DHAKA: Sekurang-kurangnya 27 orang terkorban dan ramai lagi cedera ekoran bantahan besar-besaran oleh ribuan penunjuk perasaan di Bangladesh, dengan kebanyakannya memegang kayu, menuntut Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan pada 4 Ogos.
Menteri ehwal dalam negeri Bangladesh turut mengisytiharkan perintah berkurung bermula 6 petang (waktu tempatan) pada 4 Ogos, kali pertama pemerintah negara itu mengambil langkah sedemikian sejak tunjuk perasaan itu bermula pada Julai.
Encik Asif Mahmud, salah seorang pemimpin protes utama dalam kempen seluruh negara itu, meminta penyokong supaya bersedia untuk berlawan.
“Sediakan batang buluh dan bebaskan Bangladesh,” tulisnya di Facebook pada 4 Ogos.
Sedang tentera bertindak untuk membantu memulihkan keadaan, beberapa mantan pegawai tentera telah menyertai pergerakan pelajar itu.
Mantan panglima tentera darat Bangladesh, Encik Ikbal Karim Bhuiyan, membubuh warna merah pada gambar profil Facebooknya sebagai tanda sokongan bagi gerakan tersebut.
Panglima tentera darat, Encik Waker-uz-Zaman, ketika bercakap kepada pegawainya di ibu pejabat tentera di Dhaka pada 3 Ogos, memberitahu mereka bahawa “Tentera Bangladesh adalah simbol kepercayaan rakyat”.
“Ia sentiasa berdiri di sisi rakyat dan akan berbuat demikian demi rakyat dan dalam apa jua keperluan negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 3 Ogos.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memberi perincian lanjut dan tidak jelas menyatakan sama ada tentera Bangladesh menyokong tunjuk perasaan itu atau tidak.
Perhimpunan menentang kuota pekerjaan dalam perkhidmatan awam mencetuskan pergolakan pada Julai, mengorbankan lebih 200 individu dalam pergolakan terburuk sepanjang 15 tahun Cik Hasina memegang tampuk pemerintahan.
Tentera dilaporkan dapat memulihkan keadaan seketika tetapi orang ramai kembali ke jalan raya dalam jumlah yang besar dalam gerakan yang bertujuan untuk melumpuhkan pemerintah.
Pada 3 Ogos, apabila ratusan ribu penunjuk perasaan berarak di Dhaka, polis secara umumnya hanya dapat menyaksikan perhimpunan itu.
Bantahan itu telah berkembang menjadi gerakan antipemerintah yang lebih meluas di seluruh negara Asia Selatan yang mempunyai penduduk sekitar 170 juta itu.
Protes tersebut melibatkan pelbagai lapisan masyarakat Bangladesh, termasuk bintang filem, pemuzik dan penyanyi.
Dalam pada itu, setiausaha agung Liga Awami pimpinan Cik Hasina, Encik Obaidul Quader, telah menyeru aktivis parti supaya berkumpul di semua kawasan di bandar Dhaka dan di setiap daerah di seluruh negara untuk menunjukkan sokongan mereka kepada pemerintah.
Ibu kota Dhaka dilaporkan dilaporkan tegang dengan hanya sedikit kereta dan bas di jalan raya yang biasanya sesak di bandar dengan 20 juta penduduk itu pada 4 Ogos.
Kumpulan yang bertanggungjawab menganjurkan bantahan awal, Students Against Discrimination (Pelajar Menentang Diskriminasi), menggesa perhimpunan diadakan di seluruh negara.
Kumpulan itu turut meminta rakyat supaya berhenti membayar cukai dan bil utiliti mulai 4 Ogos untuk memberi tekanan kepada pemerintah. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg