Topik diikuti
Pergi ke BHkuBangsamoro adakan pilihan raya Parlimen pertama selepas berdekad perjuangan autonomi
Tiga ditembak mati, 15 lagi cedera di luar pusat mengundi menjelang pilihan raya
Bangsamoro adakan pilihan raya Parlimen pertama selepas berdekad perjuangan autonomi
MARAWI, Filipina: Penduduk wilayah autonomi Bangsamoro yang majoritinya beragama Islam mula mengundi pada pagi Isnin untuk memilih anggota Parlimen buat kali pertama, beberapa jam selepas keganasan bersenjata di luar sebuah pusat mengundi menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh.
Pilihan raya bersejarah itu menjadi satu lagi langkah penting dalam proses damai yang berlarutan selama beberapa dekad dan membawa kepada pembentukan Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) di selatan Filipina.
Kira-kira 2.4 juta pengundi berdaftar layak memilih 80 anggota Parlimen daripada 13 parti yang bertanding.
Namun, beberapa jam sebelum pusat mengundi dibuka pada 7 pagi, tiga orang terbunuh dan 15 lagi cedera dalam kejadian tembakan di luar sebuah sekolah yang dijadikan pusat mengundi di Cotabato, ibu kota wilayah itu.
Ketua Polis Cotabato, Encik Jibin Bongcayao, berkata kejadian berlaku sebelum tengah malam apabila anggota dua kumpulan politik yang bersaing berebut kedudukan untuk menjadi antara yang pertama mengundi.
“Ia bermula dengan perebutan kedudukan dalam barisan antara dua kumpulan,” katanya.
Menurut beliau, keadaan kemudian bertukar menjadi tolak-menolak sebelum tercetus pergaduhan dan akhirnya tembakan dilepaskan di kawasan yang sesak.
Encik Bongcayao berkata mereka yang terlibat mempunyai kaitan dengan parti politik yang muncul daripada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kumpulan yang berjuang selama beberapa dekad untuk mendapatkan autonomi lebih luas bagi masyarakat Moro.
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki meninggal dunia di hospital awal 14 September selepas satu letupan berlaku berhampiran sebuah lagi pusat mengundi.
Polis masih menyiasat punca letupan itu.
Keganasan tersebut menyerlahkan cabaran keselamatan yang membayangi pilihan raya bersejarah berkenaan.
Lebih 20,000 anggota keselamatan dikerahkan ke kawasan mengundi di seluruh BARMM, manakala pasukan tindak balas pantas disediakan untuk menangani sebarang keganasan.
Pada Ogos lalu, konvoi yang membawa Ketua Menteri sementara BARMM, Encik Abdulraof Macacua, turut diserang hendap dan dihujani peluru.
Di Marawi, bandar yang pernah menjadi medan pertempuran sengit antara pasukan keselamatan Filipina dengan kumpulan militan, pengundian pada pagi 14 September bagaimanapun berlangsung dalam keadaan aman.
Barisan panjang pengundi dilihat di luar pusat mengundi, sementara anggota keselamatan berkawal dan kereta kebal ditempatkan di kawasan berdekatan.
“Kami teruja, kami datang awal pagi,” kata Encik Mohammad Actar Macabada, 18 tahun, selepas mengundi.
“Saya gementar kerana mungkin berlaku kekacauan. Dahulu ada kekacauan. Sekarang keadaan aman. Saya teruja menunggu keputusan,” katanya.
Pilihan raya itu akan menentukan 40 wakil parti politik, 32 wakil daerah dan lapan wakil sektor dalam Parlimen yang mempunyai 80 kerusi.
Pengundian berlangsung sehingga 7 malam dan menggunakan mesin pengiraan undi automatik yang pernah digunakan semasa pilihan raya separuh penggal Filipina pada Mei 2025.
BARMM mempunyai kira-kira lima juta penduduk dan merangkumi lima wilayah, tiga bandar serta 63 kampung dalam lapan kelompok kawasan geografi khas.
Pilihan raya itu merupakan hasil proses damai panjang antara pemerintah Filipina dengan MILF, yang pernah melancarkan pemberontakan bersenjata untuk mendapatkan pemerintahan sendiri bagi masyarakat Moro.
Proses rundingan yang bermula pada akhir 1990-an akhirnya menghasilkan Perjanjian Menyeluruh mengenai Bangsamoro pada 2014.
Pada Januari 2019, penduduk menyokong Undang-Undang Organik Bangsamoro dalam satu pungutan suara, membuka jalan kepada pembentukan BARMM dan Penguasa Peralihan Bangsamoro (BTA).
Pemimpin MILF, Encik Murad Ebrahim, dilantik sebagai Ketua Menteri sementara pertama pada tahun sama sebelum digantikan Encik Macacua pada Mac 2025.
Pilihan raya Parlimen pertama pada asalnya dijadualkan pada 2022 tetapi ditangguhkan beberapa kali.
Pengundian pada 14 September justeru menandakan peralihan penting daripada BTA, yang anggotanya dilantik, kepada sebuah Parlimen yang dipilih oleh rakyat Bangsamoro sendiri.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina, Encik George Garcia, berkata pilihan raya itu merupakan kesinambungan perjuangan Bangsamoro untuk mencapai pemerintahan sendiri menerusi proses damai.
Sistem baru itu turut memberi ruang lebih besar kepada wanita, belia dan kumpulan masyarakat lain.
Sekurang-kurangnya 30 peratus calon yang dinamakan parti bagi kerusi perwakilan parti perlu terdiri daripada wanita.
Kerusi khas turut diperuntukkan kepada wanita, belia, pemimpin tradisional dan ulama, selain masyarakat pendatang serta Orang Asli bukan Moro.
Selepas keputusan pilihan raya ditentukan, anggota Parlimen akan memilih Ketua Menteri yang mengetuai pemerintah wilayah.
Justeru, pilihan raya pertama itu bukan sahaja menentukan siapa yang akan mentadbir Bangsamoro, malah menjadi ujian penting terhadap proses damai yang mengubah perjuangan bersenjata selama beberapa dekad kepada persaingan melalui peti undi.
Di sebuah wilayah yang mempunyai sejarah panjang keganasan politik dan persengketaan antara keluarga berpengaruh, kejayaan pilihan raya itu turut bergantung pada kemampuan pihak yang bertanding menerima keputusan dan memastikan persaingan politik tidak kembali bertukar menjadi konflik bersenjata. - Agensi berita
