DHAKA: Bangladesh telah memendekkan waktu bekerja di pejabat sektor awam dan swasta sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan tenaga, selepas bekalan elektrik negara itu terjejas susulan perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Pemerintah menetapkan waktu operasi baru bagi pejabat awam dan swasta dari 9 pagi hingga 4 petang, manakala perkhidmatan perbankan dipendekkan kepada 10 pagi hingga 3 petang bagi mengurangkan penggunaan elektrik.

Bangladesh, yang mempunyai kira-kira 170 juta penduduk dan bergantung kepada import untuk memenuhi 95 peratus keperluan tenaga, sememangnya terdedah kepada kejutan pasaran tenaga global.

Setiausaha Bahagian Tenaga dan Sumber Mineral Bangladesh, Encik Monir Hossain Chowdhury, berkata keputusan itu dibuat selepas negara itu berdepan lebih sebulan setengah tanpa import minyak mentah dari Asia Barat berikutan penutupan Selat Hormuz oleh Iran.

Beliau berkata pemerintah turut mengarahkan penggunaan tenaga di pasar raya dikurangkan, selain menasihati agar pencahayaan di ruang awam dan swasta dikurangkan.

“Pemerintah menasihati rakyat supaya berhemat dalam penggunaan bahan api sepanjang masa. Untuk menjimatkan bahan api, kita perlu memberi tumpuan hanya kepada keperluan asas dan penting, sementara aktiviti yang tidak penting boleh ditangguhkan buat sementara. Ini akan membantu mengurangkan penggunaan tenaga. Setiap warganegara mesti menyokong inisiatif ini. Jika satu lampu sudah cukup, mengapa perlu menyalakan lima?” kata Encik Chowdhury kepada Arab News.

Encik Chowdhury berkata walaupun tiada hukuman khusus ditetapkan setakat ini terhadap pihak yang melanggar peraturan baru itu, Kementerian Dalam Negeri akan mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan pelaksanaannya.

“Dalam beberapa hari akan datang, mungkin ada arahan tambahan,” katanya.

Langkah penjimatan tenaga bagi unit perindustrian dan kilang swasta pula dijangka diumumkan oleh Kementerian Buruh dan Pekerjaan, manakala Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan garis panduan baru untuk sekolah.

Mulai 5 April juga, operasi pasar raya dan pusat beli-belah ditetapkan berakhir pada 7 malam.

Namun, sedikit kelonggaran diberikan menjelang sambutan Tahun Baru Bengali pada 14 April serta musim jualan runcit utama di negara itu.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai, Encik Mohammad Helal Uddin, berkata pemerintah memberi jaminan bahawa kelonggaran sama akan diberikan semasa Aidiladha sekiranya perang masih berterusan.

“Jika keputusan pemerintah tidak dipatuhi, pemilik kedai boleh dikenakan denda, yang pemantauannya akan dilakukan oleh polis dan pihak berkuasa elektrik.

“Saya berharap semua pemilik kedai akan secara sukarela menyokong inisiatif penjimatan ini memandangkan dunia kini berdepan krisis tenaga global.

“Krisis ini memberi kesan kepada sektor pertanian, pengangkutan, bekalan elektrik dan banyak lagi. Kita semua mesti mengambil bahagian dalam langkah berjimat ini, sama seperti ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sri Lanka pula merampas lebih 50,000 liter bahan api yang disorok secara haram dalam tempoh 30 hari lalu dan menahan 31 individu dalam siri serbuan di seluruh negara.

Jurucakap media polis, Penolong Superintenden F U Wootler, berkata tangkapan itu dibuat dalam operasi yang dijalankan di seluruh pulau berkenaan dari 3 Mac hingga 4 April lalu, lapor Xinhua.

Menurut beliau, polis merampas lebih 52,000 liter bahan api sepanjang operasi itu, termasuk 47,006 liter diesel, 2,668 liter petrol dan 2,706 liter minyak tanah.

Beliau berkata tindakan undang-undang sudah dimulakan terhadap suspek yang ditahan kerana dipercayai menyimpan stok bahan api secara haram.

“Operasi ini dijalankan atas arahan Ketua Polis Negara bagi menahan individu yang menyorok bahan api secara haram sehingga menimbulkan kesulitan kepada orang ramai ketika krisis tenaga global semakin memuncak,” katanya. – Agensi berita.