Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir besar di Myanmar makin buruk selepas Taufan Yagi

Sep 17, 2024 | 11:42 AM
Para penduduk mengharungi air banjir dengan rakit di Taungoo, bahagian Bago, Myanmar, pada 16 September akibat hujan lebat ekoran Taufan Yagi, menyebabkan banjir teruk di beberapa wilayah di negara itu.
Para penduduk mengharungi air banjir dengan rakit di Taungoo, bahagian Bago, Myanmar, pada 16 September akibat hujan lebat ekoran Taufan Yagi, menyebabkan banjir teruk di beberapa wilayah di negara itu. - Foto EPA-EFE

YANGON: Jumlah korban akibat banjir besar yang melanda Myanmar akibat Taufan Yagi meningkat kepada 226 orang, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa seramai 630,000 penduduk mungkin memerlukan bantuan segera.

Taufan Yagi yang melanda lebih seminggu lalu menyebabkan hujan lebat dan angin kencang, mengakibatkan banjir serta tanah runtuh di negara seperti Vietnam, Laos, Thailand dan Myanmar.

Menurut angka rasmi, lebih 500 orang dilaporkan terkorban di serata rantau tersebut.

Di Myanmar, siaran televisyen pemerintah pada 16 September mengesahkan jumlah kematian meningkat kepada 226 orang dengan 77 orang masih hilang.

Banjir juga memusnahkan lebih 260,000 hektar sawah padi dan tanaman lain, menyebabkan kemusnahan besar kepada pertanian negara itu.

Agensi Tindakan Bencana PBB (UNOCHA) melaporkan sekitar 631,000 orang terjejas akibat banjir di seluruh Myanmar.

Bantuan segera seperti makanan, air bersih, tempat perlindungan dan pakaian sangat diperlukan, namun usaha bantuan dihalang oleh jalan raya yang terputus dan jambatan yang rosak.

Masalah komunikasi, terutama di kawasan terpencil, turut menyebabkan maklumat mengenai korban lambat sampai.

Selain Myanmar, negara jiran seperti Vietnam dan Thailand turut mengalami kemusnahan teruk.

Di Vietnam, jumlah korban akibat Taufan Yagi meningkat kepada 292 orang, dengan 38 lagi masih hilang. Lebih 230,000 rumah rosak dan 280,000 hektar tanaman musnah.

Kerugian ekonomi dianggar sekitar 40 trilion dong ($2.1 bilion).

Taufan Yagi, yang merupakan taufan terkuat yang melanda Vietnam dalam beberapa dekad, juga menyebabkan kemusnahan besar di alur Sungai Merah yang merupakan kawasan pertanian penting negara itu.

Di Thailand, taufan itu turut meragut 10 nyawa manakala di Laos, seorang dilaporkan maut.

Dengan kesan yang meluas di seluruh rantau itu, usaha bantuan dan pemulihan masih berterusan dengan keperluan mendapatkan bantuan antarabangsa kian mendesak. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg