Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bangladesh arah perintah berkurung selepas 91 maut dalam protes

Aug 5, 2024 | 1:33 PM
Polis pencegah rusuhan dikerah untuk mengawal tunjuk perasaan oleh pelajar di kampus Universiti Dhaka pada 4 Ogos.
Polis pencegah rusuhan dikerah untuk mengawal tunjuk perasaan oleh pelajar di kampus Universiti Dhaka pada 4 Ogos. - Foto EPA-EFE

DHAKA: Sekurang-kurangnya 91 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam rusuhan di Bangladesh pada 4 Ogos apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan puluhan ribu penunjuk perasaan yang menggesa Perdana Menteri Sheikh Hasina meletakkan jawatan.

Jumlah kematian, termasuk sekurang-kurangnya 13 anggota polis, ialah angka tertinggi dalam satu hari daripada sebarang protes di Bangladesh baru-baru ini, mengatasi 67 kematian yang dilaporkan pada 19 Julai apabila pelajar turun ke jalanan untuk menuntut kuota jawatan di sektor awam dihapuskan.

Menyusuli tunjuk perasaan yang semakin meluas itu, pemerintah telah mengisytiharkan perintah berkurung tanpa had di seluruh negara bermula 6 petang pada 4 Ogos – kali pertama ia mengambil langkah sedemikian sejak protes bermula bulan Julai lalu.

Ia juga mengumumkan cuti umum tiga hari bermula pada hari yang sama.

Pergolakan yang telah mendorong pemerintah menutup perkhidmatan Internet, adalah ujian terbesar Cik Hasina dalam rejimnya selama 20 tahun selepas beliau memenangi penggal keempat berturut-turut dalam pilihan raya yang diboikot oleh pembangkang utama Parti Nasionalis Bangladesh.

Pengkritik Cik Hasina, bersama-sama kumpulan hak asasi manusia, telah menuduh pemerintahnya menggunakan kekerasan yang berlebihan terhadap penunjuk perasaan, tuduhan yang beliau dan menterinya nafikan.

Penunjuk perasaan menyekat lebuh raya utama pada 4 Ogos ketika para pelajar melancarkan program menolak kerjasama untuk mendesak peletakan jawatan pemerintah. Ekorannya keganasan merebak ke seluruh negara.

“Mereka yang melakukan keganasan bukanlah pelajar tetapi pengganas yang mahu menggugat kestabilan negara,” kata Cik Hasina selepas mesyuarat panel keselamatan negara, yang dihadiri ketua semua cabang tentera, polis dan agensi lain.

Balai polis dan pejabat parti pemerintah menjadi sasaran ketika keganasan menggegarkan negara dengan 170 juta penduduk itu.

Kementerian Luar India menggesa warganya untuk tidak pergi ke Bangladesh sehingga diberitahu kelak.

Pada Julai lalu, sekurang-kurangnya 150 orang terbunuh dan beribu-ribu cedera dalam keganasan yang dilakukan oleh kumpulan pelajar yang membantah kuota untuk pekerjaan di sektor awam. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg