WASHINGTON: Rakaman kokpit dialog antara dua juruterbang penerbangan Air India yang terhempas pada Jun menunjukkan kapten menghentikan aliran bahan api ke enjin pesawat, lapor Wall Street Journal pada 16 Julai.
Akhbar itu memetik orang yang biasa dengan penilaian awal oleh pegawai Amerika Syarikat terhadap bukti yang ditemui dalam penyiasatan ke atas nahas 12 Jun di Ahmedabad, India, yang mengorbankan 260 orang.
Pegawai pertama, yang menerbangkan Boeing 787 Dreamliner, bertanya kepada kapten yang lebih berpengalaman mengapa beliau mengalihkan suis bahan api ke kedudukan “putus” beberapa saat selepas berlepas daripada landasan, kata laporan itu.
Dua juruterbang terbabit ialah Kapten Sumeet Sabharwal dan Pegawai Pertama Clive Kunder, yang masing-masing mempunyai pengalaman penerbangan 15,638 jam dan 3,403 jam.
Direktorat Jeneral Penerbangan Awam, Kementerian Penerbangan Awam, Boeing dan Air India tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas laporan WSJ itu.
Laporan awal mengenai nahas yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB) pada 12 Julai berkata suis bahan api telah bertukar daripada mengalir kepada putus sesaat selepas berlepas, tetapi ia tidak menyatakan bagaimana ia dibalikkan semula.
Seorang juruterbang kemudian kedengaran di perakam suara kokpit bertanya kepada yang lain mengapa beliau memutuskan bahan api. “Juruterbang lain menjawab bahawa beliau tidak berbuat demikian,” kata laporan itu.
Tanpa bahan api yang mengalir ke enjin, pesawat yang menuju ke London itu mula kehilangan daya untuk menongkah lebih tinggi dan lemah
Hampir sejurus selepas pesawat itu terangkat dari tanah, rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan sumber tenaga sandaran yang dipanggil turbin udara telah digunakan, menunjukkan kehilangan kuasa daripada enjin.
Di tapak kemalangan, kedua-dua suis bahan api ditemui dalam kedudukan mengalir dan terdapat tanda-tanda kedua-dua enjin bergerak semula sebelum kemalangan di ketinggian yang rendah, kata laporan itu.
Dalam memo dalaman pada 14 Julai, Ketua Pegawai Eksekutif Air India, Encik Campbell Wilson, berkata laporan awal mendapati tiada kerosakan mekanikal atau masalah penyelenggaraan dan semua penyelenggaraan yang diperlukan telah dijalankan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg