BANGKOK: Sekurang-kurangnya 23 orang terkorban akibat banjir yang melanda Thailand sejak pertengahan September, termasuk empat di Bangkok, selepas hujan lebat berterusan menyebabkan banjir besar di ibu kota itu.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) pada 29 September memaklumkan bahawa kira-kira 700,000 penduduk Bangkok terjejas, manakala banjir turut melanda 29 daripada 77 wilayah di seluruh negara.

Sebahagian kawasan di Bangkok masih ditenggelami air pada 29 September, tiga hari selepas pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan bencana di seluruh ibu kota itu susulan hujan lebat yang turun tanpa henti selama hampir 48 jam.

Keadaan banjir turut menjejaskan kegiatan harian penduduk apabila sekolah terpaksa ditutup untuk hari kedua berturut-turut.

Menurut pihak berkuasa Bangkok, hampir 7,000 penduduk masih berlindung di lebih 230 pusat pemindahan sementara yang disediakan di seluruh bandar raya itu.

DDPM memaklumkan bahawa daripada 23 kematian yang direkodkan, empat berlaku di Bangkok, lapan di wilayah Samut Prakan yang terletak antara ibu kota dengan kawasan pantai, manakala enam lagi di Sa Kaeo, sebuah wilayah di timur Thailand.

Kematian selebihnya dilaporkan di Chanthaburi, tenggara Bangkok, serta Ayutthaya dan Saraburi yang terletak di utara ibu kota.

September lazimnya merupakan kemuncak musim hujan di Thailand, namun ramai penduduk Bangkok menyifatkan banjir tahun ini lebih buruk berbanding tahun sebelumnya.

Bangkok yang dibina di kawasan bekas tanah paya mempunyai rangkaian terusan yang luas, dengan kebanyakannya kini dipenuhi air akibat hujan lebat berterusan.

Keadaan itu menyukarkan usaha mengalirkan air banjir, meskipun stesen pam di seluruh bandar raya beroperasi pada kapasiti maksimum sejak beberapa hari lalu.

Gabenor Bangkok, Encik Chadchart Sittipunt, pada 27 September memberi amaran bahawa proses mengalirkan sepenuhnya air banjir mungkin mengambil masa sehingga seminggu.

Ini bermakna penduduk di kawasan yang masih ditenggelami air mungkin perlu berdepan gangguan kegiatan harian untuk beberapa hari lagi sementara operasi mengepam air diteruskan.

Banjir itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai kemampuan sistem saliran Bangkok menghadapi hujan lebat yang berpanjangan.

Saintis memberi amaran bahawa kejadian cuaca ekstrem dijangka menjadi semakin kerap dan lebih buruk apabila pemanasan global terus meningkat akibat pelepasan gas rumah hijau daripada penggunaan bahan api fosil. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti