HONG KONG: Hujan lebat melanda Hong Kong pada 20 Julai apabila Taufan Wipha melintasi bahagian selatan bandar itu dengan kelajuan angin melebihi 167 kilometer sejam, mengakibatkan gangguan besar terhadap penerbangan, pengangkutan awam dan infrastruktur.
Lebih 400 penerbangan dibatalkan atau dijadual semula, sementara ratusan pokok tumbang dan kawasan binaan turut rosak.
Dalam tempoh tiga jam, lebih 110 milimeter (mm) hujan direkodkan, dengan kebanyakannya di bahagian utara dekat China, menurut pihak berkuasa tempatan.
Pada petang 20 Julai, pihak berkuasa tempatan menurunkan amaran taufan bagi Hong Kong daripada tahap 10 – iaitu tahap maksimum – kepada lapan.
Menerusi satu kenyataan, pemerintah Hong Kong berkata seramai 26 orang mendapatkan rawatan di hospital awam sementara lebih 250 orang berlindung di pusat pemindahan.
Sebanyak 471 pokok tumbang juga dilaporkan.
Di North Point, berhampiran pelabuhan Hong Kong, struktur perancah bangunan tercabut dan terhempas di jalan raya akibat angin kencang.
Taufan Wipha dijangka terus bergerak ke arah barat merentasi Laut China Selatan dan dijangka membadai kawasan antara Zhuhai dengan Zhanjiang di wilayah Guangdong, menurut penyiar negara China, CCTV.
Pihak berkuasa di Macau turut menurunkan amaran taufan kepada tahap lapan dan memberi amaran tentang kemungkinan banjir di kawasan pelabuhan dalamannya serta menasihatkan penduduk supaya berhati-hati.
Pihak berkuasa lapangan terbang Hong Kong berkata kira-kira 80,000 penumpang terjejas akibat taufan itu.
Syarikat penerbangan Cathay Pacific Airways membatalkan semua penerbangan keluar dan masuk lapangan terbang Hong Kong antara 5 pagi dengan 6 petang pada 20 Julai.
Sebahagian besar perkhidmatan pengangkutan awam di Hong Kong turut digantung, termasuk perkhidmatan feri disebabkan ombak tinggi. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg