Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurulatih budak gua Thai terperangkap lagi – akibat banjir taufan ‘Yagi’

Sep 13, 2024 | 8:19 AM
Encik Ekkapol Chantawong (depan), jurulatih pasukan bola sepak Wild Boars yang terperangkap di dalam gua Tham Luang, dilihat pada foto di halaman media sosialnya pada 11 September.
Encik Ekkapol Chantawong (depan), jurulatih pasukan bola sepak Wild Boars yang terperangkap di dalam gua Tham Luang, dilihat pada foto di halaman media sosialnya pada 11 September. - Foto INSTAGRAM

BANGKOK: Jurulatih pasukan bola sepak muda Thailand yang terperangkap di dalam gua selama tiga minggu pada 2018 berdepan kesukaran sama, apabila terperangkap di bumbung rumahnya akibat banjir dan taufan ‘Yagi’.

Encik Eakapol Jantawong berkata beliau menggunakan pengalamannya semasa terperangkap di alam gua Tham Luang bersama pasukan Wild Boars untuk mengharungi banjir dan taufan ‘Yagi’ di rumahnya di daerah Mae Sai di utara Thailand.

Menurutnya, air banjir naik secara tiba-tiba di kampungnya pada 10 September, menyebabkan beliau dan keluarganya tidak dapat menyelamatkan diri ke tempat selamat.

“Saya terpaksa memanjat ke bumbung rumah bersama teman wanita dan ibu saudaranya. Saya takut tetapi saya memaksa diri untuk bertenang, tunggu dan menilai keadaan.

“Sebaik sahaja banjir surut, saya turun ke tingkat bawah tetapi tidak boleh keluar kerana arus di luar masih terlalu kuat,” katanya.

Encik Eakapol dan anggota Wild Boars terperangkap di dalam gua Tham Luang pada 2018 akibat banjir kilat dan diselamatkan selepas operasi menyelamat antarabangsa dijalankan.

Beliau berkata pengalaman terperangkap di dalam gua itu mengajarnya cara menghadapi situasi banjir.

“Saya tidak fikir ia berbeza. Pertama, kita perlu fokus dan mula menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Saya tidak berasa lebih tekanan walaupun terkandas, sebaliknya saya nampak lebih banyak jalan keluar,” katanya, yang berharap tidak akan berdepan dengan situasi itu lagi pada masa hadapan.

Hujan lebat berhari-hari yang dibawa oleh taufan Yagi mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di utara Thailand, Vietnam, Laos dan Myanmar. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg