Konflik AS–Iran lonjak kos sara hidup di Global Selatan dari Pakistan hingga Mesir
Konflik AS–Iran lonjak kos sara hidup di Global Selatan dari Pakistan hingga Mesir
Gangguan bekalan baja boleh beri impak pada bekalan, harga makanan
Konflik AS–Iran lonjak kos sara hidup di Global Selatan dari Pakistan hingga Mesir
ISLAMABAD: Konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran kini memberi kesan langsung kepada ekonomi negara membangun di Global Selatan merangkumi Asia, Afrika dan Asia Barat apabila harga tenaga melonjak susulan gangguan bekalan global.
Negara seperti Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Jordan, Mesir dan Habsyah dilihat paling terdedah, terutama kerana kebergantungan tinggi kepada import tenaga serta kemampuan fiskal yang terhad untuk menyerap kenaikan harga.
Global Selatan merujuk kepada negara membangun di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Oceania yang memperjuangkan suara lebih seimbang dalam sistem antarabangsa.
Gangguan utama berpunca daripada penutupan laluan strategik Selat Hormuz serta serangan ke atas kemudahan minyak dan gas di rantau Teluk, yang menjejaskan bekalan global dan mendorong kenaikan harga minyak.
Di Pakistan, yang mengimport kira-kira 80 peratus keperluan tenaga dari rantau Teluk, pemerintah terpaksa mengambil langkah drastik untuk menjimatkan bahan api. Antara langkah yang dilaksanakan termasuk penutupan sekolah, pengurangan hari bekerja kepada empat hari seminggu bagi sektor awam, serta arahan bekerja dari rumah kepada sebahagian kakitangan pemerintah.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, turut menangguhkan kenaikan harga petrol dan diesel menjelang Aidilfitri dengan menyatakan pemerintah akan “menanggung beban” kenaikan kos buat sementara waktu.
Namun penganalisis memberi amaran bahawa tekanan sebenar masih belum sepenuhnya dirasai.
“Impak kejutan ini sangat besar, walaupun belum sepenuhnya dipindahkan kepada pengguna dan industri,” kata Encik S Akbar Zaidi dari Institut Pentadbiran Awam di Karachi.
Penyelidik Encik Khalid Waleed berkata: “Kos pengangkutan sudah mula meningkat dan ini akan menjejaskan harga barangan seperti tepung dan baja dalam masa terdekat,” katanya. Dengan musim menuai gandum bermula April, beliau menjangkakan harga makanan akan meningkat lebih tinggi.
“Jika harga diesel kekal tinggi, kos pengeluaran akan meningkat dan akhirnya dipindahkan kepada pengguna,” katanya.
Situasi lebih genting dilaporkan di Bangladesh yang mengimport sekitar 95 peratus minyaknya. Beberapa kawasan mengalami kehabisan bekalan di stesen minyak walaupun catuan bahan api telah dilaksanakan.
Di Bangladesh, pembelian panik dilaporkan apabila syarikat tenaga milik pemerintah mula melaksanakan catuan bahan api. Bangladesh Petroleum Corporation (BPC) memaklumkan langkah itu diambil bagi memastikan pengagihan bahan api yang adil sepanjang tempoh krisis.
Had harian baharu ditetapkan kepada dua liter bagi motosikal, kereta persendirian (10 liter), kenderaan ringan (20 hingga 25 liter), bas tempatan (70 hingga 80 liter) serta antara 200 hingga 220 liter bagi bas dan trak laluan jauh, lapor media tempatan.
Sri Lanka turut mengambil langkah penjimatan tenaga yang ketat apabila pemerintah mengisytiharkan cuti umum mingguan setiap Rabu dan memperkenalkan sistem pas bahan api bagi mengawal penggunaan petrol dan diesel.
Langkah ini dilaksanakan ketika simpanan bahan api negara itu dijangka menyusut dalam tempoh beberapa minggu, sekali gus mencerminkan tekanan berterusan terhadap ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis kewangan sejak 2019.
Manakala di India pula, harga silinder gas petroleum cecair (LPG) seberat 14.2 kilogram bagi kegunaan isi rumah meningkat 60 rupee (S$0.82) kepada 913 rupee, menurut laporan media tempatan.
Menteri Petroleum India, Encik Hardeep Singh Puri, sebelum ini berkata India akan terus menikmati bekalan tenaga tanpa gangguan walaupun berdepan cabaran geopolitik. “Keutamaan kami adalah untuk memastikan ketersediaan bahan api mampu milik dan mampan untuk rakyat kami, dan kami melakukannya dengan lancar. Tiada kekurangan tenaga di India dan tiada sebab untuk bimbang bagi pengguna tenaga kami,” katanya di platform X.
Mesir, sebagai antara pengimport tenaga terbesar di Asia Barat, telah menaikkan harga petrol, diesel dan gas memasak antara 15 hingga 22 peratus. Presiden Abdel Fattah el-Sisi berkata langkah itu perlu bagi mengelakkan kesan ekonomi yang lebih buruk.
Pemerintah turut mengehadkan waktu operasi premis perniagaan serta mengurangkan penggunaan lampu awam bagi menjimatkan tenaga.
Menurut pakar ekonomi, negara-negara membangun dari Global Selatan kini berdepan tekanan berganda melibatkan inflasi, penyusutan nilai mata wang serta kekangan fiskal. Profesor ekonomi, Dr Yeah Kim Leng, berkata negara yang bergantung kepada import tenaga dan makanan paling terkesan, khususnya yang mempunyai kadar kemiskinan tinggi. “Mereka berdepan gabungan tekanan inflasi, kejatuhan mata wang dan beban kewangan yang semakin meningkat,” katanya.
Penyusutan nilai mata wang berbanding dolar Amerika Syarikat turut memburukkan keadaan kerana meningkatkan kos import, termasuk minyak. Pada masa sama, kerajaan mempunyai ruang terhad untuk terus memberi subsidi. “Subsidi tidak boleh dikekalkan dalam jangka panjang kerana kekangan fiskal,” kata Yeah. Beliau memberi amaran bahawa langkah penjimatan yang terpaksa diambil boleh mencetuskan ketidakstabilan sosial dan krisis kewangan yang lebih besar.
Gangguan bekalan baja akibat konflik di Asia Barat boleh memberi impak kepada keselamatan makanan dunia, termasuk risiko kekurangan bekalan dan kenaikan harga, kata pakar.
Pakar turut memberi amaran bahawa kenaikan kos bahan api akan memberi kesan rantaian kepada harga makanan. Petani di seluruh dunia berdepan lonjakan harga baja dan bahan api susulan perang di Asia Barat yang semakin memuncak, menyebabkan sebahagian daripada mereka bergelut mendapatkan bekalan ketika musim penanaman musim bunga semakin hampir.
Perang yang menutup Selat Hormuz itu memaksa loji pengeluaran baja di rantau berkenaan menghentikan operasi serta mengganggu teruk laluan perkapalan, sekali gus berpotensi menjejaskan bekalan kepada pengimport utama di seluruh dunia pada saat petani di Hemisfera Utara bersiap sedia menanam benih. Agensi berita

