BANGKOK: Bangkok mempertingat persiapan banjir menjelang ketibaan lebih 15,000 perwakilan ke mesyuarat tahunan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia, susulan amaran hujan lebat serta paras takungan air yang kian penuh.

Langkah berjaga-jaga itu diambil selepas banjir melanda Thailand sejak 16 September, meragut 31 nyawa dan menjejas kira-kira 4.14 juta penduduk.

Hampir 3.52 juta penduduk di 26 wilayah serta Bangkok masih terjejas akibat banjir, kata Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana Thailand.

Kebimbangan kini tertumpu kepada Bangkok kerana bandar raya itu dijangka menerima hujan sekitar lima sentimeter sehari antara 11 dengan 13 Oktober.

Ia serentak dengan bermulanya pertemuan selama seminggu yang menghimpunkan menteri kewangan, gabenor bank pusat, eksekutif dan pegawai kanan dari 191 negara anggota IMF dan Bank Dunia.

Ketua bahagian ramalan Jabatan Meteorologi Thailand, Encik Surapong Sarapa, berkata hujan yang dijangka berlaku kali ini mungkin tidak seburuk hujan lebat pada akhir September.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mahu mengambil risiko selepas hujan melebihi 30 sentimeter dalam tempoh beberapa hari pada akhir September menyebabkan jalan raya dan kediaman ditenggelami air, penerbangan terganggu serta beberapa kilang terpaksa ditutup buat sementara.

Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, mengarahkan semua agensi berkaitan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir teruk dan memastikan gangguan perjalanan seperti yang berlaku pada September tidak berulang ketika ribuan tetamu antarabangsa berada di Bangkok.

“Tidak boleh berlaku sebarang gangguan seperti yang kita lihat minggu lalu,” kata Encik Anutin.

Sebagai sebahagian daripada persiapan, trak besar dan kenderaan pacuan empat roda akan disediakan untuk membawa perwakilan sekiranya jalan raya ditenggelami air.

Ratusan pam air turut ditempatkan di lokasi strategik bagi mempercepat pengaliran air dari kawasan yang berisiko banjir.

Pihak berkuasa turut menyediakan beberapa pelan kecemasan berdasarkan tahap banjir.

Jika air mencecah kira-kira 15.2 sentimeter, operasi mengepam dan mengalirkan air akan dipertingkat bagi memastikan laluan untuk lebih 400 kenderaan konvoi kekal boleh digunakan.

Jika paras air meningkat kepada sekitar 25.4 sentimeter, kereta elektrik BMW yang digunakan untuk membawa perwakilan akan digantikan dengan bas.

Jika air mencapai kira-kira 51 sentimeter, perwakilan akan diarah menggunakan rangkaian kereta api Bangkok bagi mengelakkan jalan raya yang ditenggelami air.

Dalam senario paling buruk, jika paras banjir mencecah tiga meter, mesyuarat itu akan dibatalkan.

Walaupun hujan yang diramalkan antara 11 dengan 13 Oktober dijangka lebih meluas, Encik Surapong berkata tempohnya mungkin lebih singkat berbanding hujan berterusan pada September yang menyebabkan sistem perparitan Bangkok tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.

Namun, kebimbangan kekal kerana sistem pengurusan air di kawasan tengah Thailand mempunyai ruang terhad untuk menerima satu lagi gelombang hujan lebat.

Takungan utama di tengah Thailand sudah mencapai kira-kira 91 peratus kapasiti setakat 5 Oktober.

Seorang pejuang sumber air Thailand, Encik Hannarong Yaowalers, berkata sebuah empangan utama pula sudah melebihi kapasiti normal, sekali gus meningkatkan kemungkinan lebih banyak air perlu dilepaskan ke hilir menuju wilayah di sekitar Bangkok.

Encik Anutin sebelum ini mengarahkan pengendali takungan yang penuh atau hampir penuh supaya mengurus pelepasan air dengan segera sambil memastikan masyarakat di kawasan hilir tidak terdedah kepada risiko lebih besar.

Beliau turut mengarahkan laluan air dan sistem saliran yang tersumbat dibersihkan, selain operasi mengepam air dari kawasan banjir dipercepatkan.

Bagaimanapun, kawasan tengah Bangkok yang menempatkan kebanyakan perwakilan antarabangsa mempunyai sistem yang direka untuk mengalirkan air dengan lebih pantas ke Sungai Chao Phraya.

Jurucakap kerajaan, Encik Ekkapob Pianpises, berkata paras sungai itu kini kira-kira satu meter di bawah benteng banjir Bangkok, sekali gus menyediakan sedikit ruang untuk menerima tambahan air.

Mesyuarat IMF-Bank Dunia itu dianggap penting bagi Thailand bukan sahaja dari sudut diplomatik, malah sebagai peluang mempamerkan Bangkok sebagai pusat perniagaan dan kewangan serantau ketika negara itu berusaha menarik lebih banyak pelaburan asing.

Kegagalan menangani banjir dan gangguan pengangkutan ketika acara berlangsung boleh menjejas imej Thailand di mata ribuan pegawai kerajaan, pemimpin kewangan dan eksekutif antarabangsa yang menghadirinya.

“Penganjuran mesyuarat ini merupakan peluang penting bagi Thailand untuk menjana nilai ekonomi, memperluas perdagangan dan mengukuhkan keyakinan antarabangsa terhadap Thailand,” kata Encik Anutin. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti