ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan menemui bangkai sebuah pesawat kargo Boeing 737 yang hilang di Laut Arab pada 8 Julai, kira-kira 12 jam selepas ia dilaporkan terputus hubungan, ketika dalam penerbangan menuju ke Karachi, manakala operasi mencari lima anak kapal masih diteruskan.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan (PAA) berkata bangkai pesawat milik syarikat penerbangan K2 Airways itu ditemui kira-kira 98 kilometer di selatan Pelabuhan Ormara hasil operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan Tentera Laut Pakistan serta Agensi Keselamatan Maritim Pakistan.

“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan lima anak kapal yang berada di dalam pesawat ketika kejadian,” menurut kenyataan PAA.

Pesawat kargo itu membawa lima kru terdiri daripada dua juruterbang, dua jurutera penerbangan dan seorang kakitangan sokongan.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengesahkan nasib kesemua kru terbabit.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan semua agensi berkaitan mempercepatkan operasi mencari.

“Pemerintah akan melakukan segala yang termampu untuk mengesan kru pesawat dan mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Pesawat berusia 27 tahun yang telah diubah suai daripada pesawat penumpang kepada pesawat kargo itu, dilaporkan mengalami masalah sistem navigasi ketika berada di ruang udara Laut Arab.

Menurut PAA, juruterbang memaklumkan mengenai masalah itu pada 9.18 malam waktu tempatan, ketika pesawat sedang menghampiri Karachi.

Pusat kawalan trafik udara kemudian cuba membantu pesawat itu untuk melakukan penerbangan dengan selamat.

Namun, hanya tiga minit kemudian, radar menunjukkan pesawat mula kehilangan altitud secara mendadak sebelum semua komunikasi terputus.

Ketika itu pesawat berada kira-kira 287 kilometer di barat Karachi.

Data daripada laman penjejakan penerbangan, Flightradar24, menunjukkan pesawat mengalami perubahan altitud yang luar biasa dalam beberapa minit terakhir sebelum dipercayai terhempas ke laut.

Menurut data itu, pesawat menjunam hampir 1.5 kilometer dalam tempoh kurang seminit, sebelum kembali naik sekitar 1.8 kilometer dalam masa hanya 30 saat.

Selepas itu, pesawat dilaporkan menjunam secara mendadak dari altitud kira-kira 11 kilometer.

Isyarat terakhir yang diterima menunjukkan pesawat hanya berada pada ketinggian 330 meter dari paras laut, dengan kadar penurunan kira-kira 6.8 kilometer seminit, satu kadar yang disifatkan amat luar biasa dan hampir mustahil dikawal.

K2 Airways memaklumkan syarikat itu sedang bekerjasama sepenuhnya dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan serta agensi pemerintah lain bagi membantu siasatan.

Syarikat pembuat pesawat, Boeing, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan.

Pesawat yang terlibat ialah Boeing 737-400, iaitu model yang diperkenalkan dua generasi lebih awal berbanding Boeing 737 MAX.

Pesawat itu pada asalnya diserahkan kepada syarikat penerbangan Russia, Aeroflot, sebagai pesawat penumpang pada 1999 sebelum diubah suai menjadi pesawat kargo pada 2012.

Menurut rekod Flightradar24, pesawat itu mula digunakan oleh K2 Airways pada 2024 dan merupakan satu-satunya pesawat yang dimiliki syarikat penerbangan berkenaan.

Penerbangan terakhirnya direkodkan pada 28 Jun lalu.

Pakar penerbangan berkata siasatan dijangka memberi tumpuan kepada kemungkinan kerosakan sistem navigasi, sama ada ia punca utama nahas, atau sekadar satu daripada beberapa kegagalan teknikal yang lebih besar.

Mereka turut menjelaskan perubahan altitud yang terlalu drastik dalam tempoh singkat menunjukkan pesawat mungkin berdepan masalah serius, sehingga kru gagal mengawal penerbangan.

Jika semua kru disahkan terkorban, nahas itu akan menjadi kemalangan udara pertama yang membawa maut di Pakistan sejak Mei 2020.

Dalam tragedi itu, sebuah pesawat Airbus A320 milik Pakistan International Airlines terhempas berhampiran landasan Lapangan Terbang Karachi, mengorbankan 97 daripada 99 orang yang berada di dalam pesawat.

Pihak berkuasa berkata operasi mencari di Laut Arab akan diteruskan sehingga semua kru ditemui dan kotak hitam pesawat berjaya dibawa naik bagi membantu mengenal pasti punca sebenar nahas. – Agensi berita.