HANOI: Banjir akibat taufan Wipha telah menyebabkan ratusan keluarga terputus hubungan di beberapa kampung di Vietnam tengah pada 23 Julai, menurut pihak berkuasa.
Sekitar 12,500 orang telah dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi sepanjang hujung minggu sebelum ribut melanda daratan pada 22 Julai, membawa hujan lebat yang mencetuskan kejadian tanah runtuh dan banjir kilat.
Pihak berkuasa di wilayah Nghe An di Vietnam tengah memaklumkan bahawa empangan hidroelektrik Ban Ve yang terbesar di kawasan tersebut terpaksa melepaskan air dari takungannya.
Beberapa komuniti telah dilanda banjir yang mencecah hingga ke bumbung rumah pada malam 22 Julai, memaksa penduduk tempatan berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.
“Paras air tahun ini jauh lebih tinggi dan lebih dahsyat daripada apa yang kami anggap sebagai banjir bersejarah pada tahun 1988,” kata penduduk Nguyen Thai Hung kepada laman berita Dan Tri. “Kami benar-benar tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana air telah sampai ke atas rumah kami.”
Lebih daripada 200 keluarga di komun Yen Hoa terputus hubungan selepas laluan utama ke kampung itu rosak akibat banjir kilat, menurut pihak berkuasa. Taufan Wipha telah meragut sekurang-kurangnya enam nyawa pada 18 Julai di Filipina, di mana puluhan ribu penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan beberapa kawasan di ibu negara Manila masih dilanda banjir pada 22 Julai.
Pakar berkata perubahan iklim akibat aktiviti manusia telah menyebabkan corak cuaca menjadi lebih ekstrem, sekali gus meningkatkan risiko banjir yang merosakkan. Satu puting beliung secara tiba-tiba dan corak cuaca luar biasa telah membalikkan sebuah bot pelancong di kawasan Ha Long Bay yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 18 Julai, mengorbankan 37 orang, termasuk beberapa kanak-kanak.
Manakala pada September 2024, Taufan Yagi telah memusnahkan kawasan utara Vietnam, mengorbankan 345 nyawa dan menyebabkan kerugian ekonomi dianggarkan berjumlah AS$3.3 bilion (S$4.24 bilion). - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg