah feri yang membawa lebih daripada 70 orang telah karam berhampiran Pulau Selayar, di selatan Sulawesi. – Agensi berita.
