Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantahan di Bangladesh disambung semula selepas tuntutan pelajar diabai

Jul 30, 2024 | 12:09 PM
Pasukan keselamatan terus mengawal keadaan di seluruh negara dan perintah berkurung masih berkuatkuasa di Bangladesh.
Pasukan keselamatan terus mengawal keadaan di seluruh negara dan perintah berkurung masih berkuatkuasa di Bangladesh. - Foto EPA-EFE

DHAKA: Pelajar-pelajar Bangladesh mengadakan bantahan jalanan di beberapa kawasan pada 29 Julai, selepas pemerintah Perdana Menteri Sheikh Hasina tidak mengendahkan tuntutan membebaskan pemimpin mereka dan memohon maaf bagi mereka yang terkorban dalam pergolakan maut di negara itu.

Perhimpunan pelajar menentang kuota pekerjaan perkhidmatan awam pada Julai, mencetuskan keganasan berhari-hari yang mengorbankan sekurang-kurangnya 205 orang, termasuk beberapa pegawai polis, menurut kiraan AFP berdasar data polis dan hospital.

Pertempuran itu adalah antara yang terburuk dalam tempoh 15 tahun pemerintahan Cik Hasina.

Tetapi kekacauan dapat diredakan dengan mengerahkan tentera, mengenakan perintah berkurung dan menutup Internet di seluruh negara.

Sekurang-kurangnya enam orang pemimpin pertubuhan Mahasiswa Menentang Diskriminasi, kumpulan yang menganjurkan protes awal, adalah antara beribu-ribu yang ditahan polis.

“Pemerintah terus mengabaikan tuntutan pergerakan kami,” kata Encik Abdul Kader, salah seorang penyelaras kumpulan itu dalam satu kenyataan.

“Kami meminta semua warga Bangladesh untuk menunjukkan solidariti dengan tuntutan kami dan menyertai gerakan kami.”

Beberapa protes telah diadakan di ibu kota Dhaka dan wilayah lain di Bangladesh pada 29 Julai, tetapi ia hanya bantahan kecil berbanding yang dilihat pada awalnya.

Polis melakukan serbuan menggunakan belantan, untuk mematahkan satu protes di pinggir Dhaka, menahan sekurang-kurangnya 20 orang, lapor akhbar Prothom Alo.

Pemimpin kumpulan pelajar telah berikrar untuk menamatkan moratorium selama seminggu terhadap demonstrasi baru jika polis gagal membebaskan pemimpin mereka menjelang petang 4 Ogos.

Sekurang-kurangnya 9,000 orang telah ditangkap di seluruh negara sejak pergolakan bermula, menurut Prothom Alo.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, pada 29 Julai “bimbang tentang penangkapan besar-besaran yang dilaporkan” serta “laporan yang timbul tentang penggunaan kekerasan yang berlebihan oleh pasukan keselamatan”, kata jurucakapnya, Cik Stephane Dujarric. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg