DHAKA: Pemerintah Bangladesh telah mengisytiharkan hari berkabung negara pada 22 Julai, susulan tragedi nahas pesawat latihan Tentera Udara yang merempuh bangunan Milestone School and College di kawasan Uttara Diabari, Dhaka mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang termasuk pelajar dan mencederakan lebih 170 yang lain.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Penasihat, bendera negara akan dikibarkan separuh tiang di semua bangunan pemerintah, separa pemerintah, institusi berautonomi, sekolah dan premis swasta di seluruh negara, termasuk misi diplomatik Bangladesh di luar negara.
Solat dan doa khas turut akan diadakan di semua masjid serta rumah ibadat pelbagai agama untuk mendoakan kesembuhan mangsa yang cedera dan keamanan abadi buat roh mangsa yang terkorban.
“Saya amat terkejut dan berdukacita atas kehilangan nyawa dalam nahas ini,” ujar pemimpin sementara Bangladesh, Encik Muhammad Yunus dalam satu kenyataan rasmi.
“Saya mengarahkan semua pihak, termasuk hospital berkaitan, untuk memberi keutamaan penuh dalam menangani keadaan ini.”
Pesawat F-7 BGI buatan China itu berlepas dari Pangkalan Tentera Udara AK Khandaker di Kurmitola pada 1:06 tengah hari waktu tempatan, sebelum mengalami masalah mekanikal dan terhempas beberapa minit kemudian ketika menjalani latihan rutin.
Ketua Turus Tentera Udara Bangladesh, Ketua Turus Udara Marshal Hasan Mahmood Khan, turut menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan rasa dukacita mendalam terhadap kehilangan nyawa dan kesan buruk tragedi itu terhadap masyarakat.
Parti politik utama negara, termasuk Setiausaha Agung Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) Mirza Fakhrul Islam Alamgir, Amir Jamaat-e-Islami Shafiqur Rahman, dan Pengerusi Parti Jatiya GM Quader, mengeluarkan kenyataan berasingan menyatakan rasa sedih dan solidariti mereka. Sokongan turut dizahirkan daripada parti-parti lain seperti Parti Pekerja Revolusioner Bangladesh; Parti Warganegara Kebangsaan; Parti Komunis Bangladesh; Islami Andolan Bangladesh dan Gono Odhikar Parishad, yang semuanya menzahirkan rasa simpati dan bersatu dalam duka rakyat Bangladesh.
Pemimpin luar negara turut tampil mengucapkan takziah dan menyatakan solidariti.
Kesedihan turut dirasai di peringkat antarabangsa apabila negara-negara seperti Jepun, Switzerland, Kesatuan Eropah, serta jiran serantau India dan Pakistan mengutuskan ucapan takziah rasmi kepada Dhaka.
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, menerusi satu kenyataan di platform X berkata: “Hati kami bersama keluarga mangsa. Kami mendoakan kesembuhan segera bagi yang cedera. India berdiri teguh bersama Bangladesh dan bersedia memberi bantuan dalam apa jua bentuk.”
Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, juga menyatakan rasa sedihnya.
“Saya amat berdukacita atas kehilangan nyawa dalam nahas ini. Takziah saya ucapkan kepada rakyat Bangladesh, khususnya keluarga mangsa – termasuk kanak-kanak. Pakistan bersama Bangladesh dalam saat sukar ini.”
Presiden Maldives, Mohamed Muizzu, pula menulis: “Doa dan ingatan saya bersama semua mangsa serta keluarga mereka. Ini adalah insiden yang amat memilukan.”
Pertubuhan Kerjasama Ekonomi D8, yang beribu pejabat di Istanbul dan dianggotai Bangladesh, dalam satu kenyataan turut menyatakan: “Kami bersolidariti bersama pemerintah dan rakyat Bangladesh dalam saat getir ini.
“Takziah kami ucapkan kepada keluarga mangsa dan semua yang terkesan. Kami juga mendoakan agar semua yang cedera segera sembuh sepenuhnya.”
Siasatan penuh kini sedang dijalankan oleh pihak tentera udara dan keselamatan negara untuk mengenal pasti punca sebenar nahas, yang kini disifatkan sebagai salah satu tragedi penerbangan paling menyayat hati dalam sejarah Bangladesh. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg