Serangan dron sasar loji minyak, lapangan terbang Iraq
Serangan Iran disasar kepada kumpulan pembangkang Kurdi di wilayah utara Kurdistan
BAGHDAD: Dron menyerang lapangan terbang dan kemudahan minyak di Iraq pada 6 Mac, dan tentera pimpinan Amerika Syarikat menembak jatuh beberapa dron di bandar Erbil, wilayah Kurdi, selepas amaran kemungkinan serangan ke atas hotel-hotel di sana.
Serangan baru yang dipersalahkan ke atas Iran menyerang sasaran kumpulan pembangkang Kurdi di wilayah utara Kurdistan, susulan laporan bahawa militan mungkin cuba menyusup ke Iran.
Lewat 6 Mac, Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, yang menempatkan pangkalan tentera dan kemudahan diplomatik Amerika, berdepan serangan dron dan peluru berpandu, kata seorang pegawai keselamatan kepada AFP.
Sumber keselamatan lain mengesahkan terdapat serangan dron diikuti dengan kebakaran di lapangan terbang tersebut.
Beberapa jam sebelumnya, pihak berkuasa Iraq berkata roket menyasarkan kemudahan itu dari kawasan Abu Ghraib berhampiran Baghdad, sambil menambah bahawa pasukan keselamatan kemudian merampas kenderaan yang membawa baki roket.
Di wilayah selatan Basra, sebuah kemudahan minyak yang menempatkan syarikat tenaga asing diserang dua kali.
Seorang pegawai keselamatan di Basra berkata pada 6 Mac bahawa dua dron telah ditembak jatuh di atas kompleks minyak Burjesia, tetapi yang ketiga berjaya menembusi dan menghentam tapak tersebut.
Terdahulu, kemudahan itu telah diserang bersama-sama dengan satu lagi loji minyak serta lapangan terbang Basra, kata sumber keselamatan.
Iraq, yang telah lama menjadi medan pertempuran proksi antara Amerika dengan Iran, pernah berkata ia tidak mahu diseret ke dalam perang yang melanda Timur Tengah.
Tetapi ia tidak terkecuali.
Ia telah terjerumus ke dalam kancah perang sejak awal lagi, dengan serangan oleh Amerika dan Israel yang menyasarkan kumpulan disokong Iran di Iraq, yang telah berikrar untuk tidak kekal berpihak.
Kumpulan itu turut mendakwa telah melakukan serangan ke atas pangkalan Amerika di negara itu dan di rantau Teluk.
Wilayah autonomi utara Kurdistan, yang menempatkan tentera Amerika, telah menjadi sasaran utama serangan.
Letupan kedengaran pada 6 Mac berhampiran lapangan terbang di ibu negara Kurdistan, Erbil, tetapi gabungan pimpinan Amerika telah berulang kali berjaya memintas dron.
“Pasukan gabungan antarabangsa telah menjatuhkan empat dron yang sarat dengan bahan letupan di atas Erbil,” kata pasukan keselamatan Kurdish.
Terdahulu, Amerika memberi amaran bahawa anggota militan yang disokong Iran mungkin menyasarkan hotel di Kurdistan yang sering dikunjungi oleh warga asing.
Kementerian sumber asli Kurdistan berkata pada 6 Mac bahawa pengeluaran minyak oleh firma Amerika, HKN Energy, telah dihentikan susulan serangan dron sehari sebelumnya di wilayah Dohuk.
Ia berkata serangan itu dilancarkan dari kawasan Iraq sendiri.
Kurdistan Iraq telah menempatkan kem dan pangkalan yang dikendalikan oleh beberapa kumpulan pemberontak Kurdi Iran, yang telah diserang berulang kali oleh Iran sejak permulaan perang.
Teheran mengancam pada 6 Mac untuk menyasarkan “semua kemudahan” rantau ini jika militan Kurdi Iran dibenarkan memasuki Iran.
Setakat ini, tiada pasukan telah memasuki Iran, kata beberapa sumber penentang,
Pada 6 Mac, serangan baru telah melanda militan Kurdi, kata seorang pegawai dari Parti Demokratik Kurdistan Iran. – AFP

