Satu kejadian pengeboman oleh tentera Filipina terhadap kem Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) lebih lima dekad lalu menjadi titik perubahan yang mengubah cara Kardinal Orlando Beltran Quevedo melihat hubungan antara masyarakat Islam dengan Kristian.

Ia sekali gus mencetuskan usaha dialog antara agama yang akhirnya membawa beliau menerima Anugerah Keharmonian dalam Kepelbagaian.

Penerima sulung anugerah yang diasaskan Yayasan Temasek dan 5P Global Movement itu berkata, pengalaman menyaksikan sendiri reaksi pelajar Islam ketika serangan udara berlaku membuka matanya bahawa keamanan hanya dapat dicapai apabila setiap pihak berusaha memahami cara berfikir dan pengalaman pihak lain.

“Ketikalah itulah saya sedar kami melihat perkara yang sama, tetapi mentafsirkannya secara berbeza.

“Bagi saya ketika itu, tentera mengebom kerana MNLF memberontak terhadap pemerintah. Tetapi pelajar Islam saya melihat mereka sebagai saudara sendiri yang sedang dibedil.

“Peristiwa itu membuatkan saya mula bertanya kepada diri sendiri mengapa kami berfikir secara berbeza.

“Di situlah bermulanya perjalanan dialog saya,” katanya dalam wawancara bersama Berita Harian, selepas menerima anugerah itu daripada mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, di Jakarta.

Anugerah yang diasaskan Yayasan Temasek dan Gerakan Global 5P itu mengiktiraf individu yang menunjukkan usaha cemerlang dalam memupuk keharmonian antara masyarakat pelbagai budaya di Asia Tenggara.

Ketika itu, beliau baru berusia 31 tahun dan dilantik sebagai Presiden Universiti Notre Dame di Bandar Cotabato, sebuah universiti Katolik yang majoriti pelajarnya beragama Islam.

Bandar Cotabato terletak di wilayah Maguindanao, kawasan majoriti Islam yang menjadi pusat wilayah Bangsamoro dan ketika itu sedang bergolak akibat konflik bersenjata antara MNLF dengan pemerintah Filipina.

Beliau berkata, ketika duduk bersama pelajar Islam di kampus, mereka menyaksikan pesawat tentera Filipina mengebom sebuah kem MNLF di seberang sungai berhampiran universiti.

Reaksi pelajar Islam yang menyifatkan serangan itu tidak adil mengejutkannya kerana mereka melihat anggota MNLF bukan sekadar pejuang bersenjata, malah, ahli keluarga dan saudara sendiri.

Menurut beliau, pengalaman itu mengajarnya bahawa memupuk keamanan bukan bermula dengan memenangi peperangan, sebaliknya dengan memahami perspektif orang lain.

“Saya mula cuba memahami cara mereka berfikir, cara mereka bercakap, malah perkara yang tidak mereka luahkan. Dari situlah saya belajar bahawa dialog lebih penting daripada menghukum,” katanya.

Berikutan pengalaman itu, beliau memperkenalkan program perubahan sikap di Universiti Notre Dame bagi menggalakkan dialog antara pelajar Islam, Kristian dengan masyarakat Orang Asli.

Program itu memberi penekanan kepada sikap saling menghormati, menerima perbezaan dan mendengar pandangan orang lain walaupun tidak bersetuju dengannya.

Matlamatnya ialah mengurangkan prasangka, stereotaip dan permusuhan yang sekian lama memisahkan masyarakat Islam, Kristian dan Orang Asli di Mindanao.

Usaha itu bermula melalui seminar, bengkel dan pelbagai program dialog yang akhirnya mendapat pengiktirafan apabila beliau dipilih sebagai antara Tokoh Belia Cemerlang Filipina pada 1973.

Menurut Kardinal Orlando, keamanan tidak mungkin tercapai jika masyarakat hanya melihat sesuatu konflik dari sudut pandangan sendiri.

“Hormat bukan sekadar memahami orang lain. Hormat ialah mengiktiraf maruah setiap manusia tanpa mengira agama atau bangsa,” katanya.

Beliau mengakui usaha itu pada awalnya mendapat tentangan daripada sebahagian masyarakat Kristian dan ahli politik yang menganggap hubungan rapat dengan masyarakat Islam sebagai sesuatu yang tidak wajar.

“Di universiti, pelajar Islam dan Kristian berkawan seperti biasa.

“Tetapi di luar kampus, keadaan berbeza. Ramai ahli politik melihat konflik ini dari sudut politik dan ideologi.

“Ketika itulah saya sedar perubahan sikap jauh lebih penting daripada perubahan dasar semata-mata,” katanya.

Beliau turut mengimbau satu lagi detik hitam apabila bom meletup di luar Katedral Cotabato ketika beliau menjadi Uskup Agung Cotabato.

Letupan itu mengorbankan seorang pelajar Kristian selepas terkena peluru sesat berhampiran pintu gereja.

Namun, tragedi itu tidak mengubah pendiriannya untuk terus memperkukuh dialog antara agama.

“Saya tidak pernah percaya kebencian boleh menghapuskan kebencian. Hanya kasih sayang, saling menghormati dan persahabatan mampu melakukannya,” katanya.

Beliau berharap Anugerah Keharmonian dalam Kepelbagaian dapat menggalakkan lebih ramai orang menjalin persahabatan merentasi agama dan budaya.

“Bagi saya, matlamat tertinggi bukan sekadar keamanan, tetapi saling mengasihi.

“Saya berharap orang ramai tidak melihat anugerah ini sebagai satu trofi, sebaliknya sebagai peringatan bahawa keamanan bermula apabila kita memilih untuk menjadi sahabat kepada mereka yang berbeza daripada kita,” katanya.